Khamis, 16 Julai 2015 | 8:07am

Ketekunan guru, ibu bapa kunci pendidikan bermutu

Sesetengah pihak di negara ini mempercayai pendidikan bermutu hanya terbekal apabila disampaikan dalam bahasa Inggeris. Ia diungkit setiap kali kita tidak dapat memperlihat prestasi baik dalam bidang pendidikan di persada antarabangsa. Sehubungan ini, kita kelihatan bukan saja kerdil, malah bebal pula apabila negara yang jauh lebih mundur, berjaya memperoleh pencapaian lebih cemerlang.

Sudah tentu ini menggusarkan kita. Ia menjadi lebih parah apabila negara berkenaan tidak pun menggunakan bahasa Inggeris untuk sistem pendidikannya. Oleh itu, bahasa Inggeris bukan faktor penentu utama mengenai hal pencapaian baik dalam bidang pendidikan.

Kesedaran mendalam

Jadi apakah rahsia kejayaannya? Apabila ditinjau, faktornya didapati tidak berapa ada lagi di negara ini. Ia tidak lain tidak bukan kesedaran mendalam terhadap pendidikan, baik oleh golongan pendidik mahupun ibu bapa dan masyarakat. Ia didapati masih utuh di negara yang selalu memperlihat kejayaan.

Kesedaran ini sebenarnya sangat utuh di negara ini pada masa dulu. Akan tetapi, sejak beberapa tahun lampau, ia boleh dikatakan tiada lagi. Ia belum kehilangan sepenuhnya, tetapi dalam proses ke arah kelenyapan, jika guru dan ibu bapa serta masyarakat tidak melakukan sesuatu yang mendadak.

Golongan pendidik kini rata-ratanya tidak seperti pada masa lampau. Kini mereka yang menceburi bidang pendidikan bukan lagi disebabkan minat mendalam terhadap kerjaya perguruan. Walaupun begitu, didapati ramai yang masih mahu menjadi guru dalam keadaan sedemikian.

Dengan ini, walaupun bilangan mereka itu tidaklah besar sangat, namun ia ibarat nila setitik merosakkan susu sebelangga. Oleh sebab ketiadaan minat sejati yang berkait pula dengan kecintaan dan emosi positif terhadap bidang perguruan, mereka ini didapati liat dalam menjalankan tugas mengajar.

Berani cemuh guru

Sikap liat mereka inilah yang menjadi faktor utama ibu bapa dan masyarakat tidak lagi menghormati guru secara umumnya. Ia juga menyebabkan mereka mula berani mencemuh guru. Semua ini tidak sepatutnya berlaku jika setiap guru bijak membawa diri dalam kerjaya yang mulia ini.

Dengan kata lain, semua ini adalah tindak balas ibu bapa dan masyarakat terhadap guru, walaupun akibat tindak-tanduk oleh mereka yang tiada amanah. Namun, amalan mereka ini dipersepsikan sebagai norma pendidikan pada masa kini kerana seekor kerbau membawa lumpur, akan terpalitlah semuanya.

Ibu bapa dan masyarakat kini juga tidak sama lagi seperti pada masa lampau. Mereka bukan saja cepat mempercayai aduan anak, malah terus melenting untuk menyalahkan guru. Sehubungan ini, ada aduan yang ada asasnya dan ada pula yang sebaliknya.

Sama ada berasas ataupun tidak, ibu bapa dan masyarakat perlu bijak dalam menangani aduan daripada anak. Ia hendaklah dilakukan bagai menarik rambut dalam tepung. Perasaan guru dan lebih penting lagi maruah mereka pada mata pelajar mesti selalu menjadi perkiraan utama.

Perasaan yang sudah tersinggung, apatah lagi maruah yang telah dijatuhkan, boleh menyebabkan guru berkenaan khasnya, dan yang lain-lainnya amnya, lemah dan patah semangat serta tawar hati untuk melakukan yang terbaik. Dalam hal ini, ibu bapa dan masyarakat hendaklah senantiasa ingat bahawa guru hanya manusia biasa. Sesungguhnya kita semua hanya manusia biasa. Dengan ini, kita sama-sama melakukan kesalahan. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Oleh itu, marilah kita insafi kekhilafan yang telah berlaku untuk memperbaiki keadaan.

Guru perlu berintegriti

Bagi guru, sama ada berminat atau sebaliknya, mereka hendaklah mempunyai integriti untuk menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya. Mereka tiada pilihan melainkan menjalankan amanah mengajar sejujur yang boleh. Ia bukan saja diberkati, malah amat penting ia aku janji.

Untuk ibu bapa dan masyarakat, serahkan tugas mengajar sepenuhnya kepada guru. Tugas ini yang merangkumi disiplin di sekolah tidak boleh sesekali dicampuri sesiapa pun. Ia hak eksklusif guru dan perlu difahami sejelas-jelasnya.

Inilah yang sebenarnya berlaku dalam sistem pendidikan bermutu di merata tempat. Ia disedari dan dijadikan inti pati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, khususnya dalam sebelas anjakannya. Dengan ini, kerjasama golongan guru dan ibu bapa serta masyarakat diperlukan untuk menjayakannya.

Berita Harian X