Isnin, 22 Februari 2016 | 6:49am

Serangga penting dalam industri makanan dunia

DURIAN adalah sejenis buah yang amat digemari rakyat Malaysia. Bagaimanapun durian bergantung kepada kelawar untuk pendebungaan. Kekurangan bilangan kelawar akan mengakibatkan kurangnya buah durian dalam pasaran.

Durian dan tanaman lain seperti kelapa sawit, kopi, koko, mangga, tembikai gajus dan badam semuanya bergantung kepada serangga yang berperanan sebagai agen pendebungaan yang terdiri daripada lebih 20,000 spesies lebah, kupu-kupu, rama-rama, penyengat, kumbang, unggas dan kelawar.

Pendebungaan adalah satu perkhidmatan ekosistem yang penting kepada tumbuh-tumbuhan ini. Malangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pakar semakin bimbang masalah yang menimpa populasi serangga ini disebabkan oleh tekanan kegiatan manusia. Ini termasuk kegiatan pengindustrian, pertanian dan penggunaan racun perosak yang melampau, pencemaran dan perubahan iklim.

Bermula pada 22 hingga 28 Februari, Malaysia menjadi tuan rumah kepada satu persidangan global yang membincangkan masalah pengurangan agen pendebungaan ini dan akan mengutarakan beberapa cadangan untuk mengatasi masalah ini. Perhimpunan di Kuala Lumpur ini dihadiri 124 negara anggota Badan Penasihat Mengenai Perkhidmatan Kepelbagaian Biologi dan Ekosistem atau Intergovenmental Platform on Biodiversity and Ecosystem Services (IPBES) yang akan bertemu bagi perbincangan plenari nanti.

Peka kepelbagaian biologi

Malaysia dipilih sebagai lokasi sidang plenari keempat IPBES berdasarkan kepemimpinan kita dalam isu alam sekitar dan kepelbagaian biologi sejak lebih 20 tahun lalu. Ia bermula dengan kepemimpinan kita di mesyuarat Kemuncak Bumi di Rio di Janeiro pada 1992. Malaysia bukan sahaja peka terhadap pemuliharaan kepelbagaian biologi tetapi juga memperjuangkan hak negara untuk terus membangun demi kesejahteraan rakyat, sekali gus pendekatan yang diambil bertujuan mengimbangi pemuliharaan dan pembangunan sosial.

Dalam beberapa mesyuarat persediaan pembentukan IPBES, Malaysia adalah tuan rumah yang pertama proses ini apabila kita menjadi hos pada mesyuarat yang diadakan di Putrajaya pada 2008. IPBES ditubuhkan pada 2012 sebagai sebuah badan yang berfokus kepada kepelbagaian biologi serta ekosistem dan mirip kepada Platform Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim atau Intergovernmental Platform on Climate Change (IPCC), yang mana kedua-duanya menggalakkan dialog di antara kumpulan ahli sains dengan pemimpin politik dan kumpulan pembuat polisi.

Satu isu pokok yang akan diperdebatkan adalah mengenai peranan agen pendebungaan terhadap pengeluaran makanan. Data yang terkumpul setakat ini membayangkan ada pengurangan bilangan spesies haiwan dan serangga ini. Ini berkemungkinan mempunyai kesan negatif terhadap pengeluaran hasil tanaman dan juga spesies kayu kayan yang menjadi punca pendapatan di kebanyakan negara tropika. Persidangan ini juga akan memberi beberapa cadangan yang boleh diambil oleh semua negara untuk mengatasi masalah ini.

Ekonomi negara kita khususnya sektor perladangan kelapa sawit, mempunyai sejarah dan kaitan rapat dengan serangga pendebungaan. Suatu masa dahulu untuk mendapatkan buah kelapa sawit yang berkualiti tinggi, pokok ini perlu didebungakan dengan bantuan manusia. Pada awal 1980-an melalui penyelidikan dijalankan beberapa ahli sains mendapati pendebungaan yang berkesan boleh dilakukan oleh sejenis kumbang yang berasal dari benua Afrika. Kumbang ini diperkenalkan di ladang kelapa sawit dan berjaya meningkatkan pengeluaran buah, malah menjimatkan kos guna tenaga manusia sebanyak RM400 juta setahun dan meningkat berlipat kali ganda pada hari ini.

Beberapa persoalan jadi perhatian

Di samping itu, mesyuarat yang akan diadakan nanti juga akan mengkaji beberapa persoalan penting berkaitan pendebungaan di antaranya apakah peranan agen pendebungaan dalam pengeluaran makanan, adakah perkhidmatan pendebungaan bernilai dari segi ekonomi, adakah pendebungan liar atau yang diuruskan berada dalam keadaan yang membimbangkan di peringkat tempatan dan global dan jika ya, apakah implikasinya terhadap makanan, kesihatan dan keselamatan pemakanan, apakah implikasi sosial dan ekonomi terhadap pengurangan agen pendebungaan, apakah punca menyebabkan pendebungaan semakin berkurangan dan apakah pilihan yang ada untuk melindungi agen pendebungaan serta bagi memulihkan perkhidmatan pendebungaan?

Pada penghujung mesyuarat ini nanti adalah dijangkakan beberapa garis panduan untuk membanteras masalah bilangan agen pendebungaan ini akan dicadangkan. Di samping itu, beberapa objektif lain pada mesyuarat kali ini adalah pengumuman penilaian global bagi biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem IPBES baru yang dijangka akan diterbitkan pada 2019 serta juga pemilihan Pengerusi yang baru bagi menggantikan tempat saya.

Pada Disember tahun lalu di Paris, pada mesyuarat perubahan iklim COP 21, masyarakat dunia mengambil tindakan berani untuk mengatasi masalah pemanasan global dan mencadangkan langkah yang perlu diambil untuk menstabilkan suhu dunia.

Perbincangan yang akan diadakan pada minggu ini adalah sesuatu yang kritikal untuk menjamin masa depan kita bersama dan IPBES adalah satu badan yang boleh memenuhi hasrat ini dengan cara mengeratkan lagi hubungan di antara kumpulan ahli sains dengan pemimpin politik dan kumpulan pembuat polisi. Malaysia mengalu-alukan perwakilan IPBES dari serata dunia dan ini juga adalah satu bukti kewibawaan negara dalam hubungan antarabangsa.

# Penulis ialah Penasihat Sains kepada Perdana Menteri

Berita Harian X