Isnin, 25 Februari 2019 | 10:00am
Restoran Market terletak berdekatan pintu masuk utama taman tema Legoland Malaysia Resort, Iskandar Puteri, Johor Bahru. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Sajian di taman tema

LAZIMNYA apabila pengunjung membawa keluarga, terutama anak-anak ke taman tema, mereka pasti mencari premis makanan yang terletak berdekatan, selain menampilkan menu mengenyangkan, lazat dan berkhasiat.

Pengunjung pasti mencari tempat makan yang sesuai untuk seisi keluarga sebelum meneruskan aktiviti untuk menikmati keseronokan sepanjang hari.

Justeru, kunjungan anda ke taman tema terkemuka Legoland Malaysia Resort pastinya lebih meriah dengan pelbagai juadah lazat disediakan.

Penulis berkunjung ke taman tema, premis makanan menyediakan menu mengenyangkan, adalah pilihan utama kerana tidak perlu berkunjung ke restoran makanan segera.

Restoran Market terletak berdekatan pintu masuk utama taman tema, pengunjung pasti puas hati menikmati menu berasaskan nasi, selain makanan segera mengenyangkan seperti makaroni, kepingan ikan dan sandwic.

Cef Eksekutifnya, Mohd Rozaiman Mohd Sahid, berkata premis makanannya mula menerima kehadiran pengunjung seawal jam 11.30 pagi.

Pengunjung ke taman tempat cepat lapar kerana mereka aktif bergerak dan menikmati pelbagai mainan dan berhibur.

Ibu bapa membawa anak-anak menikmati sajian mengenyangkan selepas seharian bersantai di taman tema. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Menu popular menjadi pilihan pengunjung antaranya nasi beriani, nasi ayam oriental, ayam panggang dan kepingan ikan tempura.

Semua hidangan ini adalah pilihan sajian mengenyangkan, memberi tenaga supaya pengunjung terus bersemangat meraikan keriangan bagi tempoh ‘separuh masa kedua’ di taman tema itu.

“Selepas bermain dengan pelbagai permainan, pengunjung terutama kanak-kanak cepat lapar, pastinya masing-masing mencari nasi, terutama orang Melayu.

“Di sini, kami juga menyediakan kentang goreng berbentuk lego yang hanya terdapat di taman tema ini. Selain itu, LED fun bottle adalah nilai tambah terutama dalam kalangan anak kecil supaya mereka berselera makan bersama ibu bapa.

“Kami hanya menggunakan beras pilihan basmathi dalam penyediaan nasi ayam oriental.

“Paha ayam pula bersaiz besar. Pes untuk nasi, kami hasilkan sendiri dan premis makanan di sini tidak menggunakan perisa makanan mengandungi monosodium glutamat (MSG),” katanya.

Antara hidangan di Restoran Market. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

INFO

Restoran Market

• Terletak Legoland Malaysia Resort, Iskandar Puteri, Johor

• Menu nasi ayam oriental termasuk minuman ringan dan pencuci mulut

• LED fun bottle ialah botol air isian semula menggunakan kuasa bateri mengeluarkan cahaya lampu berwarna-warni

Berita Harian X