Isnin, 27 Jun 2016 | 6:11am

Bila PAS UMNO nak rujuk?

PAS dan UMNO pernah bersama atau dalam bahasa mudah pernah 'berkahwin tetapi bercerai'.

Namun, ada berkata, PAS dan UMNO tidak pernah 'bercerai' dan ia ibarat lagu Melayu klasik nyanyian Nordin Ahmad dan Latifah Omar dalam filem Gurindam Jiwa (1965) yang liriknya antara lain berbunyi: "Batang selasih permainan budak, daun selasih dimakan kuda, bercerai kasih talak tiada, seribu tahun kembali juga." Ya, PAS dan UMNO pernah bekerjasama dalam Barisan Nasional (BN) ketika zaman Tun Abdul Razak Hussein pada 1972 dan terkeluar pada 1978 ketika zaman Tun Hussein Onn.

PAS juga pernah bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Rakyat (PR). Kini gabungan pembangkang DAP dan PKR sudah menubuhkan Pakatan Harapan tanpa PAS, yang tempatnya diisi parti serpihan PAS, dianggotai bekas pemimpin PAS sendiri.

Pada dua pilihan raya baru-baru ini iaitu pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, PAS dan parti serpihannya itu bertembung sesama sendiri.

Di Sarawak, PAS bertanding 11 kerusi dan parti itu, 13 kerusi tetapi kedua-duanya bertembung sesama sendiri di lima kawasan. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), yang mungkin diadakan lebih awal daripada 2018, pertembungan calon PAS dan parti serpihannya itu akan berterusan atau pendeknya di mana ada calon PAS, di situ akan ada calon parti berkenaan.

Kemungkinan besar juga calon PAS dan PKR akan berentap sesama sendiri.

Ketiga-tiga parti ini, walaupun PKR mendakwa parti pelbagai kaum, masih didasarkan kepada Melayu/Islam.

UMNO pun didasarkan kepada perjuangan Melayu/Islam.

Siapa akan meraih keuntungan hasil perpecahan parti berasaskan Melayu ini? Kedudukan orang Melayu berada pada tahap paling kuat apabila PAS bersama BN pada 1974, kerana pada PRU tahun itu, BN berjaya memenangi 135 daripada 154 kerusi Parlimen, ditambah kemenangan majoriti menyeluruh dalam semua Dewan Undangan Negeri.

Melihat ke depan, andai UMNO (kini ada 89 kerusi) bergabung dengan PAS (21 kerusi) sudah jadi 110 kerusi, kurang dua kerusi untuk majoriti mudah. Benar, ada lima kerusi Parlimen PAS kini diwakili parti serpihannya, namun sokongan komponen BN dari Sarawak dan Sabah, pakatan DAP, PKR dan parti itu boleh melupakan hasrat ke Putrajaya andai UMNO dan PAS kembali rujuk.

Oleh itu, pemimpin UMNO dan PAS perlu duduk berbincang mulai sekarang. Jika tidak mahu berbincang mengenai nasib masa depan parti masing-masing, bincang nasib masa depan Melayu dan umat Islam. PAS dan UMNO tidak perlu bergabung, tetapi memadai bekerjasama atau membentuk kerajaan perpaduan.

Persefahaman bertulis perlu dilakukan sebelum PRU-14 iaitu UMNO dan PAS mesti mengelak bertembung sesama sendiri dan jadikan DAP, PKR dan parti serpihannya sebagai musuh bersama. Jika ini terjadi, memang betul kata Nordin Ahmad, 'seribu tahun kembali juga' kerana PAS dan UMNO sebelum ini cuma 'bercerai kasih talak tiada'.

Berita Harian X