Khamis, 22 Oktober 2015 | 8:28am

RIMUP satukan murid sekolah berbilang kaum

KEMENTERIAN Pendidikan akan memperluas dan memperkukuhkan lagi pelaksanaan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) di sekolah rendah dan menengah di negara ini. Pendekatan sempurna lebih ketat dan sarat dengan mesej perpaduan ini diyakini memberi impak langsung kepada agenda perpaduan kaum secara holistik.

Banyak perkara perlu ditambah baik dan diperkasakan dari semasa ke semasa bagi memberi peluang pelajar dan guru menterjemahkan dasar kementerian yang mula diperkenalkan sejak 1986 lagi di sekolah rendah. Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sendiri mengumumkan cadangan pelaksanaan penambaikan program RIMUP.

Justeru, saya terpanggil untuk membantu menjayakannya apabila diberi tanggungjawab khas berkaitan pelaksanaan program RIMUP era baharu di semua sekolah rendah dan menengah.

Nilai tahap pelaksanaan RIMUP

Hal ini terbukti hasil penilaian Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) kementerian dalam pemantauan yang dijalankan di 78 sekolah bagi menilai tahap pelaksanaan RIMUP. Laporan Tahunan 2014 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) menyatakan, pemantauan itu membabitkan sekolah menengah kawasan bandar dan luar bandar yang mempunyai komposisi murid pelbagai etnik.

Berdasarkan pemantauan itu, didapati sekolah yang melaksanakan aktiviti yang menjurus kepada pembentukan perpaduan dapat dilihat melalui interaksi dan tingkah laku murid dalam bilik darjah dan ketika aktiviti kokurikulum. Pemerhatian mendapati, 84.6 peratus atau 66 sekolah sudah melaksanakan lima kategori RIMUP dan secara rawak di 10 bilik darjah setiap sekolah menunjukkan 73.1 peratus atau 57 sekolah sudah melaksanakan susunan tempat duduk secara bercampur dalam kalangan pelbagai etnik.

Dalam perkembangan lain, interaksi murid adalah positif dengan 87.2 peratus atau 68 sekolah menunjukkan murid pelbagai etnik berinteraksi ketika pembelajaran, kokurikulum dan kelas Pendidikan Jasmani. Sehubungan itu, kementerian ini turut merancang membangunkan strategi dan pelan tindakan bagi mengukuhkan penerapan dan amalan nilai perpaduan di bilik darjah dan juga aktiviti kokurikulum.

Selain itu, pembabitan ibu bapa dan komuniti dalam program seperti ini akan dipertingkatkan lagi bagi memastikan perpaduan dan semangat patriotisme terus diamalkan dalam kalangan murid semasa serta selepas waktu persekolahan. Ingin saya tegaskan program RIMUP ini mempunyai hala tuju jelas menyatupadukan pelajar berbilang kaum di negara ini.

Jelas diketahui bahawa pelaksanaan program ini berdasarkan Buku Panduan RIMUP diterbitkan kementerian pada 2004 lalu yang menyokong terus Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) di bawah teras Membina Negara Bangsa. RIMUP mencakupi beberapa elemen khusus tersendiri. Ini termasuk pengisian program kecemerlangan akademik menerusi pelaksanaan aktiviti seperti seminar, kuiz, debat perpaduan, sayembara perpaduan dan pertandingan fotografi.

Model pupuk perpaduan

Kita perlu menaruh keyakinan bahawa program ini mampu menjadi model untuk memupuk perpaduan yang penting untuk membantu mengekalkan kestabilan, kemajuan dan tamadun di negara ini. Saya melihat RIMUP ini mampu memberi nilai tambah kepada program pengurusan sekolah dengan aktiviti mahupun objektif yang ditetapkan pihak kementerian.

Baru-baru ini saya merasmikan program RIMUP kelompok Zon Kerling di Hulu Selangor membabitkan pelajar dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Kerling, SRJK Cina Kerling dan Sekolah Kebangsaan Kerling. Ternyata program diadakan selama sehari itu mampu menyuntik semangat kerjasama perpaduan 1Malaysia kepada peserta.

Program ini juga boleh diadakan di sekolah aliran Cina dan arus perdana (SK) secara giliran.

Malah, amalan kunjung mengunjung rakan pelbagai bangsa pada musim perayaan itu adalah praktikal mudah menyatupadukan rakyat Malaysia secara berkesan.

Kementerian optimis mampu terus memperkasakan lagi temasya program RIMUP secara berkala pada masa hadapan demi merealisasikan agenda penyatuan kaum secara kukuh. Keyakinan ini perlu disahut pelbagai pihak khususnya ibu bapa, badan bukan kerajaan dan pemimpin komuniti.

Saya tidak setuju dengan pendapat yang mengatakan media sosial adalah penyebab utama meruntuhkan benteng perpaduan negara khususnya masyarakat pelajar dan guru di sekolah. Kita mampu menangani ancaman ini daripada menguasai negara yang cukup memberikan kesan buruk.

Media sosial boleh digunakan untuk tujuan lebih positif seperti pendedahan program RIMUP di sekolah dalam negara ini. Kesan yang baik ini mampu menjana kecemerlangan institusi perpaduan kaum. Paling penting keikhlasan hati setiap insan membantu kerajaan menyatukan kaum berbilang bangsa.

Kita mampu melakukan sesuatu yang lebih baik asalkan diri ini mempunyai keikhlasan hati dengan sentiasa berbaik sangka satu sama lain dan terus menyokong dasar holistik kementerian ini secara menyeluruh.

Berita Harian X