Sabtu, 17 Ogos 2019 | 10:30am
Campuran buah kering, kekacang tingkat khasiat sajian.

Campuran buah kering, kekacang bangkit selera nikmati salad

SALAD menu awal sebelum memulakan sajian menjadi rutin sejak zaman Rom dan Yunani Kuno manakala di Amerika, salad sudah mula digemari sejak 1960.

Sajian berasaskan sayuran dan buahan kaya kandungan serat, mineral dan pelbagai jenis vitamin diperlukan badan. Berupaya mengurangkan paras kolesterol dalam darah selain membantu proses pencernaan.

Pilihan salad daripada daun hijau kaya nutrien seperti vitamin A, asid folik, serat, magnesium, potassium dan fosforus membuatkan perut terasa lebih kenyang dan membantu mendapatkan berat badan seimbang.

Pengambilan pelbagai jenis sayuran dan buahan kaya vitamin, mineral selain bersifat antioksidan selain air ternyata baik untuk kesihatan. Menyediakan salad campuran buah-buahan segar sebagai kaedah terbaik mendapatkan makanan seimbang.

Cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan berkata, salad kaya nutrisi, tinggi serat, perlu dijadikan amalan pemakan sihat.

Beliau berkata, pengambilan serat daripada sumber semula jadi boleh mengawal selera daripada terus mengambil sajian tinggi kanji, gula dan lemak terutama makanan segera.

Dua sajian seminggu

“Walaupun berlaku salah anggap mengenai salad yang sering dikaitkan dengan sajian barat, pengambilan ini tidak bermakna kita mengenepikan sajian warisan. Sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk sajian ini sudah mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, kemunculan kafe yang menjual produk berkhasiat seperti salad ini berupaya mengubah tabiat makan tidak seimbang dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Semua tahu, negara ini mempunyai bilangan penduduk obesiti paling tinggi di Asia. Ubah corak pemakanan dengan pemakanan sihat dan seimbang berupaya mengurangkan masalah ini.

“Saya bimbang melihat ramai anak muda berusia 17 tahun tetapi memiliki saiz badan obes” katanya.

Kongsi beliau, golongan pertengahan usia sepertinya perlu berhati-hati dalam pemilihan makanan dan boleh mengamalkan salad menggantikan makanan ruji memandangkan pada usia itu, metabolisme tubuh berkurangan.

“Saya amalkan bersenam waktu pagi berjogging untuk pengaliran darah. Minum banyak air suam untuk detoks tubuh. Apabila tubuh bertenaga, badan menjadi kuat dan sistem pertahanan tinggi dan mencegah penyakit,” katanya.

Cef Wan berkata, kini salad disediakan secara kreatif, lebih lazat serta menyihatkan. Campuran salad hijau, ditambah lobak merah, tomato ceri dan juga kobis jingga membangkitkan selera,” katanya.

Pilihan sos hebat

Sementara itu, prihatin dalam menawarkan makanan segar kepada pelanggan, pengusaha salad, SaladStop, melancarkan cawangan keduanya di Nu Sentral, baru-baru ini. Menawarkan pelbagai pilihan salad segar, roti pita, bijiran dan minuman sihat.

Pelanggan boleh memilih untuk menghasilkan semua menu menggunakan 60 ramuan, hidangan boleh dinikmati bersama 20 pilihan sos buatan sendiri.

Anda juga boleh memilih pelbagai hidangan signatur seperti Hail Caesar dan Earth Bowl berasaskan sayuran menggunakan pasta.

Semua hidangan ini hasil adunan bersama kacang Perancis, tomato ceri, kentang, kubis merah dan putih dan salad romaine.

Pengarah Urusan Saladstop, Adrien Desbaillets berkata pihaknya menawarkan pelbagai pilihan salad yang enak, lazat serta menyihatkan.

Katanya, sajian dihidang segar dan diharap menjadi budaya masyarakat menjadikan makanan ini sebagai menu harian.

Info

• Sajian lebih lazat dengan buah kering, kekacang, bijirin, herba serta kuah salad.

• Kaya serta, beta karotin baik untuk tingkat sistem imun badan selain bertindak sebagai anti kanser

• Salad mengatasi masalah gangguan tidur atau insomnia

• Daun salad kaya kalsium, magnesium, potassium, fosforus, sodium, vitamin A dan C, zat besi dan zink.

• Perahan jus limau dan minyak zaitun melazatkan hidangan

Berita Harian X