Ahad, 8 Disember 2019 | 10:00am
Panorama indah ketika matahari terbenam di Taman Tasik Titiwangsa. Foto NSTP - Supian Ahmad.
Panorama indah ketika matahari terbenam di Taman Tasik Titiwangsa. Foto NSTP - Supian Ahmad.

Taman Tasik Titiwangsa berwajah baharu

SUDAH lebih 10 tahun tidak menjengah Taman Tasik Titiwangsa, yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur membuatkan hati tertarik untuk menjenguk ‘wajah’ baharunya.

Taman tasik sering menjadi tumpuan masyarakat sekitar bandar raya ditutup selama setahun bermula 1 September 2018 sehingga penghujung tahun ini bagi kerja-kerja naik taraf yang menjadi sebahagian daripada projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (ROL).

Ketika tiba ke taman berkenaan sudah agak lewat petang tetapi masih ramai warga kota yang beriadah sambil berjoging bersama keluarga dan rakan di luar taman tasik.

Sesetengahnya cuba meninjau daripada lubang kon yang memagari sepanjang tasik berkeluasan lebih 100 kilometer itu.

Ternyata ramai yang tidak sabar untuk melihat apakah pembaharuan yang dibawakan ke taman tasik berkenaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

LUAS suajana mata memandang melihat keindahan Taman Tasik Titiwangsa yang dinaiktarafkan- Foto NSTP - Supian Ahmad.
LUAS suajana mata memandang melihat keindahan Taman Tasik Titiwangsa yang dinaiktarafkan- Foto NSTP - Supian Ahmad.

Tempat santai warga kota beriadah dan menghabiskan cuti hujung minggu. Foto NSTP - Supian Ahmad.
Tempat santai warga kota beriadah dan menghabiskan cuti hujung minggu. Foto NSTP - Supian Ahmad.

Ada cuba memasuki kawasan berkenaan tetapi dihalang oleh pengawal keselamatan yang menjaga ke lima pintu masuk utamanya.

Ditemani pegawai dan kakitangan DBKL, kami diberi peluang untuk melihat sendiri pembaharuan yang dijalankan di situ.

Pemandangan matahari terbenam di jeti tasik yang menempatkan pusat informasi dan rumah bot, memukau mata.

Di tengah bandar raya, Taman Tasik Titiwangsa adalah satu-satunya lokasi strategik untuk menikmati pemandangan matahari terbenam berbanding tasik lain.

RUANG beristirehat untuk menikmati ketenangan lari daripada hiruk-pikuk kesibukan kota. - Foto NSTP - Supian Ahmad.
RUANG beristirehat untuk menikmati ketenangan lari daripada hiruk-pikuk kesibukan kota. - Foto NSTP - Supian Ahmad.

PENGUNJUNG pasti lebih selesa dengan pelbagai kemudahan selepas dinaiktaraf di Taman Tasik Titiwangsa. Foto NSTP - Supian Ahmad
PENGUNJUNG pasti lebih selesa dengan pelbagai kemudahan selepas dinaiktaraf di Taman Tasik Titiwangsa. Foto NSTP - Supian Ahmad

 PERSEKITARAN taman ini mampu menggamit bukan sahaja warga kota. Foto NSTP - Supian Ahmad.
PERSEKITARAN taman ini mampu menggamit bukan sahaja warga kota. Foto NSTP - Supian Ahmad.

Jeti, rumah bot dan pusat informasi di sini sudah dinaik taraf dengan reka bentuk lebih kemas dan moden dengan lantai kayu yang sesuai dijadikan tempat untuk menikmati pemandangan tasik selain bermain aktiviti air seperti berkayak atau bot kayuh mahupun mengadakan majlis kecil.

Astaka masih dikekalkan tetapi diberikan sentuhan lebih moden dengan hiasan rumput menghijau di kiri kanannya.

Gelanggang badminton dan bola jaring di hadapannya adalah yang terbesar terdapat di situ untuk sebarang aktiviti sukan atau hari keluarga.

Dua laluan trek dibina untuk penunggang basikal (berwarna merah) dan pejalan kaki atau berjogging (hitam) di sepanjang taman ini.

Lebih menarik, ibu bapa boleh membawa anak bermain air di taman tema air di Laman Keluarga dan taman permainan yang dilengkapi gelungsur setinggi kira-kira lima meter, buaian, titian gantung dan ‘rock climbing’ mini.

Sebelah malam, sudut Banjaran Titiwangsa paling memukau dengan keindahan cahaya dengan ‘canopy walk’ yang dibina daripada pelantar kayu sepanjang lebih 100 meter.

Bahagian bawahnya terdapat aliran jeram mini yang deruan airnya mampu menghilangkan tekanan selepas seharian bekerja.

Pelbagai spesies pokok seperti pokok pain dan ru menjadikan suasana seperti berada di luar negara.

Jika anda berkunjung ke sini pada waktu pagi, terdapat kabus yang keluar daripada bahagian bawah.

Pemandangan sejuk itu bagi menterjemahkan suasana di Banjaran Titiwangsa yang hijau dan dingin.

Pejalan kaki di Laman Kerawang atau Taman Maze, bau semerbak menusuk ke hidung seakan haruman bunga melur tetapi ia sebenarnya datang daripada bunga kemuning yang ditanam dan membentuk ‘puzzle’ di taman berkenaan.

Lampu berbentuk rama-rama gergasi diletakkan di beberapa tempat yang menambah kemeriahan cahaya di situ.

Berdepan Taman Maze adalah deretan pokok yang ditanam secara bersusun bagi menimbulkan suasana seakan di Pulau Nami, Korea.

Di bahagian bawahnya, ditanam pokok anggerik tanah yang merimbun yang pastinya membuatkan penggemar anggerik teruja apabila melihatnya.

Ternyata persekitaran taman ini mampu menggamit bukan sahaja warga kota, malah pelancong asing untuk menikmati keindahan landskap, pemandangan dan melakukan pelbagai aktiviti.

INFO

TAMAN TASIK TITIWANGSA

* Keluasan 46.13 hektar (114 ekar)

* 3 kilometer dari pusat bandar

* Dibuka secara rasmi pada 1 Februari 1980 oleh Allahyarham Tun Hussein Onn.

* Berasal dari kolam bekas lombong yang terdalam selepas Tasik Mines, Seri Kembangan.

* Terdapat lebih 1,600 spesies pokok baharu ditanam

Berita Harian X