Isnin, 6 Oktober 2014 | 7:09am

Bajet 2015 mesti ambil kira survival rakyat

Di sebalik pengenalan cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) pada April tahun depan dan pengurangan subsidi minyak dua hari lalu, rakyat menggantung harapan tinggi agar Bajet 2015 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Jumaat depan bukan hanya memberi tumpuan kepada langkah konkrit untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan, tetapi juga meringankan kos sara hidup rakyat.

Bagi rakyat soal survival, harga barangan, kos pengangkutan, pendidikan anak, perumahan dan kesihatan adalah lebih utama. Jadi, bagaimana bajet itu nanti memberi kesan dan manfaat langsung kepada kehidupan seharian mereka adalah begitu penting.

Kerajaan sudah berunding dan berdialog dengan pelbagai pihak untuk memastikan bajet berkenaan menepati matlamat negara dan memenuhi aspirasi rakyat. Itulah sebabnya tema perundingan bajet terbabit ialah 'Meningkatkan Pertumbuhan, Memastikan Kemampanan Fiskal dan Memakmurkan Rakyat.' Jumlah keseluruhan Bajet 2015 dijangka meningkat berbanding Bajet 2014.

Belanjawan akhir RMKe-10

Bajet 2014 meningkat kira-kira RM31 bilion berbanding Bajet 2013 iaitu sebanyak RM232.8 bilion dengan RM201.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. Jika Bajet 2014 merupakan yang pertama selepas Barisan Nasional memenangi PRU-13, bajet kali ini pula adalah belanjawan akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Semua pihak mengharapkan agar bajet itu nanti dapat meringankan beban kehidupan mereka, manakala bagi penjawat awam mungkin menantikan berita gembira pemberian bonus.

Apa yang pasti, bajet bersifat pengembangan itu akan terus memberi fokus kepada usaha mempergiatkan dan merancakkan pembangunan prasarana, pertumbuhan ekonomi, peneguhan kedudukan fiskal, mengukuhkan tadbir urus, memastikan pengurangan perbelanjaan dan ketirisan, mengungguli modal insan, selain memberi perhatian kepada aspek kualiti hidup rakyat seperti pendidikan, kesihatan serta perumahan. Bajet itu perlu utamakan kepentingan jangka panjang negara, tanpa mengabaikan kesejahteraan rakyat.

Sudah tentu penduduk Sabah dan Sarawak juga mengharapkan agar peruntukan ditambah bagi merapatkan jurang perbezaan dalam pelbagai bidang, terutama pembangunan prasarana dan usaha untuk mengurangkan kadar kemiskinan terutama di kawasan luar bandar.

Di bawah Bajet 2014, antara projek utama untuk Sabah dan Sarawak ialah RM500 juta bagi Lebuh Raya Pan-Borneo, RM850 juta untuk kabel dasar laut bagi peningkatan capaian internet, RM331 juta untuk penyeragaman harga barangan, RM130 juta untuk subsidi pengangkutan udara luar bandar dan RM75 juta untuk bantuan tangki air di Sarawak.

Selain itu, sebanyak RM50 juta disalurkan untuk kerja pengukuran dan pengesahan tanah adat bumiputera (NCR) dan RM30 juta untuk 60 buah Kedai Rakyat 1 Malaysia. Secara keseluruhan, projek terbabit berjumlah sekurang-kurangnya RM2.3 bilion, satu peningkatan berbanding bajet sebelumnya.

Peruntukan Sabah, Sarawak

Rakyat Sabah dan Sarawak kini berpendirian bahawa peruntukan lebih besar perlu disalurkan sejajar dengan peranan dan sumbangan mereka memenangi jumlah kerusi yang begitu besar dalam PRU lalu. Tambahan pula, demi kesejahteraan rakyat khususnya pengundi setia di luar bandar, usaha serius perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah jalan raya, klinik, sekolah daif, penembusan internet, bekalan elektrik dan air bersih.

Melalui bajet ini, kerajaan perlu mengambil kira langkah untuk mengurangkan kadar kemiskinan secara signifikan, terutama dalam kalangan kelompok minoriti selain meningkatkan kualiti hidup rakyat. Ketaksamarataan pendapatan tidak harus dibiarkan melebar, sebaliknya perlu dirapatkan. Diharapkan bajet ini dapat mengurangkan jurang ketaksamarataan etnik, negeri, wilayah, serta bandar dengan luar bandar. Pendapatan rakyat perlu ditingkatkan sesuai dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan negara berpendapatan tinggi.

Peruntukan perlu dilipatgandakan untuk Lebuh Raya Pan-Borneo sejauh 2,239 km daripada RM500 juta sebelum ini kepada sekurang-kurangnya RM1 bilion. Langkah lebih pragmatik perlu diambil untuk mengurangkan beban harga barangan tinggi, terutama di luar bandar dengan mengkaji semula dasar tidak membenarkan pemunggahan dan pengangkutan barangan secara langsung ke pelabuhan di Sabah dan Sarawak. Dasar ini menyebabkan perbezaan harga barangan ketara antara

Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Penulis ialah Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

Berita Harian X