Jumaat, 1 November 2019 | 7:49pm
PENOLONG Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain (empat dari kiri) bersama sebahagian dari pegawai kanan JBPM Kedah (barisan atas) dan anggota EMRS dari BBP Jitra dan Alor Setar. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Apabila siren kecemasan berbunyi

KEMALANGAN membabitkan sebuah kereta PROTON Wira dan lori yang membawa muatan ubat-ubatan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, bulan lalu, menjadi antara tugas penting Pasukan Khas Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Ini kerana tugas anggota EMRS sebagai antara pihak paling awal membantu menyelamatkan nyawa mangsa kemalangan di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak hospital.

Anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Ron Silvaraj Martin, berkata kemalangan pada jam 6.30 pagi di Jalan Putra itu menyebabkan seorang wanita maut di tempat kejadian, manakala suaminya parah.

Katanya, sejurus lelaki itu dikeluarkan dari kereta oleh pasukan bomba, beliau bersama rakan setugasnya, Mohd Harizal Amer Hamzah, berusaha sedaya upaya membantu dengan memberi oksigen dan merawat kecederaan pesakit.

"Tugas ini amat kritikal kerana kami perlu memberi rawatan awal kepada mangsa dengan memasang alat cervical collar (untuk mengurangkan pergerakan kepala, lower limb (patah kaki) dan spinal board (kegunaan menjaga tulang belakang).

"Dengan kemahiran perubatan yang kami pelajari, kami lakukannya demi menyelamatkan nyawa mangsa kemalangan termasuk yang membabitkan kes kebakaran dan khidmat khas lain," katanya.

Disebabkan itu, anggota dan jentera EMRS milik JBPM menjadi antara yang terpenting dalam memberi bantuan kepada setiap kes kecemasan sebaik siren dibunyikan.


ANGGOTA Pasukan Khas EMRS akan memberi rawatan awal kepada pesakit di dalam Jentera EMRS menggunakan peralatan yang ada. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Jentera EMRS bergerak seiring dengan jentera dan anggota BBP untuk memberi bantuan awal kepada mangsa kemalangan, kebakaran dan apa juga kes yang diterima.

EMRS adalah satu Pasukan Khas JBPM yang ditubuhkan melalui kerjasama Kementerian Kesihatan serta Pertubuhan Perubatan Kecemasan dan Traumatologi Malaysia.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata setakat ini JBPM Kedah mempunyai 13 Jentera EMRS.

Beliau berkata, pada tahun 2014, hanya empat EMRS diterima membabitkan empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) sebelum ditambah menjadi sembilan pada 2016.

"Dengan adanya Jentera EMRS ini, ia dapat memudahkan dan mempercepatkan anggota bomba dalam memberi rawatan awal kepada mangsa di tempat kejadian.

"Bahagian dalam Jentera EMRS ini dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan termasuk pengusung untuk membantu pesakit sementara dihantar ke hospital," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Kedah di Jalan Suka Menanti, Alor Setar, Kedah.


SEBAHAGIAN anggota dari Pasukan Khas EMRS dari BBP Jitra dan Alor Setar yang sentiasa memberi perkhidmatan kepada anggota dan orang ramai. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Mohamadul Ehsan berkata, namun bagi kes membabitkan kecederaan parah, pihaknya akan menyerahkan kepada ambulans KKM yang tiba di lokasi manakala pesakit yang hanya cedera ringan akan dirawat terlebih dahulu oleh anggota EMRS.

Tahun lalu, katanya, sebanyak 1,545 kes dihadiri EMRS manakala tahun ini hanya 354 kes dihadiri EMRS setakat ini.

"Kita bercadang menambah bilangan jentera dan anggota EMRS untuk memantapkan lagi tugas anggota JBPM di negeri ini," katanya.

Pada awalnya, EMRS berfungsi untuk memberi perubatan terhadap anggota bomba dan pemeriksaan kesihatan kepada pasukan khas yang lain seperti Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan pasukan mencari dan menyelamat sebelum dan selepas latihan mahupun ketika operasi.

Namun ia kemudian diperluaskan dalam memberi bantuan rawatan kepada mangsa di tempat kejadian.

Objektif utama pasukan EMRS ialah memberikan pengetahuan serta kemahiran penilaian awal serta pengurusan mangsa di tempat kejadian, supaya perawatan kecemasan awal dapat dimulakan seterusnya dapat mengurangkan mortality serta morbidity.

Selain itu, pasukan ini ditubuhkan untuk melaksanakan perkhidmatan perawatan kecemasan perubatan terhadap mangsa yang terbabit dalam kemalangan atau apa-apa insiden di darat, air dan udara.

Anggota EMRS juga akan membuat penilaian kesihatan terhadap mangsa untuk memulihkan pernafasan, mengawal pendarahan dan menstabilkan mangsa sebelum menyerahkan kepada pihak hospital.


JENTERA EMRS yang dilengkap dengan pelbagai peralatan perubatan. - Foto Zuliaty Zulkiffli

INFO

EMRS

- Kenderaan yang dilengkapi peralatan perawatan perubatan dan peralatan menyelamat asas yang digunakan ketika operasi untuk menyelamat atau merawat mangsa serta menghantar mangsa atau pesakit ke hospital jika perlu.

- Ditubuhkan untuk memberi keutamaan rawatan kepada anggota yang cedera di lokasi kejadian.

- 13 buah di Kedah

- Dianggotai 130 orang

Berita Harian X