X
Sabtu, 1 Ogos 2020 | 11:28am
PENJAGAAN kesihatan, jaga kebersihan dan vaksinasi flu kaedah terbaik lindungi diri daripada penyakit. Foto hiasan.
PENJAGAAN kesihatan, jaga kebersihan dan vaksinasi flu kaedah terbaik lindungi diri daripada penyakit. Foto hiasan.

Kempen ikrar 'Cegah Flu, Norma Baharu'

TATKALA rakyat Malaysia sedang mengubah gaya hidup akibat

pandemik COVID-19, pastinya perkara yang wajar diberi perhatian adalah mengenai penjagaan kesihatan bagi mengelak dijangkiti wabak berkenaan.

Justeru, program Imunisasi Sepanjang Hayat (Immunise4Life) dianjurkan dengan kerjasama beberapa badan perubatan, organisasi bukan kerajaan (NGO) serta individu berpengaruh bagi menjayakan 'Cegah Flu, Norma Baharu' .

Kempen ikrar itu dilakukan secara dalam talian bagi menggesa orang ramai terus melindungi diri masing-masing dan orang tersayang daripada gejala influenza.

Menerusi kempen itu, orang ramai akan melihat pakar perubatan, selebriti media sosial dan artis menyokong inisiatif ini melalui aktiviti menarik termasuk video yang memberi inspirasi, iklan khidmat masyarakat yang berimpak, temu bual media, artikel media, dan konsert dalam talian.

Setiap individu akan memaparkan ikon dua hati yang unik di tapak tangan memberi maksud pencegahan flu adalah tanda kasih sayang.

Mesej mereka kepada rakyat Malaysia adalah untuk mendapatkan vaksinasi flu setiap tahun di samping mengamalkan kebersihan diri baik dan gaya hidup sihat bagi melindungi diri daripada penyakit itu.

Orang ramai dijemput berikrar cegah flu dalam normal baharu dengan klik butang ikrar di laman web, www.actoflove.ifl.my.

Kempen ini menyasarkan 300,000 ikrar menjelang Oktober yang turut disokong oleh Kementerian Kesihatan bagi menjadikan pencegahan flu sebagai keutamaan.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal program Immunise4Life (IFL), Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail juga membuat ikrar peribadi bagi mencegah flu.

Tindakan individu mencegah flu mungkin mereka menyelamatkan nyawa diri sendiri dan orang yang tersayang.

Kempen itu seiring saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk tidak mengabaikan influenza dan isu kesihatan masyarakat yang lain di ketika COVID-19.

"WHO menganggarkan lebih 1 bilion kes flu setiap tahun, dengan tiga hingga lima juta berada dalam keadaan parah dan meragut nyawa lebih 650,000 orang seluruh dunia.

"Pertubuhan itu menyarankan supaya kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, ibu hamil, pesakit penyakit kronik dan warga emas mendapatkan vaksin influenza setiap tahun untuk melindungi diri mereka.

"Vaksinasi flu tahunan kaedah terbaik apabila diiringi dengan pengamalan kebersihan diri dan gaya hidup sihat bagi mencegah jangkitan influenza dan penyakit komplikasi," katanya.

Pengerusi Kumpulan Kerja Influenza Malaysia, Prof Dr Zamberi Sekawi percaya, kempen 'Cegah Flu, Norma Baharu' tepat pada masanya.

"Selepas berbulan menjalankan kehidupan yang terkawal, rakyat Malaysia mula kembali ke rutin harian mereka mengikut normal baharu.

Namun, masih terdapat dua risiko untuk mendapat jangkitan influenza apabila orang ramai mula bergaul di tempat kerja, sekolah dan kompleks membeli-belah.

"Hal ini mungkin boleh menyebabkan peningkatan kes flu

dalam beberapa bulan akan datang. Kita patut mengambil langkah pencegahan seperti mendapatkan vaksinisasi flu bagi melindungi diri kita."

"Bagi menunjukkan komitmen mereka dalam mencegah flu, pelbagai organisasi bersetuju untuk mempromosikan kempen ini kepada ahli persatuan mereka dan orang ramai," katanya.

Berita Harian X