X
Rabu, 10 Jun 2020 | 1:27pm
INAP desa antara pilihan pelancong domestik untuk bercuti.- Foto/Noorazura Abdul Rahman
INAP desa antara pilihan pelancong domestik untuk bercuti.- Foto/Noorazura Abdul Rahman
NORDIN Yob, 57, mengusahakan inap desa menyediakan dusun durian untuk dinikmati pengunjung yang menginap di premisnya. - Foto/Noorazura Abdul Rahman
NORDIN Yob, 57, mengusahakan inap desa menyediakan dusun durian untuk dinikmati pengunjung yang menginap di premisnya. - Foto/Noorazura Abdul Rahman

Diskaun lebih 60 peratus percutian inap desa

PADANG TERAP: Pelancong domestik memilih percutian inap desa di kawasan dusun durian di negeri ini, susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bermula hari ini yang membolehkan mereka merentas negeri.

Pengusaha inap desa, Nordin Yob, 57, berkata dia sudah menerima lebih 50 tempahan dan beberapa keluarga sudah mula menginap di kawasan dusun durian miliknya.

"Saya menawarkan penginapan berdekatan dusun durian, jadi ramai yang ambil peluang untuk menikmati raja buah ini sambil bercuti dalam suasana di kampung.

"Bagi menarik lebih ramai pelancong ke sini, kami menawarkan pakej promosi penginapan dengan diskaun lebih 60 peratus sehingga 29 Julai ini.

"Sudah hampir tiga bulan saya tiada pelanggan, dalam keadaan sekarang, kita perlu ada situasi menang-menang, saya untung sikit tak mengapa, pelanggan pula dapat jimat duit jika mahu bercuti," katanya yang mengusahakan lapan inap desa di Kampung Baru Tapang, Felda Lubuk Merbau.

Nordin berkata, sejak tiga hari lalu, ahli keluarganya membantu membersihkan homestay dengan lebih teliti selain turut menyediakan cecair pembasmi kuman dan pelitup muka untuk pelanggan.

Katanya, dia sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan kembali industri pelancongan tempatan dibuka sekali gus meningkatkan semula ekonomi penduduk di luar bandar.

"Saya beruntung apabila kerajaan umumkan PKPP, ada musim buah pula dan ramai pelanggan daripada Pulau Pinang, Kulim dan Alor Setar membuat tempahan.

"Biarpun tinggal di kawasan terpencil, tapi kami di sini tetap mengamalkan kebiasaan baharu bagi mengekang pandemik COVID-19, saya akan sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Berita Harian X