Sabtu, 25 Julai 2020 | 12:41pm
Razali menunjukkan roti ceplok. - NSTP/Nazri Abu Bakar
Razali menunjukkan roti ceplok. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Roti ceplok bekas tentera

MELAKA: Bekas tentera Razali Othman, 58, di Bukit Rambai yang mengusahakan roti ceplok, mendapati sambutan orang ramai.

Razali berkata, dia mendapat resipi daripada anaknya yang pulang menjalani latihan praktikal di Indonesia.

"Roti ceplok resipi saya ini menggunakan roti canai yang dipotong kecil dan dicampur telur separuh masak.

"Kemudian ditambah kuah banjir kacang dal. Bagi melengkapkan hidangan, saya menambah sambal seperti roti canai banjir," katanya.

Razali berkata, warungnya mendapat sambutan pengunjung dari pelbagai latar belakang termasuk masyarakat keturunan India, Cina dan Indonesia.

Katanya, roti ceplok yang diusahakan sejak awal tahun ini menjadi pilihan penduduk sekitar untuk bersarapan pagi.

Beliau berkata, warung berkenaan juga menyediakan hidangan roti canai, lempeng kelapa, roti jala, mi rebus, nasi lemak dan kuih-muih.

Razali dibantu oleh isterinya Zizah Ninggal, 53, anak, menantu dan seorang pembantu.

Sementara itu, Zizah berkata, walaupun masih baru, roti ceplok mendapat sambutan baik kerana pelanggan akan datang semula ke warung terbabit.

Menurutnya, roti ceplok yang dijual RM2.50 sepinggan itu turut digemari kanak-kanak dan warga emas kerana rangup dan lembut.

Berita Harian X