Jumaat, 13 Disember 2019 | 1:05pm
AINOL Amriz bersama pelajar memberi bimbingan muat naik maklumat menerusi media sosial secara beretika dan bertanggungjawab.
AINOL Amriz bersama pelajar memberi bimbingan muat naik maklumat menerusi media sosial secara beretika dan bertanggungjawab.

Proidea kongsi kemahiran muat naik maklumat di media sosial

SEREMBAN: Perunding media dan media sosial, Proidea menawarkan program latihan serta bimbingan penulisan pada Bengkel Berani Depan Kamera HP, pada 17 Disember ini.

Bimbingan merangkumi penulisan, pengucapan awam, fotografi dan videografi. Program ditawarkan secara percuma dengan dikendalikan oleh Ketua Unit Kreatif Proidea, Ainol Amriz Ismail yang juga editor berpengalaman media arus perdana.

Pengarah Urusannya, Farabi Said Al-Jabri, program dijadual berlangsung di Dewan Galeri Muslim, Pusat Bandar Senawang itu terhad kepada pelajar sekolah berusia 13 hingga 18 tahun.

Beliau berkata, ini sebahagian khidmat masyarakat pihaknya menerusi “ProideaCSR, bertujuan memberi peluang pelajar memanfaatkan sebaik mungkin telefon bimbit sebagai alat komunikasi dan maklumat.

“Pada bengkel ini peserta diajar cara merakam video menggunakan telefon bimbit dan kemudian membuat suntingan asas supaya boleh memanfaatkan teknologi berkenaan ketika bercuti atau di mana sahaja mereka berada.

“Program diharapkan dapat mendidik peserta memanfaatkan media sosial dengan lebih beretika dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan kepada BH.

Katanya, video yang dihasilkan adalah santai, menggunakan “Voice Over” mereka sendiri.

“Bayangkan apabila peserta menghasilkan video travelog atau peristiwa, kemudian dimuat naik dalam media sosial, pastinya ramai akan tertarik menonton,” katanya.

Proidea turut menawarkan khidmat rundingan bidang kewartawanan konvensional dan siber, fotografi, videografi, penulisan, pengucapan awam dan seni grafik.

Khidmat lain termasuk menyediakan sesi rundingan pengurusan media seperti menulis kenyataan media, mengendalikan sidang akhbar selain khidmat jaringan dengan agensi serta pengamal media.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X