Ahad, 17 November 2019 | 10:00am
Antara mata wang lama yang dipamerkan pada Galeri Numismatik di Sasana Kijang, Bank Negara. - NSTP/Azhar Ramli

Revolusi mata wang simbol peradaban negara

Pernah terlintas di fikiran anda bagaimana urusan ‘perdagangan barter’ pada zaman dahulu dijalankan dan apakah barangan yang ditukarkan?

Semuanya akan terjawab apabila pengunjung menjejakkan kaki ke Galeri Numismatik terletak di Jalan Datuk Onn, Kuala Lumpur yang menempatkan pameran mata wang pada era Kesultanan Melayu Melaka, zaman penjajahan, pendudukan Jepun dan era pemodenan.

Antara mata wang lama yang dipamerkan pada Galeri Numismatik di Sasana Kijang, Bank Negara. - NSTP/Azhar Ramli

Paling unik pengunjung diajak berinteraksi dengan permainan video, seolah-olah sedang melakukan urusan perniagaan di tepi pelabuhan Melaka pada zaman dahulu - seronok bukan bunyinya.

Kurator merangkap Pengurus Galeri Numismatik, Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM), Wan Muhammad Danial Wan Omar, berkata di galeri ini turut menempatkan ‘Denai Duit Siling’ iaitu mempamerkan ratusan duit syiling timah, tembaga, emas dan perak dalam pelbagai bentuk yang pernah digunakan di rantau ini.

Antara mata wang lama yang dipamerkan pada Galeri Numismatik di Sasana Kijang, Bank Negara. - NSTP/Azhar Ramli

“Menariknya denai ini, video imej duit siling lama dimainkan dan bagi mendapatkan maklumat mata wang berkenaan, pengunjung boleh menekan butang di panel yang disediakan.

“Cukup mengagumkan dan membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya terpegun dengan revolusi wang yang digunakan di Malaysia,” katanya.

Tarikan pelancong

Selain Galeri Numismatik, Muzium dan Galeri Seni BNM di Sasana Kijang, turut menempatkan lima galeri lain kanak-kanak, kewangan Islam, ekonomi, Bank Negara Malaysia, pameran sementara dan seni.

Mata wang lama yang dipamerkan pada Galeri Numismatik di Sasana Kijang, Bank Negara. - NSTP/Azhar Ramli

Muzium dan Galeri Seni BNM ditubuhkan untuk memberi peluang orang ramai mengenali dan mempelajari tentang kepentingan ekonomi, perbankan Islam serta perancangan kewangan bersama-sama Bank Negara yang berperanan membina kefahaman melalui transformasi polisi ekonomi pada masa hadapan.

Beliau berkata, walaupun setiap galeri memiliki tarikannya tersendiri, namun Terowong Sejuta Ringgit di aras bawah (Galeri Kanak-kanak) menjadi pilihan pengunjung.

“Kira-kira 1.3 helai mata wang lama Malaysia asli antaranya yang dicetak pada 1967, dilekatkan pada dinding terowong berkenaan.

“Antara helaian wang kertas yang dipamerkan ialah nilai RM1,000; RM500, RM100, RM50, RM20, RM10, RM5 dan RM1 lama.

Mata wang lama yang dipamerkan pada Galeri Numismatik di Sasana Kijang, Bank Negara. - NSTP/Azhar Ramli

“Tidak hairan, pengunjung terutama kanak-kanak dan pelancong terpegun untuk melihat siri koleksi wang lama Malaysia yang begitu jarang ditemui, malah tidak teragak-agak berswafoto,” katanya.

Sejarah mata wang

Melangkah masuk galeri Bank Negara Malaysia di Aras Satu, membawa pengunjung mengenali fungsi, peranan dan tanggungjawab penting BNM bagi memastikan kestabilan kewangan dan kemakmuran ekonomi negara.

Di galeri ini juga dipamerkan replika cek dengan nombor siri 000001 bernilai RM20 juta untuk dijadikan modal mengendalikan bank.

Kurator Galeri Numismatik Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, Wan Muhammad Danial Wan Omar (kanan) memberi keterangan kepada wartawan. - NSTP/Azhar Ramli

Terdapat contoh bilik kebal bagi menyimpan wang kertas dan emas yang menjadi pengukur nilai mata wang dan mesin penempelan duit syiling.

Di satu sudut lain, terpampang gambar dan tandatangan tujuh bekas Gabenor Bank Negara, memudahkan pengunjung mengenali mereka menerusi papan maklumat interaktif.

Di aras yang sama, menempatkan galeri kewangan Islam membolehkan pengunjung menerokai konsep perdagangan dan kewangan awal berasaskan Islam yang bermula di Asia Barat, kemudian tersebar ke Eropah dan kini merangkumi seluruh dunia.

Turut ditempatkan di aras ini, galeri ekonomi yang memberi informasi kepada pelajar jurusan ekonomi bagi mengetahui bagaimana dasar ekonomi mempengaruhi pembangunan negara.

Pengunjung boleh menerokai perkembangan ekonomi negara sejak kemerdekaan hingga kini, serta peranan negara dalam ekonomi global serta pencapaiannya dalam sistem kewangan.

Di aras Dua, pula menempatkan galeri pameran sementara, di mana pengunjung diperlihatkan koleksi yang berubah setiap enam bulan.

Lukisan sang kijang yang juga lambang korporat BNM dilukis daripada arang cukup mengagumkan. Lukisan air sungai yang mengalir pula bagaikan membawa pengunjung berada di dalam suasana hutan yang dikelilingi kehijauan dan keindahan alam semula jadi.

Tidak lengkap penerokaan pengunjung jika tidak singgah galeri seni di Aras 3 yang mempamerkan koleksi seni BNM, terdiri daripada karya Seni Malaysia dan Asia Tenggara yang diperoleh sejak 1962.

Pengkaji Numismatik, Ahmad Nasyruddin Ismail.

Karya pilihan terdiri daripada lukisan, cetakan, lakaran dan seni arca mempamerkan sorotan peristiwa penting negara. Ini termasuk pengkarya ternama Mohd Hoessein Enas dan Yong Mung Sen, sehingga terkini.

INFO

Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia

Lokasi: Kijang, 2, Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur.

* Bangunan muzium dan galeri ini berilhamkan siput gerus yang juga mata wang pertama.

* Ikon Nautilus adalah elemen penting yang dinukilkan pada tangga galeri berkenaan.

* Rekaan pergerakan seperti aliran air melambangkan lontaran rasa ingin tahu dan sentiasa tertanya-tanya.

* Muzium & Galeri Seni BNM dibuka mulai jam 10 pagi hingga 6 petang.

* Masuk percuma.

Berita Harian X