Ahad, 22 Disember 2019 | 10:00am
AIR pancut ‘High Fountain Jet’ jadi tarikan baharu di Taman Tasik Titiwangsa, setinggi 100 meter. NSTP - Zunnur Al-Shaqif.
AIR pancut ‘High Fountain Jet’ jadi tarikan baharu di Taman Tasik Titiwangsa, setinggi 100 meter. NSTP - Zunnur Al-Shaqif.

Air pancut setinggi 100 meter, tarikan baharu

Air pancut tinggi kuasa jet atau lebih popular dikenali ‘high fountain’ jet setinggi 100 meter (m) di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur yang boleh dilihat bermula minggu lalu, diterangi cahaya lampu berwarna-warni selama sejam memberikan tarikan baharu kepada warga kota dan pelancong menikmati keindahannya.

Lebih teruja pastinya ramai ingin melihat panorama air pancut tertinggi di negara ini

Ketinggiannya bersamaan hampir 30 tingkat bangunan menjadikan ‘high fountain’ jet seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah produk pelancongan baharu di ibu kota sebagai daya tarikan industri pelancongan bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Timbalan Pengarah, Bahagian Selenggara Kemudahan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikalnya, Norayati Hashim berkata, sebenarnya ‘high fountain’ jet mula beroperasi di Taman Tasik Titiwangsa pada 2007 ketika mempromosikan Eyes of Malaysia, namun ditutup setahun bagi memberi laluan kepada kerja menaik taraf.

‘High fountain’jet ditutup kepada umum untuk kelangsungan projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life yang dibangunkan di sekitar Taman Tasik Titiwangsa. Projek berkenaan merangkumi pembersihan sungai, pengindahan sungai, komersial dan pelancongan.

WAJAH baharu Taman Tasik Titiwangsa yang sudah dibuka kepada orang ramai, . NSTP - Hadiz Sohaimi.
WAJAH baharu Taman Tasik Titiwangsa yang sudah dibuka kepada orang ramai, . NSTP - Hadiz Sohaimi.

“Justeru, ‘high fountain’ jet diletakkan di bawah kategori komersial dan pelancongan apabila produk berkenaan amat berpotensi untuk dibangunkan sebagai daya tarikan industri percutian domestik mahupun antarabangsa.

“Berhadapan ‘high fountain’ jet ini dibangunkan rumah sampan atau boat house yang mempunyai restoran, sambil makan anda boleh menikmati pemandangan,” katanya ditemui baru-baru ini.

Pengunjung yang melakukan aktiviti santai seperti joging mahupun riadah kekeluargaan dengan berkayak dan bot dayung mengelilingi tasik, bakal disajikan dengan pemandangan mempesona ‘high fountain’ jet, mahupun yang berkelah di tepian tasik, berpeluang merasai suasana segar dan nyaman.

Selain berpotensi untuk tujuan komersial dan pelancongan, ‘high fountain’ jet dengan wajah baharu itu juga berfungsi sebagai penguraian tumbuh-tumbuhan alga yang hidup di dalam tasik.

Alga dikocak dengan air pancutan supaya ia tidak membiak, selain pengudaraan yang terhasil bagi menyejukkan suhu air supaya spesies ikan membiak dalam habitatnya.

ANTARA keindahan Taman Tasik Titiwangsa wajar diteroka warga kota. - NSTP
ANTARA keindahan Taman Tasik Titiwangsa wajar diteroka warga kota. - NSTP

Air pancut tinggi kuasa jet berkenaan menggunakan 540 kuasa kuda sebagai daya tujahan untuk memancutkan air tinggi di udara. Manakala alat pengudaraan atau dikenali aerator sebanyak enam unit yang dibina di sekeliling high fountain jet turut membantu proses penguraian alga dan pengudaraan bagi tujuan pembiakan ikan.

Pengunjung yang bertandang ke Taman Tasik Titiwangsa berpeluang menikmati pesona high fountain jet menerusi empat sesi masa puncak iaitu 8 pagi hingga 10 pagi, 12 tengah hari hingga 2 petang, 4 petang hingga 6 petang dan yang paling menarik disertai lampu berwarna-warni jam 8 malam hingga 9 malam.

Suasana Taman Tasik Titiwangsa mampu jadi tarikan pengunjung melakukan pelbagai riadah. NSTP - Supian Ahmad
Suasana Taman Tasik Titiwangsa mampu jadi tarikan pengunjung melakukan pelbagai riadah. NSTP - Supian Ahmad

Tarikan baharu Taman Tasik Titiwangsa

* Kanopi Banjaran Titiwangsa (dataran).

* Laman Kerawang.

* Taman Air Kanak-Kanak.

* Taman Permainan Kanak-Kanak.

Berita Harian X