Isnin, 9 September 2019 | 5:34pm
Orang ramai mengunjungi MATTA Fair 2019 di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

MATTA 2019 rancak promosi TMM 2020, fokus destinasi domestik

PAMERAN Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2019 yang melabuh tirainya bagi edisi ke-48 kelmarin, menyaksikan penganjuran paling berjaya khususnya dalam memperkasa industri pelancongan domestik.

Acara kali ini memberi tumpuan kepada program percutian dalam negara, sesuai dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020, tahun depan.

Meskipun nilai jualan menurun iaitu RM200 juta, berbanding RM220 juta pada MATTA Fair 2019 Mac lalu, kejayaan jelas sepanjang tempoh tiga hari pameran pengembaraan terbesar menerusi penyertaan pempamer domestik meningkat.

Penganjur menyediakan dua dewan khusus untuk tujuan itu, 256 ruang pameran mempromosi pakej destinasi tempatan membabitkan 85 agensi pelancongan termasuk 12 organisasi setempat.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang ketika hadir pada majlis perasmian berkata, penganjuran sedemikian meletakkan industri pelancongan domestik di barisan hadapan.


Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Kok Liang berkata, pihaknya fokus dalam menyokong saranan kerajaan mempromosi kempen TMM 2020, menerusi bekerjasama Tourism Malaysia bagi meningkatkan aktiviti pelancongan domestik melalui misi jualan ke China dan India.

“Penerokaan diteruskan dengan menarik pengunjung dari negara sekitar ASEAN dan Eropah. Usaha ini dikendalikan menerusi program pintar dengan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa, pengusaha hotel dan peserta taman tema.

“Apatah lagi, MATTA turut bersedia dengan ‘blue print’ untuk diusul kepada kerajaan menjelang Belanjawan 2020. Tumpuan diberikan untuk lapan perkara penting dalam memperkasakan sektor pelancongan negara.

“Antaranya meneruskan insentif cukai bagi syarikat pelancongan Inbound dan domestik, potongan cukai bagi kos membangun dan meningkatkan tapak web dan aplikasi mudah alih.

“Permohonan lain termasuk mempercepat elaun modal bagi aplikasi teknologi maklumat dan telekomunikasi, selain insentif cukai kenderaan pelancongan.

“Selain itu menambah baik kenderaan pelancongan, premium insurans lebih berdaya saing bagi kenderaan pelancongan dan meningkatkan kemudahan untuk golongan kurang upaya,” katanya.

Harapan lain peserta industri termasuk pengawasan lebih ketat dalam menangani masalah pengendali haram dan ejen perjalanan tidak berlesen serta meneruskan pemberian geran Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN Malaysia 2019).

Bagi melancarkan usaha situ, Johor diumumkan sebagai destinasi pilihan sempena TMM2020. Pemilihan bersesuaian sempena Tahun Melawat Johor 2020.

Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM3.67 juta bagi menjayakan pelbagai kempen berkaitan dengan sasaran 17.4 juta pelancong bakal mengunjungi negeri selatan tanah air itu sepanjang tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Liow Cai Tung berkata, pihaknya mensasar lapan juta pelancong bermalam di negeri itu sepanjang tahun depan.

Beliau berkata, pihaknya bertindak menyusun strategi dengan 20 acara pelancongan ke 20 destinasi wajib kunjung ke semua 10 daerah untuk dilawati.

Selain Johor, MATTA Fair 2019 turut mempromosi beberapa negeri untuk produk pelancongan baharu antaranya di sekitar ibu kota, Selangor, Sabah, Sarawak, Langkawi dan Pulau Pinang. Aliran pelancong kini tertumpu kepada ekopelancongan menjurus kepada aktiviti riadah bersifat interaktif.

Banyak destinasi menarik terutama di kawasan pulau di negeri ini menjadi tarikan pelancong terutama dari benua Eropah untuk menyaksikan keindahan hidupan laut.

Berita Harian X