Sabtu, 9 November 2019 | 7:37pm
Program Latihan Simulasi Bencana Banjir Bersepadu membabitkan jabatan dan agensi menyelamat peringkat negeri Terengganu membabitkan 120 peserta. - Ihsan IPD Hulu Terengganu
Program Latihan Simulasi Bencana Banjir Bersepadu selama lima hari di Dataran Kampung Sungai Dusun, Kuala Berang, Terengganu, baru-baru ini. - Ihsan IPD Hulu Terengganu

Latihan simulasi banjir tingkat kecekapan penyelamat

MUSIM Monsun Timur Laut antara November hingga Mac setiap tahun membawa hujan lebat, terutama di negeri-negeri Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Ia boleh menyebabkan berlaku banjir, terutama di kawasan tanah rendah dan sekitar lembangan sungai.

Justeru, sebagai persiapan awal menghadapi banjir, gerakan agensi penyelamat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diatur bagi menghadapi banjir.

Program Latihan Simulasi Bencana Banjir Bersepadu selama lima hari di Dataran Kampung Sungai Dusun, Kuala Berang, Terengganu, baru-baru ini, menjadi medan buat 120 peserta daripada semua agensi penyelamat terbabit mendapat gambaran lebih jelas situasi yang mungkin berlaku sekiranya banjir.

Jurulatih Simulasi Banjir, Pasukan Polis Marin, Koperal Roslan Manan, berkata program itu selaras arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya persediaan awal dilakukan membabitkan logistik, anggota dan kelengkapan bagi semua agensi yang terbabit.

“Simulasi banjir ini diadakan untuk anggota penyelamat sebagai latihan berterusan setiap tahun. Kita mahu menerapkan nilai kesiapsiagaan supaya semua anggota lengkap dengan ilmu dan bersedia sekiranya arahan dikeluarkan dalam apa juga bencana,” katanya.

Malah, katanya, simulasi banjir juga penting dalam mewujudkan koordinasi, komunikasi dan kesefahaman antara semua agensi penyelamat.

Roslan berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membantu dalam mengatur gerak dan mewujudkan kerjasama baik antara semua agensi penyelamat.


Peserta diberi penerangan mengenai cara-cara untuk mengendalikan enjin bot pada Program Latihan Simulasi Bencana Banjir Bersepadu di Dataran Kampung Dusun, Kuala Berang. - NSTP/Rozainah Zakaria

Antara 120 peserta daripada semua agensi penyelamat terbabit mendapat gambaran lebih jelas situasi yang mungkin berlaku sekiranya banjir. - Ihsan IPD Hulu Terengganu

“Apabila berlaku bencana seperti banjir, semua agensi penyelamat mempunyai matlamat sama untuk menyelamat mangsa. Jadi, simulasi ini penting untuk kita mewujudkan kesefahaman antara semua agensi.

“Malah, walaupun setiap agensi mempunyai prosedur operasi standard (SOP) berbeza, kita mahu memastikan operasi menyelamat yang dijalankan kelak berjalan lancar,” katanya.

Justeru, dalam memberi pendedahan kepada peserta, beberapa situasi diwujudkan antara operasi menyelamat mangsa yang terdiri daripada wanita mengandung, mangsa tercedera dan warga emas.

Menerusinya juga, peserta perlu membuat penilaian operasi menyelamat yang perlu diutamakan.

“Peserta juga didedahkan dengan halangan yang sering berlaku ketika banjir seperti laluan mencabar dan rintangan di hadapan. Dalam apa juga situasi, anggota penyelamat tidak boleh berpatah balik, sebaliknya perlu terus ke hadapan untuk operasi menyelamat.

“Pelbagai teknik akan diajar kepada peserta supaya mereka bersedia apabila berdepan situasi sebenar.

“Malah, kita mempunyai ramai jurulatih dan anggota penyelamat yang pernah terbabit dalam operasi banjir besar seperti yang berlaku di Kelantan pada 2014 yang turut berkongsi pengalaman dan pengetahuan,” katanya.

Selain itu, katanya, antara perkara yang turut dititikberatkan dalam program simulasi banjir ini adalah berkaitan aspek keselamatan supaya masyarakat yakin dengan keupayaan anggota dalam melaksanakan operasi menyelamat.

“Peserta didedahkan dengan keperluan kelengkapan keselamatan yang perlu ada seperti jaket keselamatan dan alat pertolongan cemas, selain latihan ‘Cardiopulmonary Resuscitation’ (CPR) supaya apabila berdepan sesuatu situasi, peserta tahu tindakan awal yang perlu dilakukan.

“Selain itu, kita juga menjalankan latihan berenang untuk menambah keyakinan diri peserta supaya mereka tidak ‘segan’ dengan air, malah sekiranya berdepan situasi tidak diingini, sekurang-kurangnya mereka tahu untuk menyelamatkan diri sendiri,” katanya.

Dalam menghadapi bencana seperti banjir, cara berkomunikasi dengan masyarakat juga penting supaya tidak wujud situasi tegang antara anggota penyelamat dan mangsa.

"Situasi yang sering dihadapi apabila ada anggota yang hilang budi bahasa dan tatabicaranya kerana berada dalam keadaan letih dan tidak cukup rehat selepas seharian menjalankan operasi.

"Jadi, aspek komunikasi dengan masyarakat ini kita turut tekankan supaya kerja menyelamat itu berlangsung dengan baik," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Hulu Terengganu, Mujahid Abd Wahab, berkata pembabitan APM ketika menghadapi musim tengkujuh sememangnya satu tugas mencabar untuk menyelamat orang awam yang terperangkap di kawasan banjir.

Katanya, daerah Hulu Terengganu antara kawasan yang tidak terlepas daripada musibah banjir saban tahun, menyebabkan anggota APM perlu bersiap sedia menghadapi apa jua situasi.

"Apabila banjir melanda, banyak jalan raya utama akan terputus hubungan, malah bentuk muka bumi yang berbukit seperti di Pengkalan Ajar dan Sekayu menyebabkan kami terpaksa mengambil masa lama untuk operasi menyelamat,” katanya.

Justeru, katanya, menerusi program simulasi ini peserta boleh menambah pengetahuan dan ilmu berkaitan operasi menyelamat daripada jurulatih dan anggota berpengalaman.

INFO

Latihan Simulasi Bencana Banjir Bersepadu:

- Dijalankan selama lima hari di Dataran Kampung Dusun, Kuala Berang.

- Membabitkan 120 peserta membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

- Diadakan sebagai persediaan awal dan atur gerak anggota dalam menghadapi situasi bencana banjir sebenar.

Berita Harian X