Jumaat, 9 Jun 2017 | 7:31am

Pengangguran antara cabaran TN50

MENDEPANI cabaran mendatang, pelbagai pelan dan dasar dirangka kerajaan dalam menjadikan negara ke arah yang lebih berwawasan. Penstrukturan dasar yang strategik dan teratur, dijadikan komponen utama untuk mencapai sasaran itu. Pada Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan dasar baharu, iaitu Tranformasi Nasional 2050 atau lebih dikenali sebagai TN50.

TN50 ini bertujuan melakar hala tuju negara untuk 30 tahun akan datang selepas 2020, dan menetapkan visi baharu buat negara, dengan tumpuan pada aspirasi belia serta membentuk negara Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih cemerlang dan berpotensi dalam kemajuan daripada struktur ekonomi, inovasi dan kesejahteraan rakyat.

Pun begitu, dalam memacu negara ke arah pencapaian yang lebih cemerlang, masih wujud beberapa masalah dihadapi negara terutamanya dari segi pengangguran yang masih berlaku sehingga kini.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini, kadar pengangguran pada Januari 2017 adalah 3.5 peratus. Catatan ini adalah sama seperti bulan sebelumnya namun, perbandingan setahun ke setahun menunjukkan kadar peningkatan 0.1 peratus berbanding Januari 2016 iaitu sebanyak 3.4 peratus.

Orang ramai mengambil peluang bergambar dengan Velociraptor di Jurassic Croc Crocodile Adventureland Langkawi di Jalan Teluk Datai, Langkawi. - Foto BERNAMA
Orang ramai mengambil peluang bergambar dengan Velociraptor di Jurassic Croc Crocodile Adventureland Langkawi di Jalan Teluk Datai, Langkawi. - Foto BERNAMA

Kesan negatif

Melihat dari segi ekonomi global, golongan muda menerima kesan negatif akibat kemelesetan yang teruk. Persekitaran ekonomi yang tidak stabil menyebabkan pemulihan yang agak perlahan serta pertambahan pekerja agak rendah. Menurut kajian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan tahunan 2016, kadar pengangguran belia yang berlaku semakin meningkat daripada 11.7 peratus, iaitu kadar sebelum krisis pada 2007, kepada 13.1 peratus pada 2016.

Laporan BNM juga menyatakan kadar pengangguran belia Malaysia mencecah 10.7 peratus pada 2015, malah mencecah tiga kali ganda daripada kadar pengangguran negara sebanyak 3.1 peratus. Rentetan itu, krisis ekonomi banyak memberi impak terhadap pengangguran terutamanya terhadap graduan. Mereka juga terpaksa menunggu bertahun-tahun bagi mendapatkan pekerjaan disebabkan peluang pekerjaan terhad.

Selain ekonomi, isu pengangguran yang berlaku juga dikaitkan dengan sistem pendidikan negara. Dari sudut pendidikan, Malaysia masih mengekalkan status pendidikan lama walaupun sistem pendidikan sentiasa ditambah baik. Hal ini boleh dilihat dalam pendidikan universiti di mana kursus yang ditawarkan masih tidak berubah. Begitu juga permintaan terhadap kelayakan kursus berkenaan, kurang mendapat tempat oleh syarikat-syarikat selepas bergraduasi.

Sebagai contoh, kursus yang ditawarkan di universiti kebanyakan adalah kursus yang dibina 10 tahun lalu di mana keperluan terhadap kursus itu agak tinggi pada masa itu. Malangnya, apabila mahasiswa yang ditawarkan kursus yang dibina 10 tahun lalu tidak mendapat tempat pada masa kini kerana keperluan terhadap kelayakan itu sudah mencukupi.

Persaingan tinggi

Adapun keperluan terhadap kursus berkenaan, namun persaingannya agak tinggi disebabkan keluaran graduasi yang semakin meningkat dari setahun ke setahun. Malah penawaran terhadap pekerjaan juga dihadkan mengikut keperluan semasa. Menurut hasil kajian BNM, antara faktor pengangguran adalah ketidakpadanan pekerja dalam pasaran. Walaupun mencapai pendidikan yang tinggi, peluang pekerjaan yang disediakan tidak selari dengan kelayakan graduasi.

Menghadapi era digital kini, sepatutnya keperluan dalam pendidikan selari dengan keperluan pada masa kini. Bahkan perlu diterapkan dalam setiap pendidikan sejak zaman persekolahan lagi supaya kemahiran terhadap keperluan kini akan meningkat.

Sebagai contoh, keperluan terhadap penciptaan bahan teknologi yang mampu memudahkan masyarakat sepatutnya disediakan penawaran kursus terhadap kelayakan itu dan menyediakan pekerjaan mencukupi.

Disebabkan hal sedemikian, ramai graduasi negara yang mempunyai kelulusan dan kemahiran tinggi berhijrah ke negara lain untuk mendapatkan pekerjaan yang selari dengan bidang dipelajari.

Kesimpulannya, kestabilan ekonomi memainkan peranan terhadap sumber keperluan manusia terhadap peluang pekerjaan. Sistem pendidikan juga haruslah diperkasakan malah menyediakan tawaran kursus dalam bidang yang diperlukan pada masa kini.

Oleh itu, pihak yang sepatutnya perlu mengorak langkah proaktif dalam menangani isu pengangguran ini supaya wawasan negara mampu dicapai dengan sebaiknya dan dapat melahirkan graduan berkualiti yang akan menjadi tunjang terhadap pembangunan negara pada masa depan.

Penulis ialah Exco Ekonomi & Inovasi, Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X