Selasa, 12 November 2019 | 9:12am
BERMAIN layang-layang antara aktiviti digemari pengunjung ibu kota, pada hujung minggu. NSTP - Zunnur Al-Shafiq

Taman Metropolitan pusat santai

BERSANTAI menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga antara aktiviti yang baik untuk menenangkan fikiran.

Kini aktiviti riadah lebih mudah kerana pelbagai kemudahan disediakan berhampiran kawasan perumahan tanpa perlu berjalan jauh.

Misalnya, di ibu negara masih banyak destinasi yang boleh dikunjungi membawa keluarga tanpa mengeluarkan belanja besar.

Antaranya, taman rekreasi terbesar di ibu negara, Taman Metropolitan Kepong dengan keluasan 90 hektar menyediakan pelbagai kemudahan riadah dan bersantai terutama bermain layang-layang.

Pekerja Swasta, Azeli Abas, 42, berkata lokasi selamat untuk keluarga dilengkapi dengan landskap menghijau, peralatan beriadah, kawasan lapang dan tasik dianggap membuatkan semuanya lebih mudah.


TAMAN Kepong Metropolitan menyediakan pelbagai kemudahan riadah. NSTP - Zunnur Al-Shafiq

Katanya, tapak luas membolehkan pelbagai aktiviti dilakukan untuk semua peringkat usia.

“Saya kerap membawa anak-anak bermain layang-layang kerana kawasannya luas serta tiupan angin yang sesuai dari tasik berdekatan.

“Malah, kita tidak perlu bersusah-payah mencari kedai peralatan layang-layang itu kerana ada dijual di sini pada harga bermula RM5.

“Bermain layang-layang menarik perhatian kanak-kanak kerana warnanya dan kepuasan kepada mereka apabila dapat melihatnya terbang setinggi yang mungkin,” kata bapa kepada tiga anak.

Lokasi ini juga mempunyai laluan siar kaki sejauh 3.5 kilometer (km) bagi keselesaan pengunjung untuk melakukan riadah mudah antaranya joging, berjalan pantas, berbasikal dan menggunakan pelbagai permainan beroda.


WARGA kota beriadah pada hujung minggu di Taman Kepong Metropolitan, Kepong. NSTP - Zunnur Al-Shafiq

“Selain layang-layang, kanak-kanak juga suka bermain skuter elektronik dan kami mudah mengawal mereka walaupun ketika berlari mengelilingi tasik Metropolitan Kepong.

“Kemudahan yang sempurna ini selesa dan menjadi lokasi wajib dikunjungi setiap hujung minggu,” katanya.

Antara kemudahan lain iaitu rumah sampan dan jeti untuk aktiviti air khususnya bagi program badan beruniform seperti penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menjalani latihan kemahiran ketahanan di dalam air seperti ‘boating’, skuba dan berkayak.

Turut disediakan bilik persalinan dan tandas awam di rumah sampan.

Pelancong Syria, Muhammad Yaser Abdullah, 32, berkata sebelum ini beliau pernah berkunjung ke situ untuk beriadah bersama teman sekuliah ketika menuntut di sebuah universiti di sini.

“Kami sering mengunjungi kawasan ini sejak lima tahun lalu. Kini aktiviti itu diteruskan dan lazimnya saya datang bersama keluarga,” katanya.


Laluan pejalan kaki memudahkan aktiviti warga kota di Taman Metropolitan, Kepong. NSTP - Zunnur Al-Shafiq

“Selain universiti, Menara Kuala Lumpur, Putrajaya, Genting Highlands dan Melaka, Taman Metropolitan Kepong ini juga antara destinasi yang sungguh nyaman untuk bersama keluarga,” katanya yang menghabiskan masa seminggu bercuti di sini.

Kawasan ini menyediakan kemudahan senam ringan selain dilengkapi panduan penggunaan secara khusus seperti senaman bahagian bawah badan, bahagian atas anggota, abdomen dan senaman untuk kesihatan jantung.

Bagi kanak-kanak sudah tentu mereka tidak akan bosan dengan adanya set permainan integrasi papan luncur, buaian, jongkang-jongkit dan alatan memanjat. Kemudahan untuk kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun.

Disediakan juga kemudahan tiga menara tinjau bagi memberi peluang remaja merakam gambar dengan latar belakang keindahan ibu kota Kuala Lumpur.

Info

Taman Metropolitan

* Terletak di sebelah kiri bersebelahan Jalan Lingkaran Tengah II dari Batu Caves.

* Jarak 20 kilometer dari Kuala Lumpur.

* Keluasan 90 hektar

* Kawasan mencakupi landskap hijau dan tasik.

* Laluan siar kaki sejauh 3.5 km untuk aktiviti berjalan, berbasikal, berjoging dan peralatan beroda.

* Pentas terbuka amphitheatre bagi pelbagai aktiviti, program dan persembahan.

* Dibuka setiap hari bermula jam 6 pagi hingga 7 malam.


AKTIVITI santai pada hujung minggu antara yang dilakukan penghuni ibu kota. NSTP - Zunnur Al-Shafiq

Berita Harian X