Sabtu, 1 Ogos 2020 | 11:16am
Kaedah baharu CAR-T dikenal pasti boleh membantu membunuh sel kanser sekali gus ia antara alternatif pesakit leukemia. - Foto/Gambar hiasan
Kaedah baharu CAR-T dikenal pasti boleh membantu membunuh sel kanser sekali gus ia antara alternatif pesakit leukemia. - Foto/Gambar hiasan

Peluang 'terakhir' pesakit leukemia

Berdasarkan Malaysia National Cancer Registry Report, leukemia adalah kanser keenam paling kerap dihidapi orang dewasa dan yang pertama dalam kalangan kanak-kanak.

Leukemia adalah sejenis kanser darah yang berasal daripada sum-sum tulang. Terdapat beberapa jenis leukemia dan data menunjukkan, kanak-kanak lebih cenderung dengan 95 peratus mengalami leukemia lymphocytic akut (ALL).

ALL adalah yang paling biasa terdapat pada kanak-kanak dan ia boleh berulang walaupun dirawat.

Pelbagai kaedah bagi rawatan leukemia lebih intensif antaranya merangkumi kemoterapi, terapi radiasi dan pemindahan tulang sum-sum.

Kini terdapat kaedah baharu di negara ini yang lebih berkesan merawat leukemia, iaitu menggunakan sel Chimeric Antigen Receptor-T (CAR-T).

Rawatan itu sedang diusahakan Pusat Terapi Sel Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Plutonet Sdn Bhd, baru-baru ini.

MoU itu bertujuan mengoptimumkan potensi fungsi aplikasi klinikal menggunakan sel Chimeric Antigen Receptor-T (CAR-T) dalam rawatan ALL.

Setiap tahun, HCTM menerima 25 kes kanak-kanak penghidap kanser darah.

Ketua Pusat Terapi Sel HCTM, Prof Dr S Fadilah Abdul Wahid, berkata penggunaan sel CAR-T sesuai untuk merawat pesakit ALL yang tidak pulih selepas dirawat menerusi kaedah kemoterapi atau kebal terhadap rawatan itu.

Katanya, rawatan ALL dilakukan dengan menyuntik sel CAR- T dalam tubuh pesakit sekali sahaja dengan menggunakan mesin aferesis.

"CAR-T adalah kaedah terakhir untuk pesakit buat masa ini. Jadi mereka yang mempunyai masalah dengan kemoterapi, mereka boleh mencuba rawatan ini.

"CAR-T bertindak untuk kenal pasti dan seterusnya membunuh sel kanser. Mengikut data disiar pada 2017, rawatan itu mampu membantu menyelamatkan nyawa mereka yang mana kebarangkalian untuk mencapai kadar pengremitan penuh (complete remision) adalah baik, iaitu pada 70 peratus," katanya.

Dr S Fadilah berkata, sebelum menerima rawatan, pesakit ALL perlu melepasi beberapa fasa antaranya perlu disaring terlebih dahulu bagi memastikan individu berkenaan layak dan sesuai.

Hanya pesakit ALL berumur 13 tahun ke atas layak mendapatkan rawatan CAR-T.

Katanya, walaupun rawatan ini mempunyai keberkesanan yang tinggi, namun pesakit perlu melalui detik getir apabila terpaksa berdepan dengan dua kesan sampingan berbahaya dan boleh membawa maut.

Kesan sampingan pertama adalah sindrom pelepasan Sitokin (CRS) iaitu bentuk sindrom tindak balas keradangan sistemik (SIRS).

"Ia berlaku apabila sejumlah besar sel darah putih diaktifkan dan melepaskan sitokin yang meradang.

"Kesan sampingan kedua adalah Neurotoxicity yang merujuk kepada kerosakan pada otak atau sistem saraf periferi disebabkan oleh pendedahan kepada bahan toksik semula jadi atau buat manusia sehingga mengubah aktiviti sistem saraf dengan cara mengganggu atau membunuh saraf," katanya.

Beliau berkata, pihak hospital akan melakukan saringan terlebih dahulu untuk mengenal pasti sama ada pesakit sesuai atau tidak menjalani rawatan ini.

Keberkesanan CAR-T pula boleh dilihat dalam tempoh tiga hingga empat minggu tetapi ia bergantung kepada situasi pesakit.

"Proses menyuntik CAR-T ke dalam badan pesakit menggunakan mesin aferesis mengambil masa empat hingga lima jam sahaja. Kedua-kedua CRS dan Neurotoxicity harus pesakit hadapi selepas mendapat rawatan sel CAR-T.

"Apabila berjaya melepasi kedua-dua kesan sampingan ini, baru mereka akan beransur pulih. Mereka akan menderita terlebih dahulu sebelum pulih, menderita tetapi terurus," katanya.

Beliau berkata, tempoh rawatan pesakit CAR-T adalah kira-kira setahun manakala untuk pulih sepenuhnya mengambil masa lima tahun.

Pengarah Urusan Plutonet, James Then, berkata menerusi MoU itu pihaknya akan menanggung segala perbelanjaan membabitkan 10 pesakit yang bakal menjalani ujian klinikal rawatan ALL.

Katanya, teknologi perubatan seperti ini perlu ada di Malaysia untuk membantu menyelamatkan pesakit yang memerlukan rawatan penyakit terbabit.

"Cryocord juga membina dan mengubah suai makmal Biosafety Level 2 (BSL2) mengikut ketetapan yang sesuai bagi memastikan segala prosedur membabitkan kerja genetik mengikut standard," katanya.

Plutonet Sdn Bhd adalah syarikat subsidiari Cryocord yang bakal membelanjakan sebanyak RM1 juta bagi membantu ujian klinikal dalam mengenal pasti keberkesanan dan keselamatan rawatan kanser darah menggunakan sel CAR-T.

INFO

Apa itu Leukemia

Ia adalah barah sel darah putih dan boleh dikategorikan sebagai lebihan sel darah putih di dalam sum-sum tulang. Sel darah putih dihasilkan secara semula jadi. Bagi pesakit leukemia, proses pengeluaran sel darah putih terganggu.

Sel tidak matang dan terus membahagi dan membiak. Ia adalah sebahagian daripada kumpulan penyakit dikenali sebagai neoplasma hematologi atau" Hematological Neoplasm".

4 kumpulan penyakit leukemia yang utama:

* Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL)

* Chronic Lymphocytic Leukaemia (CLL)

* Acute Myeloid Leukaemia (AML)

* Chronic Myeloid Leukaemia (CML)

Punca leukemia

Berlaku kerosakan yang penting dalam bahan genetik sel. Kebiasaannya punca kerosakan tidak dapat dikenal pasti, tetapi kesannya dapat dilihat dengan jelas menggunakan teknologi yang canggih.

Beberapa faktor meningkatkan risiko penyakit leukemia:

* Pendedahan kepada radiasi

* Pendedahan kepada ubat "chemotherapy" pada masa lampau

* Pendedahan kepada bahan kimia tertentu contohnya benzene

* Dilahirkan dengan penyakit genetik tertentu

Tanda penyakit leukemia

* Berpunca daripada kegagalan sum-sum tulang menghasilkan sel darah yang normal.

* Keletihan disebabkan kekurangan darah merah

* Lebam atau tanda pendarahan disebabkan kekurangan sel darah platelet serta demam yang berpanjangan.

* Kurang selera makan

* Kehilangan berat badan yang ketara

* Kesakitan dalam tulang dan sendi.

Komplikasi

* Jika tidak dirawat, pendarahan serius boleh berlaku seperti pendarahan dalam otak.

* Jangkitan serius seperti jangkitan bakteria dan kulat.

* Kesesakan nafas dan kesakitan dada akibat kekurangan sel darah merah.

* Penyakit "Acute Leukaemia" yang tidak dirawat membawa maut dalam masa singkat.

* Sumber MYHealth Kementerian Kesihatan.

Berita Harian X