X
Ahad, 15 Disember 2019 | 11:00am

Terokai keunikan Bumi Kenyalang

BERKUNJUNG ke Kuching, ibu negeri Sarawak memberi peluang menikmati keunikan serta keindahan yang terdapat di bumi Kenyalang dari dekat.

Penerbangan satu jam 30 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, turut menawarkan pemandangan indah hutan hujan tropika berusia ratusan ribu tahun tahun selain melihat sendiri keunikan cara hidup masyarakat daripada berbilang etnik.

Menyedari peningkatan jumlah kemasukan pelancong asing dan domestik ke Sarawak, pelbagai inisiatif disediakan bagi memudahkan tetamu memahami budaya masyarakat menerusi program antaranya, Sitok Kuching yang berlangsung baru-baru ini.

Sitok bermaksud di sini, dijayakan 59 peserta terdiri daripada peniaga kraf, makanan dan minuman dan sajian tradisi dengan perspektif berbeza untuk menarik semua lapisan masyarakat terdiri daripada pelbagai golongan.

Program memaparkan kepada dunia mengenai keunikan yang terdapat di negeri ini selain meraikan seni dan budaya menerusi perspektif lebih segar dan kontemporari.

Keindahan flora, fauna

Penganjur mengambil peluang menyampaikan mesej bahawa Sarawak kaya seni dan budaya berlatar belakangkan flora dan fauna selain pemandangan indah dari Gunung Santubong.

Program tiga hari bermula 6 Disember berlangsung di lokasi tumpuan ramai Kuching Waterfront dihadiri lebih 15,000 pengunjung.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Hadir sama, timbalannya, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Setiausaha Tetap, Hii Chang Kee di Kuching Waterfront, baru-baru ini.

Sitok Kuching sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasakan industri pelancongan juga sempena promosi awal menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Aktiviti eko pelancongan

Abdul Karim berkata, sebagai pintu masuk ke negeri ini, Kuching memberi inspirasi kepada pengunjung untuk terus meneroka keunikan ke seluruh negeri terutama ke kawasan tumpuan antaranya ke Gua Niah dan Gua Mulu, kedua-duanya menjadi lokasi tumpuan pengunjung terutama dari Eropah.

Katanya, kerajaan mengoptimumkan keunikan di sini sebagai sebahagian produk pelancong, keunikan dipamerkan secara kreatif dan inovatif bagi menarik pengunjung.

“Pada masa sama kami menganjurkan misi promosi ke beberapa negara antaranya ke Singapura bagi tujuan itu, berikutan pengunjung dari republik itu memiliki kuasa membeli yang tinggi berdasarkan tukaran wang asing.

“Penerbangan antarabangsa terus ke Kuching dilihat sebagai kekuatan menarik pelancong terutama dari Brunei, Singapura, Filipina dan China,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Sitok Kuching, baru-baru ini.

INFO

SITOK KUCHING

* Dihadiri 15,000 pengunjung tempatan dan asing

* Disertai 59 peserta dengan mempamerkan seni kraf dan sajian tradisional

* Sejumlah 3.36 juta pelancong sepanjang tempoh Januari hingga September 2019 meningkat 4.24 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

* Jana pendapatan berjumlah RM7 bilion tahun lalu

FAKTA:

* Taman Negara Gunung Mulu mempunyai rangkaian gua terpanjang di dunia.
* Terletaknya Sarawak Chamber' ruang bawah tanah terbesar dunia yang boleh memuatkan 40 pesawat Boeing 747.

* Pengunjung berpeluang melihat terowong gua terbesar di dunia, Gua Rusa, yang boleh memuatkan lima buah gereja besar bersaiz gereja Saint Paul di London.

* Tarikan Gua Air Jernih, paling panjang di Asia Tenggara.

* Terdapat batu kapur tropika terbaik dunia termasuk rabung batu kapur yang besar dipanggil “The Pinnacles'.

CARA KE SANA

* Menaiki bot ekspres dari Kuala Baram (tiga jam) ke Marudi. Dari Marudi, anda menaiki bot ekspres komersial ke Kuala Apoh atau Long Panai di atas Sungai Tutoh (satu cabangan Sungai Baram).

* Bot ekspres bertolak dari Marudi tengah hari setiap hari dan kembali semula pagi keesokan harinya. Perjalanan mengambil masa sekitar tiga jam.

Berita Harian X