YouTuber, pengembara yang juga vlogger makanan tersohor ketika ini - Mark Wiens, pernah singgah mencuba kari kepala ikan yang terkenal di Bangsar ini.
YouTube ulasan makanan itu mendapat lebih 32,000 ‘like’ dan ditonton oleh lebih 1.9 juta kali di seluruh dunia!
Kari kepala ikan ini bukannya dihidang di restoran mewah, tetapi di warung yang terletak di satu sudut di Lorong Ara Kiri 3, Lucky Garden, Bangsar.
Ia diusahakan Anvar Deen, 58, yang lebih dikenali dengan nama Annuar sejak lebih 30 tahun lalu.
Namun, adalah sukar untuk menemubual Annuar ini, apatah lagi untuk dirakam gambarnya, walhal kami warga NSTP bukanlah asing bagi beliau.
Kisah yang dipaparkan Nadibiz minggu ini adalah kumpulan cebisan-cebisan perbualan sepanjang beberapa tahun penulis mengenali beliau, manakala gambar yang dipaparkan dimuat naik daripada domain awam.
Lakukan pelbagai kerja
Annuar yang dilahirkan di kampung Ankwal di selatan India berhijrah ke Malaysia ketika berusia lima tahun.
Sebagaimana kisahnya mereka yang berhijrah mencari kehidupan baharu dan rezeki di negara asing, liku hidup dilalui beliau sukar.
Ketika kanak-kanak lain ke sekolah, Annuar pula melakukan pelbagai kerja demi mencari nafkah hidup yang halal.
Lima tahun di Pulau Pinang, Annuar menghabiskan waktu remaja merantau sekitar Perak membuat pelbagai kerja daripada cuci pinggan hinggalah kepada membuat roti canai.
Pada 1980-an beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja menebar roti canai di satu daripada restoran mamak popular di Bangsar.
Selepas tiga tahun, Annuar memberanikan diri membuka warung menjual nasi di tapak niaga DBKL di Lucky Garden, yang kekal hingga ke hari ini.

Harga berpatutan, guna bahan segar
Ia terkenal dengan menu RM3. Menunya sangat mudah. Nasi + ayam goreng/ikan Cencaru goreng, sayur tauge (itu pun kalau datang awal) dan kuah kari hanya RM3 sepinggan.
Menurut Annuar, menu itu pada asalnya disasarkan kepada mereka daripada kalangan pekerja berkolar biru, tetapi hari ini ia dinikmati oleh golongan tua, muda, miskin dan kaya.
Selain menu RM3 itu. Ia turut menawarkan sotong goreng pada harga RM6 hingga RM7 seekor bergantung pada saiz, dan jika anda berasa sedikit murah hati, anda boleh mendapatkan kari kepala ikan (RM30 hingga RM80, bergantung kepada saiz) yang popular dalam kalangan pelanggan di sini.
Apa yang membuat kepala ikannya istimewa ialah ia hanya menggunakan ikan segar.
Kebiasaannya Annuar akan berada di beberapa pasar borong mencari kepala ikan yang paling segar dan menyediakan apa yang ada pada hari itu. Anda mungkin akan menjumpai tenggiri, ikan merah dan mungkin juga jenahak dalam periuk bergaris pusat empat kaki itu.
Kari kepala ikan Annuar mempunyai pengikut yang setia.
Sekiranya anda datang ke sini pada waktu makan tengah hari, bersedialah untuk beratur sekurang-kurangnya 20 minit di bawah terik matahari.

Info
Nama: Anvar Deen, 58
Tempat lahir: Ankwal, selatan India menghadap Sri Lanka
Pendidikan: Tiada pendidikan rasmi
Kerjaya: Pengusaha kari kepala ikan Annuar di Lucky Garden, Bangsar