Rabu, 15 Julai 2015 | 7:56am

Warganegara ekspres boleh hakis kedaulatan negara

Isu rakyat asing yang mendapat kewarganegaraan mudah atau 'kewarganegaraan ekspres' menjadi isu lagi. Daripada laporan akhbar, ada kemungkinan kewarganegaraan ekspres ini didalangi sindiket yang menawarkan perkhidmatan mengeluarkan kad pengenalan atau pasport Malaysia. Maksudnya ada orang 'membuat duit' dengan bisnes yang begitu tinggi risikonya kepada negara. Dalam laporan juga, ada yang mendakwa bahawa ada kemungkinan sindiket ini didalangi penjawat awam.

Ini belum dibuktikan dan kita mengharapkan ia tidak benar.

Oleh itu, kebimbangan rakyat mengenai kewarganegaraan segera atau ekspres ini timbul lagi. Sebelum ini, sudah berkali-kali isu ini ditimbulkan. Kebimbangan rakyat ini menjadi-jadi ekoran kebanjiran warga asing ke negara kita. Misalnya pada akhir 2014, ada kenyataan yang menyebut bahawa jumlah rakyat asing di negara kita ialah seramai 6.7 juta orang.

Ancaman keselamatan awam

Walaupun kedatangan pekerja asing itu tidak semestinya dengan sekali gus memberikan mereka taraf kewarganegaraan segera, tetapi kecenderungan untuk berlaku begitu agak besar. Selain itu, rakyat juga bimbang mengenai pembabitan warga asing dalam perbuatan jenayah dan juga ancaman kepada keselamatan awam.

Begitu juga dengan kebimbangan mengenai aspek kesihatan dan penyebaran penyakit dan ketidakseimbangan fabrik sosial. Keadaan ini berbahaya kepada negara. Warga asing ini, seperti kebanyakan kita tahu, mempunyai daya survival yang tinggi. Mereka tidak mudah mengalah kepada pihak penguat kuasa. Dalam pembinaan rumah atau premis perniagaan, mereka akan kembali meneruskan aktiviti rutin seberapa segera selepas diambil tindakan.

Kejayaan survival

Dalam bidang perniagaan pula, ramai dalam kalangan mereka memulakan perniagaan sendiri dan mengambil pekerja bukan saja rakan senegara, malah juga warga tempatan. Dalam keadaan ini saya percaya, ada faktor yang mendorong kejayaan survival mereka yang mungkin tidak dapat kita nafikan. Mungkin orang kita tidak mampu atau tidak mahu; tetapi kejayaan survival mereka itu tetap menjadi isu. Ini kerana negara ini adalah milik warganegara. Maka rakyat melihat kehadiran mereka yang tidak dikawal selia dengan penguatkuasaan undang-undang yang baik sentiasa menjadi ancaman.

Dari segi istilahnya, warganegara ialah rakyat atau penduduk sesebuah negara yang diterima berdasarkan perlembagaan dan undang-undang negara. Kewarganegaraan adalah antara perhatian utama dalam pembentukan sesebuah negara. Ini kerana identiti warganegara itu akan mencorakkan identiti negara. Sebagaimana sejarah negara kita sendiri, hal kewarganegaraan telah mendapat pertimbangan panjang sebelum kita memutuskan bentuk, cara dan syarat kewarganegaraan.

Anugerah tertinggi

Sementara itu, bagi individu, identiti sebagai warganegara adalah anugerah tertinggi yang boleh diberikan oleh sesebuah negara kepada seseorang. Ini kerana dengan identiti sebagai warganegara, dia akan mendapat bukan saja 'identiti' tetapi juga keutamaan atau kemudahan dan hak yang tidak dimiliki oleh individu bukan warganegara. Namun begitu, di samping hak yang dianugerahkan serentak dengan kewarganegaraan itu, sekali gus menjadikan individu itu menggalas tanggungjawab untuk taat setia dan menjulang kedaulatan negara.

Ada tiga cara untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia; secara operasi undang-undang, pendaftaran dan (yang berkaitan dengan warga asing) dengan cara kemasukan atau naturalisasi. Dalam permohonan kewarganegaraan, secara naturalisasi, menurut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, orang asing yang berumur 21 tahun atau lebih bolehlah membuat permohonan untuk dimasukkan menjadi warganegara. Mereka hendaklah memenuhi beberapa syarat berikut.

Perakuan naturalisasi

Pertama, sebelum perakuan naturalisasi diberikan, seseorang itu dikehendaki bermastautin dalam negara dengan agregat 10 tahun daripada jumlah 12 tahun dan tidak meninggalkan persekutuan dalam tempoh 12 bulan sebelum tarikh perakuan. Kedua, hendaklah berniat untuk kekal bermastautin di negara ini. Ketiga, berkelakuan baik. Keempat, mempunyai pengetahuan bahasa Melayu yang cukup. Kelima, hendaklah mengangkat sumpah taat setia kepada persekutuan sebelum diberikan sijil kemasukannya itu.

Sumpah taat setia itu menyatakan bahawa individu berkenaan hendaklah bersumpah meluputkan segala taat setia kepada mana-mana negara lain, jujur dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan menjadi warganegara yang jujur dan setia.

Sekiranya hal kesetiaan dan kejujuran kepada raja dan negara tidak diberikan keutamaan, maka akan hilanglah kedaulatan negara. Inilah kebimbangan paling utama dalam isu kewarganegaraan ekspres ini. Moga kerajaan memberi perhatian sewajarnya.

Berita Harian X