Isnin, 19 Ogos 2019 | 8:33pm
PENGARAH Eksekutif Harriston Chocolatier, Queenie Teng (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif TSC Chocolate, Teng Wei Tzyy ketika ditemui di Harriston Chocolatier di The Linc, Jalan Tun Razak. - Foto Salhani Ibrahim

Koko Pahang, Perak dan Selangor hasilkan coklat berkualiti

LEMBAH Amazon, menjadi tempat bermulanya tanaman koko dengan nama saintifiknya, Theobroma Cacao diektrak menjadi serbuk di sebalik bijinya kemudian diproses minuman berperisa coklat.

Sekitar abad ke-17, koko ditanam orang Sepanyol di Asia Tenggara. Abad berikutnya, tanaman itu dibawa masuk ke Sabah, iaitu secara rasminya dikomersilkan di Bukit Quoin, Tawau iaitu sekitar 1960.

Memasuki tahun 1996, koko ditanam di Semenanjung seperti Pahang, Perak, Selangor dan Johor. Itu cerita ringkas di sebalik koko, coklat yang begitu digemari kerana rasanya enak, manis dan lemak berkrim, bermanfaat untuk kesihatan serta perkembangan psikologi.

Tidak perlu khuatir, coklat tidak menggemukkan jika diambil secara terkawal, banyak kajian mendapati coklat membantu mengurangkan risiko angin ahmar, meningkatkan kesihatan jantung dan meredakan tekanan.

Dalam banyak variasi coklat di pasaran, coklat single origin atau bijian asli mempunyai kandungan antioksidan tinggi dan tumbuhan komoditi itu ada di negara ini.

Misalnya daerah Raub, Pahang mempunyai tanaman koko premium itu selain terdapat juga di Hulu Selangor, membuktikan aktiviti pertanian tempatan menghasilkan biji koko terbaik yang menjadi ekstrak utama jenama coklat mahal.

Penat jerih peladang tempatan itu mencetuskan inspirasi kepada jenama coklat tempatan, Harriston Chocolatier menghargai peladang tempatan dengan mengkomersilkan hasil tempatan dalam variasi baharu coklat premiumnya.

Pengarah Eksekutif Harriston Chocolatier, Queenie Teng, berkata coklat bar edisi premium itu sebagai tanda penghargaan kepada pengusaha koko tempatan yang mempunyai daya pengeluaran terbaik berbanding menggunakan bijian koko diimport dari luar negara.


COKLAT bar yang terdapat di Harriston Chocolatier di The Linc, Jalan Tun Razak. - Foto Salhani Ibrahim

“Coklat biji asli diperoleh terus daripada koko bukan yang dihasilkan daripada bijian dikisar mesin, berikutan kaedah single origin dilakukan secara manual, bermula proses memilih biji, dikeringkan, dipanggang, ditanam organik sekali gus memberikan kualiti premium.

“Lebih istimewa bar coklat ini dinamakan mengikut lokasi bijiannya diambil misalnya Titiwangsa Single Origin ditanam Orang Asli suku Semai di Banjaran Titiwangsa; Pahang, manakala Hulu Selangor Single Origin iaitu ladang lama sejak 1980-an seluas 8.09 hektar,” katanya.

Selain dua variasi terbabit, Raub Single Origin pula diperoleh dari Ladang Koko Koh terletak di Sungai Ruan, Pahang diusahakan penduduk yang kebanyakan peladang dan penoreh getah.


ANTARA coklat yang terdapat di Harriston Chocolatier di The Linc, Jalan Tun Razak. - Foto Salhani Ibrahim

Katanya, keaslian biji koko itu memberikan rasa tulen koko yang rasanya pahit seperti coklat gelap, memberikan kualiti coklat premium yang unik, asli dan bermutu tinggi.

“Coklat ini mengandungi kuantiti koko berkualiti memberikan lebih lemak, berbanding coklat susu dan putih yang manis berbanding peratusan biji koko.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TSC Chocolate, Teng Wei Tzyy, berkata perniagaan diasaskan bapanya sejak 2005 adalah coklat buatan tempatan yang sudah menembusi pasaran antarabangsa.

Katanya, ketika ini Harriston mempunyai cawangan antaranya Harriston Chocolatier di The Linc, Jalan Tun Razak; tiga Harriston Boutique terletak di Jalan Ampang, Bagan Jermal, Pulau Pinang dan Gohtong Jaya, Genting Highlands manakala Harriston Signature di Jalan Cheras dan Jalan Kelawai, Pulau Pinang.

“Pengeluaran coklat bercita rasakan Malaysia adalah cara kita memperkenalkan selera etnik, lokasi selain menyokong industri koko tempatan.


ANTARA coklat yang terdapat di Harriston Chocolatier di The Linc, Jalan Tun Razak. - Foto Salhani Ibrahim

“Ini sekali gus melangkaui rasa coklat tempatan yang unik, coklat premium, enak, pelbagai rasa dan memenuhi keinginan penggemar coklat,” katanya.

Selain single origin, ada coklat berperisa kari, halia, cili dan bijan, mencerminkan kepelbagaian etnik di Malaysia.

Perbezaan coklat

Coklat putih

- Mengandungi kalsium bagi menguatkan tulang dan gigi.

- Membantu jantung, otot dan saraf untuk berfungsi normal.

- Antioksidan - meningkatkan kesihatan kardiovaskular

- Menurunkan tekanan darah.

- Mencegah hipertensi

- Tidur lebih nyenyak

- Meningkatkan daya ingatan.

* Coklat putih mengandungi mentega koko (20 peratus), pepejal susu (14 peratus), lemak susu (3.5 peratus) dan tidak lebih gula atau pemanis lain (55 peratus).

Coklat gelap

- Tinggi kandungan mentega koko

- Kurang susu berbanding coklat lain

- Bersifat antioksidan seperti polifenol

- Rendah gula.

- Flavanols merangsang endothelium iaitu lapisan arteri menghasilkan sejenis gas nitrik oksida.

- Mengurangkan tekanan darah.

Berita Harian X