Ahad, 19 Julai 2020 | 11:14am
Gunung Keriang jadi tumpuan pelancongan terkenal dengan pemandangan indah. - Foto Amran Hamid
Gunung Keriang jadi tumpuan pelancongan terkenal dengan pemandangan indah. - Foto Amran Hamid

'Memburu' batu kristal Gunung Keriang

DI SEBALIK keindahan Gunung Keriang 'disulami' pemandangan sawah yang menghijau, tidak ramai yang tahu ia mengungkap pelbagai kisah si pemburu batu kristal di dalam gunung berkenaan.

Kecantikan batu kristal di dalam gunung itu dapat dilihat sendiri oleh pengunjung di hampir 10 gerai yang menjual batu berkenaan di kaki Gunung Keriang, Kedah.

Namun, untuk mengambilnya ia menuntut kesabaran yang tinggi selain berdepan risiko kehilangan nyawa jika tersilap langkah.

Bagi penjual dan pencari batu kristal Gunung Keriang, Mahadi Mat Akhir,54, minatnya terhadap batu hiasan itu bermula sejak 23 tahun lalu selepas ramai kenalan menjadikan ia sebagai sumber pendapatan tetap menyara keluarga.

Katanya, batu kristal gunung terbabit mempunyai peminatnya tersendiri terutama kaum Cina yang percaya batu itu mempunyai aura baik serta mampu menolak aura jahat jika diletakkan di dalam rumah atau premis perniagaan.

Anda antara batu kristal dijual pada mencecah RM50,000. - Foto Amran Hamid
Anda antara batu kristal dijual pada mencecah RM50,000. - Foto Amran Hamid

"Namun bagi orang Melayu, ia dijadikan hiasan yang cantik kerana bentuknya yang pelbagai seakan-akan batu karang laut.

"Dulu setiap hari saya masuk ke dalam mencari batu, keadaan di dalam sangat gelap selain sempit,"katanya ketika ditemui di gerainya di Gunung Keriang.

Bapa kepada lima orang anak ini berkata, harga batu kristal yang dijual bermula daripada RM1 sehingga RM50,000.

Sabung nyawa masuk gua

Beliau berkata, batu berkenaan terbahagi kepada tiga peringkat iaitu bunga batu iaitu peringkat batu masih muda, bunga kristal iaitu peringkat pertengahan dan batu kristal iaitu peringkat batu yang sudah matang.

Menceritakan pengalamannya, Mahadi berkata, walaupun beliau perlu menyelusuri kegelapan di dalam gua namun nalurinya untuk mengesan kedudukan batu itu sangat kuat.

"Untuk batu kristal yang berharga RM50,000 saya memburunya selama lima tahun, saya mengetuk dan menggoreng bahagian gua setiap hari kerana yakin akan terdapat batu besar yang cantik di dalamnya.

Mahadi menjual batu hiasan kristal yang diperoleh daripada Gunung Keriang. - Foto Amran Hamid
Mahadi menjual batu hiasan kristal yang diperoleh daripada Gunung Keriang. - Foto Amran Hamid

Pemandangan Gunung Keriang yang menjadi lokasi penduduk mencari batu kristal untuk tambah pendapatan. - Foto Amran Hamid
Pemandangan Gunung Keriang yang menjadi lokasi penduduk mencari batu kristal untuk tambah pendapatan. - Foto Amran Hamid

"Pada 2006, saya mula melakukan misi saya seorang diri, saya mengetuk dan menggali gua berbentuk 'zig zag' bagi memastikan tidak berlaku runtuhan, setiap hari saya akan habiskan masa kira-kira dua jam untuk menggali.

"Akhirnya selepas lima tahun saya menemui sebuah batu kristal yang besar dan cantik kira-kira satu meter tinggi dan lebar, saya mengambil masa 20 hari untuk mengorek dan mengetuk batu untuk di bawa keluar dari gunung.

"Kemudian saya mengambil masa lima hari untuk menurunkan batu kristal berkenaan bersama dua rakan dengan menggunakan peralatan khas,"katanya.

Selepas berjaya menurunkan batu seberat satu tan itu pada 2011, Mahadi membawa pulang batu itu ke rumah dan hanya merancang untuk menjualnya dua tahun selepas itu.

Katanya, pada 2013 dia mula mempamerkan batu itu untuk dijual di gerainya dengan harga RM50,000.

- Foto Amran Hamid
- Foto Amran Hamid

- Foto Amran Hamid
- Foto Amran Hamid

"Saya tawarkan harga itu berbaloi dengan usaha saya selama lima tahun menyambung nyawa di dalam gua. Ada dua individu yang mahu membelinya dengan harga RM10,000 tapi saya tidak bersetuju menjualnya dengan harga berkenaan.

"Sekarang biarpun masih tidak terjual, saya yakin batu ini akan menemui pemiliknya suatu hari nanti, setiap hari menjadi rutin saya menyembur batu-batu kristal dengan air, ia hidup dan memerlukan oksigen seperti kita,"katanya yang bependapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Lihat keindahan alam dari atas gunung

Meniti usia semakin lanjut, Mahadi kini hanya mampu menaiki gunung itu dua kali seminggu dan banyak mendapatkan bekalan daripada orang muda yang mencari batu itu setiap hari.

"Alhamdulillah orang ramai, sudah mula berkunjung ke sini selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), saya mula buka membuka gerai pada jam 8 pagi sehingga 7 malam.

"Walaupun tiada pelancong dari luar negara tapi tempat ini tidak sunyi kerana menjadi destinasi orang tempatan beriadah mendaki dan melihat keindahan kawasan itu dari atas gunung "katanya.

Beliau berkata, bagi pelancong tidak rugi berkunjung ke Kedah kerana terlalu banyak tempat menarik yang boleh diterokai dan pastinya cari kelainan dengan menyaksikan atau membeli batu kristal untuk koleksi hiasan peribadi mereka.

Antara deretan kedai menjuam batu kristal di tepi jalan di Gunung Keriang. - Foto Amran Hamid
Antara deretan kedai menjuam batu kristal di tepi jalan di Gunung Keriang. - Foto Amran Hamid

Berita Harian X