Khamis, 25 Jun 2015 | 8:29am

Yakini PPPM, tak perlu tiru negara lain

Cadangan supaya Malaysia mencontohi sistem pendidikan Singapura bukan sahaja mendapat pelbagai reaksi, ia juga diberi pelbagai tafsiran. Sehubungan ini, Singapura mengamalkan sistem persekolahan satu aliran. Melalui sistem begini, hanya satu bahasa digunakan sebagai bahasa pengantar. Untuk ini, Singapura memilih bahasa Inggeris.

Sehubungan cadangan ini, ada pihak yang memahaminya sebagai Malaysia perlu mengamal sistem persekolahan satu aliran yang didapati lebih baik dalam memupuk perpaduan erat.

Ada pihak pula yang memahaminya sebagai Malaysia perlu mengamalkan persekolahan aliran berbahasa Inggeris. Dengan ini, semua mata pelajaran diajar di dalamnya sebagai bahasa pengantar tunggal.

Perpaduan diutama

Secara umumnya, kedua-dua takwil ini bukan sahaja unggul, khususnya sistem pendidikan negara yang hanya mempunyai satu aliran persekolahan. Ia juga adalah kecenderungan semasa, lebih-lebih lagi penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pendidikan, yang banyak berlaku di seluruh dunia kini.

Walaupun unggul, kita tidak dapat melaksanakan persekolahan satu aliran. Masyarakat majmuk kita tidak mahu ke arah itu.

Penduduk Malaysia daripada pelbagai kaum mahu hak belajar dalam bahasa ibunda yang dibenarkan kerajaan, terus diamalkan.

Sebenarnya rakyat senang hati dengan persekolahan sebegini, khususnya pada peringkat sekolah rendah. Walaupun rencam, ia memastikan pendidikan di peringkat sekolah menengah nanti menyatukan generasi muda kita yang terasing di sekolah rendah.

Meskipun bersifat semasa, kita juga tidak dapat melaksanakan persekolahan aliran berbahasa Inggeris yang ditaja oleh kerajaan. Ia bukan aspirasi sistem pendidikan negara sejak kemerdekaan lagi.

Ini dapat dilihat dengan jelasnya dalam semua laporan pendidikan negara yang dipelopori Penyata Razak 1956.

[email protected]

Oleh itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025 terus menekankan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama yang tunggal. Sehubungan itu, bahasa Melayu bukan saja terus digunakan bertujuan kemajuan rakyat dan negara, malah ia terus penting untuk tujuan perpaduan kaum dan integrasi wilayah.

PPPM baru digubal

Sebenarnya, kita tidak patut mengemukakan apa-apa cadangan yang bertentangan dengan PPPM. Tindakan sedemikian boleh memberi isyarat bahawa sistem pendidikan negara tidak baik, dan perlu diubah lagi secara besar-besaran, sedangkan ia baru sahaja digubal dan masih berada dalam gelombang pertama pelaksanaannya.

Realisasikan matlamat

Oleh itu, marilah kita membantu merealisasikan PPPM. Dengan ini, kita tidak boleh lagi mempersoal dan mempertikai dasarnya. PPPM dibentuk melalui rundingan langsung dengan rakyat melalui pelbagai usaha pembabitan. Dengan ini, 11 anjakan, lima aspirasi sistem dan enam aspirasi pelajar yang ada dalam PPPM adalah kehendak rakyat jelata yang diperoleh hasil berkali-kali berunding dengan mereka.

Sebenarnya apabila diamati, PPPM adalah hasil rundingan bersemuka dengan rakyat selain nasihat profesional daripada pakar, mengandungi pelbagai strategi yang sememangnya boleh membekalkan pendidikan bermutu.

Ia mengandungi segala amalan pendidikan terbaik di dunia, baik digunakan di sebelah Barat mahupun di sebelah Timur. Dengan ini, kita sepatutnya mempunyai keyakinan penuh terhadap PPPM.

Sehubungan ini, cadangan kita hendaklah berbentuk cara pelaksanaannya. Jika kita merasakan perpaduan kaum tidak berjaya ditangani dengan berkesan, kita sepatutnya mencari jalan untuk memperbaikinya melalui dasar yang sedia wujud, dan bukan sesekali dengan mencadangkan penukaran kepada dasar baharu. Antaranya penggunaan bahasa Inggeris yang dikatakan 'neutral' kaum untuk tujuan perpaduan.

Dalam hal ini, kita sepatutnya mencari jalan terbaik lagi berkesan dalam kerencaman yang wujud, khususnya di peringkat sekolah rendah. Antaranya sudah tentu penggunaan bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara dengan lebih mangkus lagi.

Perlu yakin

Begitu juga apabila kita gagal menempah tempat baik di persada antarabangsa, kita mahu terus menukar kepada dasar baharu dan bukan mahu memperbaiki dasar yang sudah ada. Antaranya penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pendidikan dan bukannya hal-hal lain.

Sikap begini bukan sahaja tidak akan membawa kita ke mana-mana selama-lamanya, ia juga boleh menjahanamkan kita sebagai satu negara. Kita tidak akan bergerak ke hadapan langsung.

Oleh itu, kita hendaklah segera mengubahnya untuk meyakini PPPM yang memang didapati berjaya menggerakkan sistem pendidikan negara ke arah lebih baik.

Penulis ialah Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara

Berita Harian X