Selasa, 5 September 2017 | 9:00pm

Mural bangkitkan aura seni dan kreativiti Sarang

TANJUNG MALIM: Dahulunya dikenali sebagai Rumah Rehat Tanjung Malim atau Rumah Warisan, namun hasil sentuhan penerbit dan pengarah filem terkenal, Mamat Khalid, 'penampilan' premis itu kini jauh berubah.

Mamat menjadikan premis itu sebagai Pusat Seni iaitu Sarang Art Hub (Sarang) untuk golongan muda berkarya sejak dua tahun lalu.


BADAN lori kontena diubahsuai menjadi pentas dan galeri seni di Rumah Rehat Tanjung Malim atau Rumah Warisan hasil sentuhan penerbit dan pengarah filem, Mamat Khalid. - Foto Rosman Shamsudin

MURAL filem Melayu terkenal pada Rumah Rehat Tanjung Malim atau Rumah Warisan hasil sentuhan penerbit dan pengarah filem, Mamat Khalid yang menjadikan ia sebagai Pusat Seni (Sarang). - Foto Rosman Shamsudin

Sarang menjadi salah satu komponen Projek 1Malaysia Youth City (1MYC) atau dikenali Bandar Belia 1Malaysia, dan Tanjung Malim kawasan perintis bagi melaksanakan program itu dalam usaha memberi peluang kepada golongan belia terutama pencinta seni untuk mengembangkan bakat cabang seni.

Idea kreatif dan dekorasi dilakukan Mamat juga sarat dengan pelbagai elemen seni bertujuan mengajak pengunjung Sarang berfikir dan menterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Terbaru, Sarang lebih menyerlah apabila dua anak muda, Mohamad Hafiz Abdul Aziz, 34, bersama sahabatnya, Mohd Nazari Ibrahim, 44, menghasilkan mural bertemakan 'Wall of Fame' (dinding kemasyhuran).


MURAL yang dipamerkan pada dinding Rumah Rehat Tanjung Malim atau Rumah Warisan hasil sentuhan penerbit dan pengarah filem, Mamat Khalid yang menjadikan ia sebagai Pusat Seni (Sarang). - Foto Rosman Shamsudin

MURAL Tan Sri P.Ramlee bersama pelakon seangkatannya pada bahagian kanan bangunan Rumah Rehat Tanjung Malim atau Rumah Warisan hasil sentuhan penerbit dan pengarah filem, Mamat Khalid yang menjadikan ia sebagai Pusat Seni (Sarang). - Foto Rosman Shamsudin

Mural yang sarat dengan penampilan wajah tokoh seni, filem, sasterawan, cendekiawan, atlit, pemimpin, tokoh sejarah serta personaliti dalam dan luar negara itu memenuhi setiap ruang dinding bangunan Sarang, sekali gus mengubah wajah lokasi itu agar tampak lebih menarik dan sesuai dengan fungsi penubuhan Sarang.

Ia juga dapat memberi informasi berguna kepada pengunjung terutama golongan muda yang segelintirnya tidak mengenali tokoh terkemuka dalam dan luar negara.

Mohamad Hafiz berkata, mural ikon seni dan tokoh terkenal dalam pelbagai bidang yang terdapat di Sarang diilhamkan hasil cetusan idea Mamat sebagai tarikan orang ramai mengunjungi Sarang di samping sebagai sumber pengetahuan kepada generasi muda.


ANTARA mural yang dipamerkan pada dinding Rumah Rehat Tanjung Malim atau Rumah Warisan. - Foto Rosman Shamsudin

WAJAH seniwati Sarimah dipaparkan pada Rumah Rehat Tanjung Malim atau Rumah Warisan hasil sentuhan penerbit dan pengarah filem, Mamat Khalid yang menjadikan ia sebagai Pusat Seni (Sarang). - Foto Rosman Shamsudin

Katanya, Mamat menyarankan mereka melukis secara biasa kerana nilai seni lebih berestetika berbanding cara paling pantas iaitu menggunakan 'LCD Projektor' yang sangat popular dipraktikkan oleh pelukis mural profesional.

"Kami bukan pelukis profesional dan hasil karya yang dihasilkan di Sarang dibuat kerana minat semata-mata dalam bidang seni terutama mural dan secara tidak langsung dapat berkongsi hasil karya seni mural dengan pengunjung Sarang.

"Gabungan idea kami berdua bersama Mamat Khalid memberi sumber inspirasi kepada saya untuk terus berkarya terutama dalam seni mural yang kadangkala mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat serta hanya mereka yang memahami seni sahaja mampu mentafsir di sebalik mural kami itu," katanya.


MURAL perjuangan negara matahari terbit pada Rumah Rehat Tanjung Malim atau Rumah Warisan hasil sentuhan penerbit dan pengarah filem, Mamat Khalid. - Foto Rosman Shamsudin

HIMPUNAN koleksi mural dihiasi dengan gantungan sarang burung Tempua pada Rumah Rehat Tanjung Malim atau Rumah Warisan hasil sentuhan penerbit dan pengarah filem, Mamat Khalid yang menjadikan ia sebagai Pusat Seni (Sarang). - Foto Rosman Shamsudin

Sementara itu, Mohd Nazari berkata, Sarang memberi ruang seluasnya kepada dirinya dan rakannya untuk berkarya terutama dalam menghasilkan mural apatah lagi wajah individu dalam dan luar negara yang menjadi ikon atau dianggap legenda.

Katanya, bukan mudah untuk menghasilkan mural wajah manusia kerana ia memerlukan penghayatan setiap watak atau karektor berkenan supaya pengunjung yang melihatnya akan terus mengenali individu berkenaan.

"Menghasilkan mural di dinding batu dan kayu perlu menggunakan teknik yang berbeza kerana permukaan dataran yang tidak sama menyebabkan saya perlu lebih teliti tidak melakukan kesalahan kerana bakal menjejaskan mural yang dihasilkan.

"Apabila orang tengok mural itu nampak kelihatan mudah sahaja untuk melukisnya tetapi tidak semudah yang dijangkakan itu kerana ia memerlukan kemahiran seni mural yang tinggi barulah mural yang dihasilkan difahami dengan jelas," katanya.


SENTUHAN kreatif Mamat mengubah landskap Rumah Rehat Tanjung Malim atau Rumah Warisan. - Foto Rosman Shamsudin

PAPAN tanda Rumah Rehat Tanjung Malim atau Rumah Warisan. - Foto Rosman Shamsudin

Berita Harian X