Sabtu, 9 November 2019 | 7:08pm
Aplikasi VSP boleh dimuat turun ke telefon pintar dan orang ramai boleh membuat aduan menerusinya tanpa bimbang identiti mereka terbongkar.

Lapor maklumat guna VSP, tak perlu ke balai polis

PEMBERI maklumat tidak lagi perlu hadir ke balai polis untuk menyampaikan maklumat kerana mereka kini boleh berbuat demikian menerusi ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP).

Aplikasi itu boleh dimuat turun ke telefon pintar dan orang ramai boleh membuat aduan menerusinya tanpa bimbang identiti mereka terbongkar.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata pengenalan sistem baharu ini dilihat lebih praktikal dalam membantu polis membanteras gejala sosial dan jenayah.

Katanya, pihaknya mengharapkan lebih banyak maklumat daripada golongan muda kerana pergaulan mereka lebih meluas.

“Tambahan lagi, penggunaan telefon pintar ramai dalam kalangan orang muda,” katanya ketika merasmikan program Kampung Angkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, Kelantan, baru-baru ini.

Selepas Kampung Kutan, Kampung Padang Mandol dijadikan kampung angkat IPD Tumpat, bertujuan mengurangkan kadar jenayah di kampung berkenaan.

Ab Rashid berkata, program itu diharap dapat membuang rasa takut orang ramai kepada polis, sebaliknya terus salurkan maklumat berkaitan.

“Selepas menjadi kampung angkat, kami sama ada dari cawangan narkotik atau jenayah akan mengadakan kunjungan atau rondaan secara berkala di dua kampung ini dengan menggunakan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) atau Kereta Peronda Polis (MPV).

“Kami ingin membuang stigma negatif orang ramai yang melabelkan pihak berkuasa tidak boleh dipercayai apabila maklumat yang disampaikan bocor, termasuk identiti pemberi maklumat didedahkan. Itu sama sekali tidak benar,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti kepolisan juga akan kerap dijalankan bersama penduduk kampung bagi menjalin hubungan yang lebih erat.

Program separuh hari itu diisi dengan acara gotong-royong di sekitar pondok polis, ceramah pencegahan jenayah, pendaftaran VSP dan agihan bantuan makanan keperluan harian kepada lima asnaf di sekitar kampung itu.

Penghulu Mukim Jal Kechik, Mohd Sakri Mohamad, berkata penduduk berbesar hati dengan pemilihan kampung itu sebagai kampung angkat IPD Tumpat dan sangat berharap masalah sosial dapat dibendung sebaiknya.

“Kami sentiasa mengalu-alukan lawatan pihak polis ke kampung ini dan beberapa kampung sekitar kerana kita tidak boleh nafikan aktiviti tidak sihat berlaku di mana sahaja.

“Saya juga mengharapkan ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa lebih ramai dalam kalangan belia kerana mereka lebih mengetahui pergerakan rakan sebaya yang menyumbang kepada masalah sosial,” katanya.

Berita Harian X