Rabu, 13 Mei 2015 | 10:24am

Sultan Nazrin ikon kasih seorang anak

Duli Yang Maha Mulia Paduka (DYMM) Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mula melibatkan diri dengan Universiti Malaya (UM) pada tahun 1989, sebagai Pro-Canselor. Pada tahun 2014, baginda diperkenankan pemasyhuran sebagai Canselor UM oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong, menggantikan Almarhum paduka ayahanda baginda DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Penulis yang berkhidmat di UM mulai tahun 1975 sehingga 2008 (selama 33 tahun) mengenali baginda serba sedikit melalui majlis menghadap dan melalui penghayatan titah baginda selaku Pro-Canselor dan kemudiannya selaku Canselor UM, yang dizahirkan baginda ketika mempengerusikan istiadat konvokesyen UM sepanjang 25 tahun. Penulis mengadap baginda pertama kalinya pada tahun 1989 sewaktu penulis berjawatan Dekan Fakulti Pergigian dan kemudiannya sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan akhirnya sebagai Naib Canselor UM pada tahun 2006. Tulisan ini saya sandarkan kepada titah baginda di atas itu yang menunjukkan betapa pentingnya kasih sayang seorang anak terhadap ibu bapanya. Pada pandangan penulis, koleksi titah ini amatlah baik sekali untuk dihayati oleh semua lapisan rakyat.

Allah SWT melalui firman-Nya mewajibkan anak-anak supaya mentaati dan menghormati ibu bapa, antaranya:

"Hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (al-Isra' 17:23)"

Dalam titah yang dizahirkan, Baginda sering mengingatkan graduan supaya sentiasa berterima kasih dan mengenang budi ibu bapa, guru dan negara yang berkorban apa saja demi kejayaan mereka. Hendaknya graduan membalas budi mereka sebaiknya. Pepatah Melayu kaya dengan sifat kesyukuran dan berterima kasih - "ada ubi ada batas, ada budi ada balas".

Titah baginda kepada graduan mengenai ketaatan kepada ibu bapa adalah seperti berikut: "Jadikanlah segulung ijazah ini sebagai kertas azimat membina diri sebagai anak yang tidak derhaka kepada kedua ibu bapa, murid yang tidak sombong kepada guru, warga yang patriotik kepada negara dan hamba yang berpegang kepada ajaran agama dan seruan tuhan" [2003].

Penulis dapat menyelami rasa kasih sayang baginda sendiri terhadap paduka ayahanda dan bonda baginda bukan hanya melalui titah yang dizahirkan, tetapi juga melalui pemerhatian terhadap baginda ketika berada bersama ayahanda dan bonda baginda pada majlis yang baginda berangkat hadir.

Tanda kasih sayang DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kepada kedua Paduka ayahanda dan bondanya terbuktilah apabila pada tanggal 17 Disember 2014 di Dewan Tunku Canselor, UM, penulis menyaksikan suatu peristiwa bersejarah yang menakjubkan: DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, seorang Raja kesayangan rakyat sebak kerana mengenang kemangkatan ayahanda tersayang yang selama ini menjadi payung mahkota negeri Perak Darul Ridzuan, Sultan yang memerintah dengan adil saksama serta menjadi pelindung rakyat. Penulis amat terharu menyaksikan peristiwa ini kerana di dalam hati baginda pasti terbayang ingatan zaman tatkala bersama dengan arwah ayah dan bondanya. Benarlah kasih ayah sepanjang masa dan kasih ibu membawa ke syurga. Jelas sekali DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah adalah seorang Raja berjiwa penyayang, serta seorang putera yang menyimpan kasih dan sayang terhadap ayahanda dan bondanya dunia dan akhirat. Penulis dapat membaca kesayuan baginda mengenangi betapa ayahanda dan bondanya telah mendidik dan mengisi ilmu ke dalam dada baginda, yang perlu digunakan dengan penuh keyakinan untuk kejayaan masa depan. Tentu juga sebagai anakanda, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berasakan bahawa Almarhum paduka ayahandanya meletakkan sejuta harapan untuk menyambung cita-cita ayahanda baginda untuk negeri Perak.

Allah SWT menyuruh anak-anak memberi penghargaan kepada ibu bapa melalui kata-kata kesyukuran kerana jasa mereka mendidik dan membesarkan anak-anak seperti dalam firman-Nya:

"Ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia, Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan (al-Isra' 17:23-24)"

Sultan Azlan telah melakukannya, terutamanya pada hari pelancaran buku His Royal Highness Sultan Nazrin Shah: Reflections and Recollections pada 2 Mei 2015. Antara titah Tuanku Nazrin mengenai kasih sayangnya terhadap paduka ayahanda dan bondanya berbunyi "Setiap masa dan sepanjang hayat, paduka bonda adalah sumber kekuatan dalaman, sejak paduka anakanda masih seorang bayi yang berada di pangkuan, melangkah ke usia persekolahan sehingga tamat pengajian di universiti, menceburi alam pekerjaan, dan hari ini dengan penentuan Ilahi, paduka anakanda telah dimasyhurkan sebagai seorang Sultan... Sebagai menghargai jasa dan budi mereka yang tiada lagi bersama kita, terutama ketiadaan paduka ayahanda yang amat dirasai, AlMarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Paduka Adinda (bermaksud Sultan Nazrin) dengan segala keikhlasan untuk dibacakan Surah Al-Fatihah".

Sesungguhnya Tuanku meneladani perintah Allah SWT supaya mentaati dan menghormati ibu bapa untuk rakyat. Daulat dirgahayu Tuanku. Semoga Tuanku Sultan bersama Tuanku Raja Permaisuri Perak kekal seusia zaman bersemayam di atas singgahsana, memerintah negara dan memayungi rakyat dengan adil dan saksama. Amin.

Berita Harian X