Sabtu, 28 March 2015 | 7:52am

Bila gelaran dijual beli

Baru-baru ini Kunta Kinte baca temu ramah Sultan Johor dengan media massa. Bukan selalu raja-raja kita bagi temu ramah atau buat kenyataan kepada media massa. Jadi bila ada yang buat, tentulah banyak pihak minat nak tahu apa mereka kata.

Banyak yang Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Mahmud Iskandar kata. Dalam banyak-banyak negeri Melayu di Malaysia, Johor adalah antara yang unik.

Bila selepas pertabalan Sultan Ibrahim Iskandar pada 23 Mac lalu, Kunta Kinte jumpa seorang orang muda dari Johor, Kunta Kinte kata, dia bukan bangsa Melayu tapi bangsa Johor.

Dia terkejut dan yang lain pula terpinga-pinga. Kunta Kinte kata bangsa dia adalah bangsa Johor. Kunta Kinte tak bagi alasan. Tapi kalau pembaca tak percaya, cuba tengok tajuk lagu rasmi negeri Johor. Tajuknya ialah Bangsa Johor. Jadi Kunta Kinte kata, Johor adalah satu bangsa.

Bila Kunta Kinte buat carian atas talian, rupa-rupanya lagu itu digubah oleh seorang konduktor muzik bangsa Armenia nama Mackertich Galistan atau dikenali juga dengan gelaran MG Abdullah. Asalnya lagu itu tak ada lirik. Hanya pada tahun 1914 saja seorang kakitangan Hong Kong Bank di Johor Bahru buat lirik. Itu pun dalam bahasa Inggeris. Ia diterjemah ke bahasa Melayu oleh seorang bernama Kapten Mohamed Said bin Sulaiman.

Itu hal lagu rasmi negeri Johor. Kunta Kinte minta ampun kalau tak betul atau kurang tepat. Yang ada cerita mintalah hantar kepada pengarang kita di alamat e-mel yang disertakan.

Tak bagi banyak gelaran diraja

Satu lagi Kunta Kinte gelak baca jawapan Sultan Ibrahim Iskandar berkenaan Johor tak bagi banyak gelaran diraja. Kunta Kinte setuju seratus peratus.

Antara lain, baginda kata: "Saya tidak mahu bercakap pasal negeri lain. Saya sedar orang kata kalau kita baling batu ia akan terkena seorang (bergelaran) Datuk. Tapi saya boleh tambah. Kalau kita baling batu, ia akan kena kepala seorang Datuk dan melantun kena kepada seorang Datuk juga. Itulah keadaan sekarang dan kita tidak boleh nafi (ketepatan) cakap-cakap ini. Kita mesti berasa degup jantung rakyat jelata."

Baginda titah lagi yang baginda dengar orang ramai cakap berkenaan jual beli bintang kebesaran. Itu pun Kunta Kinte setuju juga pasal bukan rahsia pun. Orang ramai kata, ada dua jenis Datuk. Satu Datuk kurnia dan satu lagi Datuk niaga, maksudnya Datuk beli.

Mudah cakap, hari ini gelaran Datuk, Dato dan Dato' dah macam gelaran encik zaman dulu. Dah biasa sangat. Orang putih kata a dime a dozen - sedozen sepuluh sen.

Yang Sultan Ibrahim Ismail kata tu betul. Tapi Kunta Kinte rasa lebih teruk daripada itu. Kunta Kinte kata macam ini - kalau kita baling batu ia akan kena kepala Datuk. Melantun kena Datuk juga. Malah, ada yang akan kena lima atau enam kali sebab mereka ada lima atau enam gelaran Datuk. Di kalangan wartawan pun ada yang dapat empat atau lima gelaran Datuk, Dato dan Dato'. Kunta Kinte terima satu saja - Panglima Jasa Negara (PJN) daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun 1995. Alhamdulillah. Dah cukup la tu.

Beli gelaran

Tapi jenis manusia yang gila gelaran ni dia sanggup buat apa saja. Tak cukup gelaran yang dibagi oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Gabenor, ada yang cari dan beli daripada raja-raja dan sultan-sultan yang tak ada negeri dan tak diiktiraf. Sampai ke Indonesia dan Filipina pun mereka cari.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, bukan batu saja timpa kepala Datuk. Tahi burung dan tahi bintang pun timpa kepada Datuk juga.

Kalau itu tak teruk, nama dan imej Datuk pun bukan hebat sangat. Boleh kata tak putus kita baca dalam surat khabar Datuk berskandal dengan artis. Datuk kena tuduh rasuah dan tipu. Datuk diisytihar muflis. Malah, ada Datuk yang memang semua orang tahu dia ketua samseng. Tak hairanlah kalau ada yang kena culik dan kena bunuh.

Inilah yang jadi bila gelaran boleh dijual beli, minda makin hari makin feudal dan orang ramai pula teruja dan tertipu dengan pangkat, harta, keturunan dan gelaran.

Kunta Kinte tak tahulah apa nak jadi dengan orang kita. Semua yang mulia dan suci kita rendahkan martabatnya dan kita cemarkan namanya semata-mata kerana duit dan kedudukan.

Akhir-akhir ini Kunta Kinte dengar pula cerita tak masuk akal, tapi orang yang tahu kata benar. Dalam senarai yang diwartakan tak ada nama dapat gelaran Tan Sri. Surat khabar pun tak siar. Tapi dok tak dok diisytiharkan Tan Sri. Rupa-rupanya ada senarai tambahan yang tak ada dalam warta. Katanya sekarang dah terlebih Datuk, Tan Sri dan Tun daripada yang dibenarkan.

Kalau ikut undang-undang, pada satu-satu masa hanya boleh ada 25 penerima Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang bawa gelaran Tun, tak masuk orang asing. Panglima Setia Mahkota Malaysia (PSM) atau Tan Sri pula 250 orang. Kunta Kinte tak tahulah kalau syarat ini dah diubah. Sekarang ni macam-macam boleh diubah dan dipinda tanpa kita tahu.

Kemudian pasal ada Datuk, Tan Sri dan Tun yang sangat sensitif kalau tak dipanggil ikut gelaran. Akibatnya ada orang yang cari jalan selamat dengan panggil semua orang Datuk atau Tan Sri. Kita yang bukan Tan Sri pun mereka jerit Tan Sri juga. Malu.

Wallahuaklam.

Berita Harian X