Ahad, 26 Julai 2020 | 10:58am
KEINDAHAN matahari terbenam boleh dilihat dengan jelas dari Star View Menara Alor Setar. - NSTP/Zuliaty Zuklifli
KEINDAHAN matahari terbenam boleh dilihat dengan jelas dari Star View Menara Alor Setar. - NSTP/Zuliaty Zuklifli

Panorama 360 darjah

MENGUJI keberanian dan merasai cabaran berada di 'angkasa' sama ada berdiri, berjalan, duduk, berbaring atau apa sahaja gaya di dalam kotak kaca pada paras ketinggian melebihi 100 meter sambil berselfie serta menikmati panorama di sekeliling pasti mengujakan.

Pengalaman itu boleh anda kecapi di Star View di puncak Menara Alor Setar, Kedah yang dilengkapi kotak bercermin atau "glass box" pada ketinggian 105 meter memberi satu pengalaman baru yang ditawar kepada pengunjung.

Perasaan gayat dan takut ketika itu akan bertukar menjadi berani apabila pengunjung melihat keindahan matahari terbenam, selain panorama indah di sekitar kawasan itu.

Hanya enam orang dibenarkan berada di atas kotak kaca dalam satu masa bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Produk terbaharu, kata Pengurus Besar Menara Alor Setar, Mohamad Zamri Abdul Razak mampu menarik minat pelancong datang ke negeri ini.

Katanya, pengunjung akan melihat sendiri keindahan bandar raya Alor Setar termasuk pada waktu malam ketika berada di Star View.

Pengunjung membayar tiket untuk ke Star View akan dibawa naik ke aras Mega View, iaitu 100 meter aras ketinggian sebelum dibawa naik ke Star View menggunakan lif yang dikhaskan.

"Bukan itu saja, mereka juga boleh melihat panorama Gunung Jerai, Gunung Keriang, Langkawi dan keluasan Lautan Andaman.

"Panorama indah seperti ini tidak dapat dilihat di tempat lain melainkan ketika berada di atas kapal terbang kerana Star View menjanjikan sesuatu kenangan indah kepada pengunjung datang ke sini," katanya.

PENGALAMAN baharu pengunjung dari puncak setinggi 105m. - FotoBERNAMA
PENGALAMAN baharu pengunjung dari puncak setinggi 105m. - FotoBERNAMA

Menara Alor Setar kedua tertinggi selepas Menara Kuala Lumpur. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Menara Alor Setar kedua tertinggi selepas Menara Kuala Lumpur. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Mohamad Zamri berkata, Star View Menara Alor Setar sepatutnya sudah dibuka kepada pengunjung sekitar Mei lalu, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya terpaksa menangguhkannya terlebih dahulu.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang berdiri di atas kotak kaca kerana ia dibina dengan tiga lapisan cermin kaca berkualiti tinggi jenis kaca baja (tempered glass) yang tebal dan mampu menampung berat dua tan.

"Bagaimanapun, pengunjung perlu menanggalkan kasut untuk berdiri di atas kotak kaca untuk mengelakkan ia bercalar selain memastikan cermin dalam keadaan bersih.

"Terpulang kepada pengunjung sama ada nak duduk, berdiri atau berjalan sambil berselfie, namun mereka perlu mengikut had limit masa yang ditetapkan," katanya.

Mohamad Zamri berkata, Menara Alor Setar adalah salah satu mercu tanda Kedah yang juga menara kedua tertinggi selepas Menara Kuala Lumpur.

Katanya, hanya kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas dan warga emas 60 tahun ke bawah dibenarkan berada di atas kotak kaca itu.

"Mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti lemah jantung dan sebagainya tidak dibenarkan untuk menaiki kotak kaca ini.

"Sebagai tanda pengenalan sempena pembukaan, mempromosikan harga sebanyak RM24 (dewasa) dan RM12 untuk kanak-kanak," katanya.

Di Star View pengunjung akan diiringi empat pengawal keselamatan dan dua kakitangan untuk khidmat pertanyaan.

PENGUNJUNG boleh melihat pemandangan sekitar Alor Setar menerusi Star View pada ketinggian 105m menerusi kotak kaca ini. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
PENGUNJUNG boleh melihat pemandangan sekitar Alor Setar menerusi Star View pada ketinggian 105m menerusi kotak kaca ini. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Sebarang perkara berlaku di tingkat itu, pengawal keselamatan akan membantu pengunjung untuk menyelesaikan urusan mereka ketika berada di Star View sehingga turun ke tingkat bawah.

"Pengunjung yang penat dan mahu menikmati makanan istimewa untuk sarapan hingga malam mereka boleh singgah di Menara Berputar, di tingkat bawah Star View.

"Star View beroperasi jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dan sekiranya keadaan hujan, pengunjung tidak digalakkan menaiki Star View untuk tujuan keselamatan," katanya.

Mohamad Zamri berkata, namun setiap pengunjung disyaratkan memakai pelitup muka dan hidung sebagai SOP bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 ketika berada di Menara Alor Setar.

Berita Harian X