Ahad, 6 Disember 2015 | 8:45am

Promosi kesihatan mental tangani kes keganasan

AKHIR-akhir ini, didapati peningkatan dalam bilangan insiden tragis yang membabitkan orang bermasalah mental. Kes terbaharu, seorang pelajar tingkatan lima yang ditemui mati sejurus selepas menduduki subjek Matematik Tambahan Kertas I dalam peperiksaan SPM.

Sebelum itu seorang warga tua di Bachok, Kelantan dipukul hingga mati oleh anaknya berusia 32 tahun yang sebelum ini mengalami masalah mental.

Gangguan psikiatri dan lain-lain bentuk penyakit mental yang mendorong kepada keganasan adalah peringatan tragis bagi satu sudut kehidupan yang tidak boleh diabaikan dalam usaha kita untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya. Kesan masalah kesihatan mental terhadap pesakit dan keluarga mereka serta masyarakat keseluruhannya adalah besar dan perlu ditangani.

Adalah penting di waktu yang sukar dan mencabar ini untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia dan keluarga mereka melalui inisiatif menggalakkan kesihatan mental yang baik di kalangan rakyat Malaysia dari sudut pandangan pembangunan sosial yang kukuh.

Kerajaan perlu melakukan lebih banyak lagi untuk mempromosi kesihatan mental yang baik dengan penyertaan majikan, NGO yang berkaitan seperti Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya. Kita perlu mengambil langkah pencegahan bagi mengelak lebih banyak kes keganasan oleh pesakit mental, kejadian bunuh diri dan lebih ramai orang menjadi mangsa gangguan mental yang disebabkan oleh pelbagai faktor.

Lancar kempen

Kesihatan mental bukan sahaja mengenai penyakit mental. Ia adalah sesuatu yang kita semua perlukan. Ia merangkumi perasaan gembira dan sejahtera, berupaya menghadapi pelbagai cabaran hidup dan mempunyai sikap positif terhadap diri sendiri. Oleh itu, sudah pasti penting bagi kita melancarkan kempen yang komprehensif di seluruh negara untuk mendidik semua lapisan masyarakat memperoleh pengetahuan betul bagi mencapai gaya hidup, mengamalkan kesihatan mental yang baik.

Mereka yang memerlukan bantuan untuk menangani masalah mental tidak perlu rasa malu tetapi harus tampil mendapatkan bantuan. Dalam menangani hal-hal kesihatan mental, adalah penting untuk mengawal isu stigma yang menjadi benteng terakhir yang perlu diatasi.

Stigma merendahkan harga diri seseorang dan memberi kesan kepada imej diri, menyebabkan orang itu mengelak daripada mendapatkan bantuan. Antara kesan negatif stigma termasuk tidak mahu mengaku diri sakit; berpura-pura sihat, dengan itu melewatkan rawatan; enggan mendapatkan rawatan; tidak mendapat layanan dan perkhidmatan yang sama seperti orang lain; tidak diterima oleh keluarga dan rakan; pengasingan sosial terhadap pesakit dan keluarga; masalah diskriminasi di tempat kerja dan terpaksa menghadapi cemuhan, buli, keganasan fizikal atau gangguan.

Mengapa pesakit mental menghadapi stigma masyarakat?

  • Kerana kejahilan

  • Kerana orang yang menghadapi penyakit mental digambarkan secara negatif oleh pihak media

  • Kerana label atau tanggapan yang tidak diperbetulkan

  • Kerana takut dan malu

    Tingkah laku ganas dilaporkan di dalam berita dan ini menguatkan lagi stereotaip terhadap orang yang mempunyai penyakit mental sebagai berpotensi bertindak ganas dan berbahaya. Kes keganasan yang dilaporkan sering kali disebabkan oleh pengabaian terhadap pesakit mental, tiada rawatan atau gagal membayar rawatan.

    Tak timbul ancaman keganasan

    Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa orang mempunyai penyakit mental jika dirawat dengan betul, tidak akan menimbulkan ancaman keganasan.

    Beberapa strategi yang boleh kita ambil untuk menghilangkan stigma terhadap kesihatan mental termasuk mewujudkan kesedaran mengenai kesihatan mental, memberi keyakinan kepada pesakit mental dan ahli keluarga mereka untuk bangun menentang stigma dan diskriminasi melalui pendidikan, serta memberi pemahaman kepada masyarakat umum dan membabitkan mereka dalam isu-isu kesihatan mental.

    Pakar kesihatan profesional boleh membantu menghilangkan stigma penyakit mental dengan merawat orang yang mempunyai masalah kesihatan mental dengan hormat dan bermaruah.

    Laksanakan kerjasama yang aktif dengan kerajaan tempatan dan NGO bagi mendidik orang awam mengenai isu kesihatan mental, dan betulkan tanggapan serong terhadap orang yang mempunyai penyakit mental. Beri sokongan kepada NGO yang menggalakkan kesihatan mental dan menyokong orang yang berpenyakit mental serta keluarga mereka dengan menyertai NGO berkenaan dan mengambil bahagian dalam aktiviti mereka.

    Beri kekuatan dan keyakinan kepada orang berpenyakit mental serta ahli keluarga mereka untuk bangun mengatasi stigma dan diskriminasi melalui kaunseling yang betul dan pendidikan keluarga.

    Penulis ialah Ahli Majlis penasihat Promosi Kesihatan Mental

  • Berita Harian X