Rabu, 16 Oktober 2019 | 8:23pm
TIMBALAN Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mohmed Razip Hasan dan Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman bergambar bersama penaja pada majlis perasmian Seminar Destinasi Perkahwinan di pusat beli-belah Quill City Mall, hari ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Pelancong India pilih Malaysia lokasi anjur majlis perkahwinan

KUALA LUMPUR: Malaysia optimis mencapai sasaran satu juta pelancong India tahun depan yang sebahagian besar daripada mereka memilih negara ini sebagai destinasi penganjuran majlis perkahwinan.

Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mohmed Razip Hasan, berkata sasaran itu dijangka mencatat jumlah perolehan bernilai RM4 bilion.

Beliau berkata, pihaknya meneruskan pelbagai aktiviti mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan, bertepatan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Katanya, infrastruktur pelancongan sempurna antara tarikan ramai pelancong India ke negara ini. Faktor lain termasuk penggunaan bahasa Inggeris secara meluas mampu melancarkan proses komunikasi, selain tukaran mata wang yang stabil.

“Malaysia menjadi tarikan pelancong dari India yang memilih negara ini majlis perkahwinan, berbulan madu sekali gus menyumbang kepada sebahagian besar perolehan.

Jana ekonomi penganjuran majlis

“Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini jumlah pengunjung dari negara berkenaan berjumlah 354,486 berbanding 600,311 direkodkan pada 2018.

“Pertumbuhan ini mencatatkan peningkatan dua angka 15. 2 peratus, iaitu perolehan tahun lalu berjumlah RM2.7 bilion. Berdasarkan perolehan ini, kerajaan yakin mencatat pertumbuhan sejumlah RM4 bilion untuk segmen sama tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Destinasi Perkahwinan yang disertai 19 syarikat perancang perkahwinan satu acara mempromosikan negara ini sebagai lokasi perkahwinan pelancong dari India di pusat beli-belah Quill City Mall di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman.

Mohmed Razip berkata, pihaknya yakin promosi berterusan menarik lebih ramai pelancong ke negara ini dengan pengunjung India pada kedudukan ketujuh paling ramai memilih Malaysia sebagai lokasi percutian.

Langkawi, Pulau Pinang pilihan popular

“Kemasukan itu menjana sektor berkaitan antaranya sewaan dewan hotel, perkakasan perkahwinan selain perbelanjaan agensi pengurusan acara, penginapan dan pengangkutan dalam kalangan keluarga dan kenalan bagi menjayakan majlis berkenaan.

“Pelancong ini cenderung menganjurkan perkahwinan bertemakan dalam taman tetapi ada juga yang memilih dewan sekali gus memberi limpahan manfaat kepada pengusaha katering, penjual bunga, peniaga barang kemas dan pereka fesyen,” katanya.

“Mereka memilih destinasi popular antaranya Pulau Langkawi, Pulau Pinang dan Sabah selain Sarawak dan Johor,” katanya.

Peserta seminar, Vinod Tirathai berkata, faktor menarik lebih ramai pelancong dari India antaranya infrastruktur lengkap dan bersifat mesra keluarga.

Selain itu beliau berkata, tukaran wang asing lebih stabil membolehkan pelancong membuat perancangan perkahwinan dan percutian serentak, pemilihan hotel yang menawarkan pakej menarik.

Berita Harian X