Khamis, 27 Ogos 2015 | 8:33am

'Perang promosi' maya manfaat ringgit lemah

RAMAI yang risau dengan susutan nilai Ringgit Malaysia (RM). Sedar atau tidak, kita boleh membantu dari segi mempromosi negara kepada rakan kita di negara lain sebagai 'magnet' wang asing untuk masuk ke Malaysia.

Susutan RM ini perlu dijadikan peluang bagi menarik kemasukan pelawat dan pelancong asing ke negara kita.

Jutaan rakyat kita yang juga pengguna media maya seperti Facebook dan WhatsApp serta Twitter dan pelbagai lagi yang disifatkan antara teraktif di dunia boleh mempromosi negara. dengan mengajak rakan di negara lain datang berkunjung dan bercuti dan berbelanja di Malaysia.

Lancarkan perang promosi daripada rakyat Malaysia kepada rakyat asing bagi menarik mereka melancong ke negara kita. Kita di Malaysia ada kelebihan, menerusi wujudnya masyarakat pelbagai kaum. Kaum Melayu dan Bumiputera, Cina dan India antara kaum terbesar dalam negara boleh berkempen pada masyarakat di negara bertuturkan bahasa asas yang sama dengan kaum itu.

Orang Melayu umpamanya boleh mempromosikan negara kita pada 'masyarakat maya' dari Indonesia dan Brunei, kaum Cina di negara kita boleh mempromosikan negara kita secara langsung kepada penduduk negara China, Taiwan serta Singapura yang majoritinya berbangsa Cina; masyarakat India yang berasal dari pelbagai kaum pula boleh membantu mempromosi Malaysia kepada masyarakat di pelbagai wilayah negara Asia Selatan termasuk India, Pakistan dan Sri Lanka.

Promosi produk pelancongan

Bahkan mungkin Malaysia boleh ajak penduduk negara Teluk seperti Kuwait, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi serta Oman berkunjung ke negara kita. Bukankah ramai graduan kita dari Asia Barat, ustaz dan ustazah keluaran Asia Barat juga perlulah bantu negara mempromosi produk pelancongan negara dengan kebolehan mereka bertutur dan menulis dalam bahasa Arab.

Malaysia sebenarnya ada komposisi 'jentera' promosi terhebat dunia dengan keupayaan sebenar menyebar maklumat bukan saja merangkumi Asia Tenggara yang letaknya negara kita secara geografi dan sejarahnya, bahkan boleh menguasai pasaran pelancongan Asia Barat dan Asia Selatan jika setiap warganegara kita bersatu mempromosi negara.

Bayangkan jika hanya 10 juta penduduk negara secara sukarela mempromosi produk pelancongan negara dan berjaya membawa datang seorang sahaja, ia sudah menambah kedatangan 10 juta pelancong asing ke negara kita. Kerajaan mungkin boleh mengadakan insentif galakan kepada rakyat kita yang berjaya menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita.

Tahun 2014 menyaksikan lebih 27.4 juta pelancong datang ke Malaysia. Sumbangan sektor pelancongan sahaja mencecah RM70 bilion. Jika ini menyusut, jaringan edaran pendapatan pada rangkaian ekonomi juga kurang. Sudahlah hasil negara dari pemberian PETRONAS menyusut kepada RM26 bilion, jika kemerosotan sektor pelancongan berlaku ia akan membawa impak pada kitaran wang dalam pasaran ekonomi negara.

Pihak universiti dan ahli akademik universiti awam (UA) dan swasta (US) umpamanya, boleh sama digemblengkan mempromosi negara. Ramai tenaga akademik pernah belajar di luar negara termasuk di universiti 200 tersohor dunia, jadi gunakan jaringan dan persahabatan untuk mempromosi produk pelancongan negara.

Negara kita boleh dijadikan pusat wacana, seminar pusat persidangan global dengan kerjasama universiti bersama agensi pelbagai kementerian. Tiba masa bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mewajibkan setiap institusi pengajian tinggi di negara ini menjadikan seminar atau persidangan antarabangsa sebagai acara wajib tarikan 'pelancongan akademik' dan diwujudkan 'kalendar wacana' tahunan.

Kerjasama pelbagai pihak

Ini boleh dipromosi secara kerjasama dengan universiti luar negara dan menarik pembentang dan penyertaan luar dengan dikenakan yuran tertentu. Pengangkutan serta penginapan boleh disertai dengan pakej pelancongan khas dengan kerjasama pihak kementerian berkaitan pelancongan bersama agensinya. Jadikan acara akademik sebagai penjana rangkaian pendapatan global buat negara dan masyarakat.

Pakej pelancongan akademia global boleh juga dianjurkan secara bersepadu dengan kewujudan sekretariat khas antara universiti, kementerian dan agensi berkaitan dengan Menteri Pendidikan Tinggi sebagai pengerusi majlis tindakan ini. Pelantikan profesor luar negara dengan gaji melebihi RM10,000 sebulan di mana kepakarannya tidak kritikal pada keperluan pengajian semasa perlu diberhentikan.

Dengan satu pelantikan dan pembayaran gaji, mereka itu mungkin kita boleh melantik tiga individu tenaga kerja akademik warga tempatan. Pelbagai langkah perlu dilaksanakan ketika negara sedang berhadapan situasi kejatuhan ringgit ini, rakyat yang pelbagai latar belakang di Malaysia boleh menyertai usaha membantu memperkukuhkan ekonomi negara dengan menjadi penyebar maklumat yang baik kepada dunia luar.

Penulis ialah pensyarah kanan hal ehwal politik dan antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa, UUM

Berita Harian X