Rabu, 24 April 2019 | 10:12am
ABD Razak menunjukkan hidangan 'Selera Kampung' di sediakan di Tropicana Golf & Country Resort. NSTP - Aswadi Alias

'Jatuh cinta' nikmati lebih 300 sajian istimewa di TGCR

Memang sukar mencari premis makanan yang menyajikan sajian atau cita rasa hidangan kampung terutama di sekitar Lembah Klang.

Jika ada sekali pun, mungkin rasanya tidak memenuhi selera atau lebih parah lagi sekiranya ‘ke laut dalam’ langsung tidak sedap, mengharapkan kehebatan promosinya sahaja yang memberi pujian melambung.

Selepas puas mencuba di beberapa premis makanan yang menampilkan cita rasa masakan ibu di kampung, akhirnya penulis ‘jatuh cinta’ dengan keenakan sajian desa yang disediakan kelab golf terkemuka di Lembah Klang, Tropicana Golf & Country Resort (TGCR) di Petaling Jaya, Selangor.

Setiap kali kelab golf berkenaan menganjurkan promosi makan malam pada setiap tahun, pengunjung yang datang adalah di luar jangkaan sehingga pernah mencecah 3,500 orang pada satu malam, semata-mata untuk menikmati kelazatan sajian kampung disediakan.

Bukan hanya pengunjung Melayu, sebaliknya masyarakat Cina dan India tidak mahu ketinggalan menikmati kelazatan hidangannya.

ANTARA hidangan lazat ditawarkan menerusi hidangan Selera Kampung' di Tropicana Golf & Country Resort. NSTP - Aswadi Alias

Justeru, bagi memantapkan lagi kelazatan makanan supaya tidak jemu dinikmati saban tahun, selain memberi lebih pilihan kepada pengunjung, Pengurus Kanan Makanan dan Minumannya, Abd Razak Mohd Omar menampilkan tema Selera Kampung di premis makanan berkenaan, selain memperkenalkan beberapa menu baharu sebagai tarikan tambahan.

“Menerusi promosi makan malam tahun ini, kami menyajikan menu baharu iaitu gulai kaki ayam dengan nangka muda jalinan kasih. Sajian ini berasal dari Melaka. Jadi, kami ingin mempopularkannya di Lembah Klang pula dan hanya di kelab golf ini, anda berpeluang menikmati kelazatan sajian kampung yang asli lagi istimewa itu.

“Kaki ayam ada khasiat tersendiri. Ramai yang tidak menyedari, bahagian ayam paling sedap untuk dinikmati adalah kakinya. Kaki ayam itu kami bersihkan betul-betul, lalu direbus selama dua jam dengan api perlahan supaya isinya lembut.

“Kami sediakan pula rempah-ratus untuk penyediaan gulai lemak, lalu dicampur dengan nangka muda untuk memperoleh cita rasa kampung yang sejati. Menu ini adalah percubaan kali pertama dan harap ia menjadi kegemaran ramai, terutama mereka yang suka cita rasa kampung.

Razak dan barisan tukang masaknya sentiasa mengharapkan setiap menu cita rasa masakan ibu di desa, akan menepati selera ramai, sekali gus tema Selera Kampung yang dicanang bukan sekadar gah pada namanya sahaja, sebaliknya bakal membuatkan seseorang itu sentiasa teringat kelazatan makanan di kelab golf berkenaan.

PENGUNJUNG menikmati hidangan selera kampung ketika majlis ‘food review’ sajian ‘Selera Kampung'. - NSTP - Aswadi Alias

Fakta Nombor

* 23 gerai makanan

* 1,500 orang : purata tetamu sehari

* RM99 bersih : harga bufet seorang dewasa hari bekerja

INFO

Promosi makan malam, Santapan 29 Malam

* Di Rumah Kelab, The Palm Coffee House, Tropicana Golf & Country Resort, Jalan Kelab Tropicana, Petaling Jaya, Selangor

* Menampilkan lebih 300 menu istimewa

* Disediakan barisan tukang masak diketuai cef eksekutif, Lawrence Lim yang bertemakan Selera Kampung

* Bermula pada 6 Mei hingga 4 Jun depan

* Menu baharu wajib cuba termasuklah ikan mayong asam rebus perantaraan utara, pucuk manis masak lemak putih bersama ubi keledek tautan kasih dan nasi beriani kukus kabuli warisan Johor

Berita Harian X