Ahad, 10 November 2019 | 10:30am
Resort dibina guna konsep ‘bunga raya’ tonjolkan PD setaraf destinasi percutian asing.

Bercuti di atas 'bunga raya' terapung

MUSIM cuti tidak lama lagi. Inginkan pengalaman percutian dalam suasana memukau, mendamaikan dan indah sambil menikmati pemandangan laut luas terbentang serta pelbagai aktiviti riang bersama keluarga, anda tidak perlu pergi jauh.

Di Lexis Hibiscus Port Dickson, Negeri Sembilan, umpamanya destinasi sesuai lengkap dengan penginapan berbentuk sekuntum bunga raya terapung di atas laut sudah cukup membuat pengunjung teruja mahu meneroka lokasi ini.

Setibanya di sini, dihidangkan pesona panorama indah membuatkan resort bertaraf lima bintang ini wajar menjadi pilihan destinasi percutian.

Sebahagian vila mewah dibina di atas air di pesisir pantai Pasir Panjang, sangat istimewa tidak terdapat di mana-mana resort lain kerana setiap bilik besar mempunyai kolam renang peribadi, bilik sauna, dua katil bersaiz ‘king’ dan pelbagai kelengkapan lain.

Justeru, sesuai untuk percutian keluarga, malah fasaliti lain bagi acara perkahwinan, persidangan mahupun mesyuarat sekali gus terkenal sebagai mercu tanda sering menggamit pelancong dalam dan luar negara menikmati di Port Dickson.

Pilih saja, kelas penginapan sama ada di bahagian stigma, Imperial Suites (stamen), Premium Pool Villas (kelopak), Executive Pool Villas (daun) dan Sky Pool Villas (on-shore).


Pemandangan resort indah dan unit penginapan di Lexis Hibiscus.

Penulis yang menginap di Sky Pool Villas, kamar di tingkat sembilan menghadap ke laut lepas dengan kelihatan jelas keseluruhan villa berbentuk bunga raya dari ruang balkoni. Saujana mata pemandangan laut luas terbentang terutama ketika matahari naik dan terbenam Selat Melaka.

Pengalaman ini wajar diabadikan bersama keluarga kerana banyak aktiviti boleh dilakukan di bawah satu bumbung. Ibu boleh memanjakan diri di spa, anak dan suami berkayak, banana bot, jetski, donut, band dragon atau banyak lagi, selain memanah, berjoging sepanjang kawasan itu.


Bersantai menaiki banana boat antara aktiviti menarik digemari pengunjung.

Bagi aktiviti lebih mencabar, khidmat helikopter atau cruise turut ditawarkan secara berasingan.

Presiden Lexis Hotel Group, Mandy Chew Siok Cheng, berkata berdasarkan aliran, kira-kira 65 peratus pelancong asing dari 140 negara menginap di sini Lexis Hibiscus selepas teruja mengetahui hotel ini mendapat pelbagai pengiktirafan rekod dunia Guiness.


Siok Cheng yakin Lexis Hibiscus Port Dickson mampu memberi pengalaman penginapan terbaik. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin

Katanya, ramai khususnya pelancong asing tidak percaya keindahan Port Dickson kerana sinonim dengan destinasi percutian di Phuket, Bali dan Bangkok.

“Reputasi penjenamaan penting mahu menjadikan Lexis seperti Hawaii yang mampu menarik pelancong dari Eropah.

“Port Dickson lokasi strategik sebagai destinasi percutian singkat terutama dari ibu kota, boleh bersama keluarga berbasikal, berjalan sekitar kawasan, aktiviti pantai seperti berkayak, jetski atau apa saja,” katanya.

Meskipun memberi pengalaman hospitaliti kondusif, resort ini turut menyediakan gerai makanan tempatan diusahakan masyarakat setempat di Hibiscus Walk sebagai alternatif untuk mendapatkan cita rasa hidangan berbeza.


Hibiscus Walk menawarkan 10 gerai makanan tempatan. - NSTP/Rosela Ismail

“Ada sate, nasi lemak, makanan laut, buah-buahan dan roti canai sekali gus memberi pilihan tetamu hotel mahupun pengunjung luar mencuba makanan tempatan atau makanan jalanan, selain bufet restoran kita,” katanya.

Beliau menegaskan, Lexis Hotel Group sentiasa mahu memberikan pengalaman penginapan terbaik kepada tetamu.

Tahun ini saja tujuh anugerah diterima pada majlis gala Asia dan Oceania 2019 Anugerah Pelancongan Dunia (WTA) di Vietnam, baru-baru ini.

Lexis Hibiscus Port Dickson memenangi anugerah Resort Vila Keluarga Terkemuka Asia, Resort Vila Air Terkemuka Asia, Lokasi Perkahwinan Terkemuka Asia, Resort Keluarga Terkemuka Malaysia dan Resort Terkemuka Malaysia tahun ini.

Secara keseluruhan Lexis Hotel Group menerima 30 anugerah dalam pelbagai kategori.


Manjakan diri di spa.

Info Lexis Hibiscus Port Dickson

• Lokasi: Batu 12, Jalan Pantai, Port Dickson, Negeri Sembilan.

• Jarak 120 Kilometer dari Kuala Lumpur.

• 643 kolam renang peribadi di setiap bilik penginapan (terbanyak di dunia).

• Memegang rekod dunia dengan 522 vila atas air (terbanyak di dunia).

• 117 bilik menara dilengkapi kolam renang peribadi.

Berita Harian X