Rabu, 19 Oktober 2016 | 6:05am

Belanjawan tingkat kapasiti ekonomi

BAJET 2017 yang akan dibentangkan Jumaat ini dinanti-nantikan oleh pelbagai pihak. Mungkin ada berita gembira yang memberi kesan sama ada secara langsung, mahupun secara tidak langsung kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Mungkin ramai yang berpandangan bahawa bajet adalah suatu perancangan untuk membelanjakan hasil yang diperoleh kerajaan untuk keperluan umum. Fungsi ini bolehlah disamakan dengan bagaimana individu merancang untuk membelanjakan pendapatannya untuk kepentingannya dan keluarga.

Perlu diingat bajet juga adalah suatu alat perancangan ekonomi jangka pendek. Ianya adalah perancangan untuk setahun akan datang dengan mengambil kira juga perancangan ekonomi jangka panjang. Oleh itu, Bajet 2017 mestilah menyokong segala perancangan jangka panjang yang berkenaan seperti Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

Daripada sudut alat perancangan ekonomi, keputusan bagaimana hasil kerajaan dibelanjakan adalah jauh lebih penting berbanding daripada mana datangnya hasil kerajaan. Bagaimana hasil kerajaan dibelanjakan yang menentukan baik-buruknya pertumbuhan ekonomi.

Perbelanjaan kerajaan terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan. Keputusan pembahagian antara kedua-dua jenis perbelanjaan itu mestilah dilakukan dengan bijak berdasarkan keadaan semasa untuk mendapat manfaat maksimum.

Perbelanjaan mengurus adalah untuk memastikan segala jentera kerajaan berjalan dengan lancar untuk kesejahteraan umum. Ianya umpama bagaimana pendapatan isi rumah dibelanjakan untuk menguruskan keperluan hidup.

Perbelanjaan pembangunan adalah untuk membina kapasiti supaya ekonomi mampu terus berkembang. Dalam konteks isi rumah, ini adalah perbelanjaan untuk mengumpul harta, pelajaran dan seumpamanya.

Dalam pada itu, apabila kerajaan berbelanja sama ada untuk mengurus atau pembangunan, penjanaan ekonomi akan berlaku secara langsung dan secara tidak langsung.

Secara langsung, perbelanjaan kerajaan adalah pendapatan kepada individu, yang seterusnya akan meningkatkan aktiviti ekonomi melalui perbelanjaan mereka.

Secara tidak langsung, perbelanjaan kerajaan untuk pembangunan infrastruktur dan seumpamanya akan meningkatkan kapasiti ekonomi untuk membuat pengeluaran yang seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi.

Maka, perancangan bajet yang baik mestilah mampu menggabungkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang akan memberi pulangan maksimum dari segi pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan juga jangka panjang.

Kesan akhir perancangan yang baik akan diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan masyarakat umum.

Beri pulangan optimum

Apakah pengharapan rakyat jelata daripada Bajet 2017? Sudah tentu jawapannya berbeza mengikut keperluan masing-masing. Namun, dilihat dari segi umum, perancangan bajet mestilah mampu memberi pulangan optimum kepada masyarakat.

Secara ringkasnya, bolehlah disimpulkan bahawa bajet diharap mampu menjana pertumbuhan ekonomi, jangka pendek dan panjang, sambil meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat jelata.

Untuk mencapai objektif itu, kita perlu meninjau isu semasa yang relevan. Terdapat tiga isu penting sebagai asas perancangan untuk Bajet 2017.

Pertama, pertumbuhan ekonomi global yang perlahan pada masa kini, justeru permintaan untuk eksport Malaysia lembap. Kedua, sentimen perniagaan dan penggunaan yang lemah terhadap ekonomi, yang seterusnya akan memberi kesan terhadap aktiviti ekonomi dan akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi. Mengikut tinjauan MIER, kedua-dua Indeks Keyakinan Perniagaan (BCI) dan Indeks Sentimen Pengguna (CSI) untuk suku ketiga 2016 menunjukkan penurunan. Bermakna, peniaga dan pengguna kurang berkeyakinan terhadap keadaan ekonomi jangka pendek.

Ketiga, ramai rakyat jelata mempunyai persepsi berhubung peningkatan kos sara hidup. Sebenarnya, punca utama menyebabkan tekanan terhadap kos sara hidup yang dirasai umum adalah pendapatan yang rendah berbanding peningkatan kos.

Peningkatan kos sebenarnya terkawal seperti ditunjukkan oleh kadar inflasi yang agak rendah. Jika dibandingkan dengan negara maju, nilai tambah yang dijana oleh ekonomi kebanyakannya diraih oleh pekerja berbanding Malaysia yang kebanyakannya diraih oleh pemilik modal.

Antara pengharapan kepada Bajet 2017 bolehlah didasarkan kepada tiga isu semasa terbabit. Sudah tentu banyak lagi pengharapan pelbagai golongan masyarakat, namun dengan menggariskan ketiga-tiga isu berkenaan kesan dari Bajet 2017 adalah lebih menyeluruh dan memberi manfaat kepada umum.

Oleh kerana permintaan untuk eksport Malaysia merosot, maka jentera pertumbuhan ekonomi untuk 2017 perlu dijana oleh permintaan domestik. Bajet 2017 perlu menjurus kepada penjanaan permintaan domestik. Bajet juga perlu mengatasi masalah sentimen pengguna dan keyakinan perniagaan yang merosot.

Perbelanjaan kerajaan mestilah berbentuk serampang dua mata. Pertama, meningkatkan kapasiti pengeluaran ekonomi sambil meningkatkan sentimen pengguna dan keyakinan perniagaan. Kedua, menaikkan pendapatan boleh guna isi rumah.

Peningkatan penggunaan swasta adalah penting untuk meningkatkan permintaan domestik. Namun, ruang peningkatan penggunaan swasta melalui dasar kewangan adalah terhad kerana ia akan meningkatkan hutang isi rumah yang sudah pun tinggi. Oleh yang demikian, ia perlu digalakkan melalui dasar fiskal. Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah dengan pengurangan cukai pendapatan individu.

Peningkatan pendapatan boleh guna isi rumah melalui bayaran pindahan seperti pemberian tunai oleh kerajaan terus kepada isi rumah perlu dikurangkan. Sebaliknya, peruntukkan ini perlu disalurkan kepada usaha peningkatan produktiviti seperti melalui latihan kemahiran, yang seterusnya mampu meningkatkan pendapatan akan datang isi rumah.

Peruntukan juga boleh disalurkan terus untuk menjana aktiviti ekonomi, seperti membantu penubuhan perniagaan kecil-kecilan, sama ada secara individu atau kumpulan. Bayaran tunai secara terus perlu dihadkan kepada kumpulan sasar yang berkeperluan atas dasar kesejahteraan.

Insentif galak pelaburan

Keyakinan perniagaan boleh ditingkatkan dengan beberapa cara. Antara lain, melalui pengurangan cukai korporat dan pelbagai insentif untuk menggalakkan pelaburan seperti melalui pengecualian cukai.

Insentif untuk pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga perlu diwujudkan, terutama yang berasaskan sumber seperti pertanian. Insentif untuk menggalakkan rantaian antara PKS dan syarikat gergasi domestik dan antarabangsa juga perlu diwujudkan.

Pembangunan infrastruktur perlu diteruskan dengan dua objektif umum, iaitu untuk peningkatan kapasiti pengeluaran dan untuk kesejahteraan rakyat. Peningkatan kapasiti bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan infrastruktur fizikal tetapi juga termasuk penambahbaikan sistem dan seumpamanya.

Usaha peningkatan kecekapan jentera kerajaan perlu diteruskan. Pertindihan tugas antara jabatan kerajaan perlu dielakkan dengan memberi penekanan terhadap pencapaian objektif utama. Dengan ini, pelaksanaan objektif oleh badan kerajaan yang berkenaan bukan sahaja lebih efisien, malah ianya akan menjimatkan kos operasi kerajaan.

Tumpuan yang lebih juga perlu diberi kepada pembangunan pengangkutan awam, terutama di bandar besar. Matlamat utama adalah untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, yang seterusnya mampu mengurangkan kos sara hidup di kalangan rakyat jelata.

Dalam pada itu, sesetengah konsesi lebuh raya mungkin boleh ditamatkan lebih awal dengan memberi pampasan yang munasabah di dalam usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Berita Harian X