Rabu, 15 Jun 2016 | 7:21am

Pendekatan sederhana senjata BN raih undi

Bendera-bendera yang telah dipasang oleh parti-parti yang bertanding pada pilihanraya Parlimen Sungai Besar P 093 di sepanjang jalan Haji Dorani. - Foto Salim Shaari/NSTP
Bendera-bendera yang telah dipasang oleh parti-parti yang bertanding pada pilihanraya Parlimen Sungai Besar P 093 di sepanjang jalan Haji Dorani. - Foto Salim Shaari/NSTP

Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila ada pihak yang masih menggunakan pendekatan ekstrem untuk mendapatkan simpati pengundi ketika berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Mungkin keadaan terdesak untuk meraih undi menyebabkan pihak ini sanggup melakukan apa sahaja. termasuklah melanggar etika dan susila dalam pilihan raya. Adakah taktik seperti ini satu strategi berkesan? Apa yang pasti, masyarakat sudah mula muak dengan pendekatan ekstrem, apatah lagi PRK ini berlangsung ketika Ramadan, bulan yang mulia. Apabila taktik ekstrem digunakan, maka pastinya nafsu akan melebihi akal dan ketika itulah pengundi dapat melihat belang sebenar pihak yang mengamalkan pendekatan ekstrim ini.

Pihak seperti ini lebih mengutamakan populariti daripada berdepan dengan isu-isu realiti yang sepatutnya diberikan perhatian.

Itu sebabnya pendekatan sederhana yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN) dalam PRK ini mendapat pujian masyarakat. Kesederhanaan tidak bermaksud hanya bertahan dan membiarkan sahaja diri dibedal oleh pihak lawan. Kesederhanaan juga bermakna melakukan serangan bila perlu tanpa mengorbankan nilai-nilai murni ketika berkempen.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menjelaskan, walaupun BN mengambil pendekatan seperti itu, apa yang penting ialah mesej kempen dapat disampaikan dengan jelas kepada masyarakat dan pengundi.

Sebenarnya, pendekatan sederhana ini bukanlah sesuatu yang baru. Jika kita lihat dan kaji semula pada pentadbiran di bawah kerajaan BN, maka pendekatan ini sebenarnya sudah diamalkan oleh semua parti komponen sejak dulu lagi. Bahkan elemen kesederhanaan dan persefahaman antara semua parti komponen adalah kunci utama kepada kejayaan BN memerintah negara ini.

Formula BN pikat pengundi

Formula inilah yang terus digunakan oleh BN untuk terus memikat hati pengundi. Dan berlandaskan semangat seperti ini, kita sendiri dapat melihat bagaimana seluruh warga jentera UMNO dan komponen BN di Selangor seperti MCA, MIC dan GERAKAN begitu bersungguh serta bersatu padu untuk memastikan kemenangan calon BN di kedua-dua kawasan Parlimen ini.

Sebagaimana yang dijelaskan, masyarakat hari ini sudah muak dengan lambakan tohmahan pihak pembangkang. Bahkan semua isu yang dilontarkan sudah dibalas oleh jentera BN dengan begitu berkesan sekali.

Masyarakat sudah mula mendapat gambaran sebenar mengenai apa yang berlaku apabila jentera BN menjelaskan perkara sebenar ekoran isu yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang. Walaupun tidak ada parti yang betul-betul dianggap sebagai 'pasukan pilihan' untuk memenangi PRK kali ini, namun kelebihan masih dimiliki BN.

Ini mungkin disebabkan oleh ketidaksefahaman dari segi pendekatan dan taktik berkempen antara parti dalam Pakatan Harapan. PAS pula yang sukar untuk mendapatkan undi Cina dikatakan akan terus kecundang.

Walaupun banyak lagi faktor yang boleh dibincangkan untuk menunjukkan kelebihan berpihak kepada BN, namun ini tidak bermakna calon BN akan diberi laluan mudah untuk mengekalkan kedua-dua kerusi ini. Apa yang boleh dilakukan ialah dengan mengamalkan terus sikap kesederhanaan ketika berkempen kerana inilah pendekatan dan kunci kepada kejayaan BN pada 18 Jun ini.

Penulis adalah Ahli Majlis Perundangan Melayu Malaysia

Berita Harian X