Ahad, 21 Julai 2019 | 10:01am
Najib (depan), Tengku Azman (kanan belakang) bersama Cef Jo di Hicom Glenmarie Industrial Park. - NSTP/Roslin Mat Tahir
Flat Bread salmon dan daging.
Bahagian atas Mancave Cafe and Co dihias lebih santai. - NSTP/Roslin Mat Tahir
Tandas juga diberi sentuhan automotif. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Air tangan Cef Jo di Mancave Cafe menyelerakan

APABILA tiga sahabat dengan minat tersendiri bergabung, mereka menghasilkan Mancave Cafe and Co berkonsep eksklusif dengan sentuhan unik.

Meminati industri automotif Datuk Najib Zakaria dan Tengku Azman Tengku Chik, menyuntik elemen industri pemotoran dalam kafe yang baru dibuka sejak awal Julai lalu di Hicom Glenmarie Industrial Park, Shah Alam.

Melengkapkan lagi keunikannya, pengunjung disaji dengan hidangan premium yang enak hasil ciptaan pakar masakan terkemuka, Cef Mohd Johari Edrus.

Memasuki pekarangan kafe dua tingkat yang diperbuat daripada enam unit kontena dengan keluasan hampir 300 meter persegi itu, kelihatan dua trak Peugeot dan Audi antik di parkir di sebelah bar dihiasi kayu pinus.

Sebaik melangkah ke dalam kafe menerusi pintu utama melintasi bar, mata terpukau dengan reka bentuk kafe yang berkonsepkan garaj automotif.

Peminat sukan pemotoran pasti teruja apabila melihat kereta klasik Ford Mustang, ‘Eleanor’ yang digunakan dalam filem lakonan Nicholas Cage, ‘Gone in 60 Seconds’ di garaj, sebelah kanan pintu masuk.


Bar di bahagian luar turut menempatkan trak Peugeot dan Audi sebelum perang dunia ke dua. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Motor Scrambler Ducati menghiasi sudut di dalam cafe. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Basikal Porsche dan motor Scrambler Ducati Supreme juga menghiasi sudut di dalam kafe selain bonet kereta J-Fly Racing Audi yang tergantung pada dinding, menyemarakkan semangat perlumbaan bagi pengunjung yang meminati permotoran.

Tengku Azman berkata, konsep kafe diketengahkan sesuai dengan kedudukannya terletak di kawasan industri kereta dengan jenama terkemuka di situ, selain bersebelahan bengkel kereta serta trek go kart.

“Konsep minimalis diterapkan untuk rekaan dalaman menggunakan kontena terpakai yang semestinya sudah ‘mengembara’ ke seluruh dunia, sesuai matlamat kami menjadikan kafe ini sebagai satu destinasi untuk pengunjung merasai konsep baharu kafe.

“Pengunjung yang datang ke sini bukan saja mahukan hidangan enak tetapi dapat melihat dengan lebih dekat automotif yang dipamerkan di sini,” katanya yang juga meminati seni binaan dan mengembara.

Kafe berkenaan boleh memuatkan 150 orang pengunjung pada satu masa, tingkat atas didedikasikan untuk pelbagai acara yang boleh memuatkan 50 orang pada satu masa dan lebih ramai lagi bagi majlis koktail.

Menumpukan kepada hidangan premium, menu di kafe ini adalah hasil ciptaan Cef Mohd Johari atau lebih mesra dengan panggilan Cef Joe yang menghidangkan selera dari seluruh dunia.


Cef Joe dan Najib bersama pengunjung Mancave Cafe & Co. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Antara sajian unik di Mancave Cafe & Co. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Antara 80 menu yang paling istimewa adalah Stik Tomahawk atau Stik kapak Red Indian menggunakan daging wagyu Jepun yang dihidang bersama bawang putih dan lemon panggang serta disirami sos lada hitam, cendawan atau pudina.


Stik Tomahawk, hidangan istimewa di Mancave Cafe and Co. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Mangkuk panas Mancave juga antara hidangan enak mengandungi nasi goreng dengan ayam teriyaki serta telur hancur dihidang dalam lesung batu. Hidangan ini juga boleh dimakan bersama salmon dan daging bagi menggantikan ayam.


Mancave hot bowl chicken teriyaki.

Cef Jo berkata, hidangan disediakan berkonsep santai, menggabungkan rasa barat dan tempatan dalam satu hidangan.

“Sebagai contoh, cendawan kukur masak lemak dengan kupang atau ayam 23 hari diperap dan dihidang dengan sos ala percik, gayanya seperti Itali tetapi menggunakan rempah ratus tempatan,” katanya.

Hidangan ringan, Roti leper persis piza dilitupi salmon dan helaian daging, Gochujang iaitu kentang dengan sos Gochujang dan pencuci mulut, Curos kentang cecah coklat memikat selera.


Ayam dengan sos ala percik.

Info

Lokasi:

• Hicom Glenmarie Industrial Park

• Bersebelahan Lebuhraya Persekutuan arah Kuala Lumpur

Waktu operasi:

• Isnin sehingga Ahad (12 tengah hari sehingga 10 malam)

• Jumaat sehingga Sabtu (dilanjutkan sehingga jam 12 malam).

Harga makanan:

• Kanak-kanak: RM13 sehingga RM15

• Pencuci mulut: RM5-RM13

• Hidangan utama: RM24 ke atas

Berita Harian X