Ahad, 27 Ogos 2017 | 7:19am
BALU Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya, Soleha Husin, 65, menunjukkan gambar arwah ketika ditemui di kediamannya di Kampung Charok Putih Siong. - Foto Sharul Hafiz Zam
BALU Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya, Soleha Husin, 65, menunjukkan gambar arwah ketika ditemui di kediamannya di Kampung Charok Putih Siong. - Foto Sharul Hafiz Zam

Merungkai misteri Memali

APABILA membicarakan mengenai tragedi berdarah Memali yang tercetus 32 tahun lalu, nama yang tidak asing lagi untuk disebut ialah Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, kerana pernah mendapat pendidikan di Tripoli, Libya selain Universiti Al Azhar, Mesir.

Allahyarham juga pernah bekerja sebagai pegawai pendakwah di Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri dan pada 1978, bertanding atas tiket PAS tetapi kalah bagi kerusi Bayu-Baling (dalam Parlimen Baling).

Mengikut ceritanya, Ibrahim Libya menyembunyikan diri selepas polis gagal menangkapnya mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 1984 kerana dihalang oleh penduduk Kampung Memali, Baling, iaitu kira-kira setahun sebelum peristiwa Memali. Malah, pelbagai cerita turut didedahkan di Mahkamah Tinggi di Alor Star pada 2002 apabila perbicaraan saman 14 waris terhadap kerajaan dan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tun Musa Hitam, berikutan kematian suami dan waris mereka dalam Peristiwa Memali pada 1985. Namun, kes itu tergantung begitu saja.

Salah seorang saksi, Azmi Salim, 53, ketika itu memberitahu mahkamah bahawa Ibrahim Libya selalu cakap kalau dia nak ditahan kerana kesalahan jenayah, beliau sedia untuk ke mahkamah tetapi beliau tak mahu tunduk kepada ISA dan menceritakan bagaimana tragedi itu berlaku pada kira-kira jam 11 pagi 19 November 1985.

"Saya terpaksa mencari tempat perlindungan di tangga pelantar rumah dapur apabila polis melepaskan gas pemedih mata dan tembakan. Ustaz (Ibrahim) keluar dari bawah rumah. Pada masa itu, polis terus menembak beliau. Beliau tidak menyerang polis.

Saya nampak beliau tersembam ke tanah. Saya menuju ke arah ustaz. Waktu itu, saya nampak adik ipar saya cedera di tangan dan dada meminta tolong. Saya mengajarnya mengucap. Kemudian, saya lari ke belakang dan jumpa lima orang lain sedang berlindung.

Ustaz Ismail yang ada di situ suruh semua orang bertenang sebab sudah ramai yang mati. Kemudian polis menyerbu dari belakang dan kami menyerah diri," kata Azmi yang ketika itu berusia 36 tahun. Itu yang didedahkan di mahkamah tetapi cakap-cakap di luar mahkamah, sebenarnya, banyak versi cerita yang kita dengar. Kelmarin, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, kata PAS tidak menyalahkan polis dalam insiden Memali kerana ada kenyataan bekas anggota bertugas, termasuk Ketua Polis Daerah Baling ketika itu yang mengatakan mereka dipaksa oleh kalangan ahli politik, untuk bertindak.

Ini yang menimbulkan isu siapa pihak yang mengarahkan tindakan menyerbu menggunakan kekerasan dan senjata terhadap kumpulan terbabit. Baru-baru ini pula tersebar semula video yang dikatakan dirakam di sebuah hotel di Kota Bharu pada 2014, pada satu majlis dialog apabila Musa mendedahkan Tun Dr Mahathir Mohamad ada di Kuala Lumpur ketika tragedi Memali berlaku, bukan di China.

Apabila pelbagai versi cerita timbul dan tidak berjawab, cara terbaik untuk merungkai segala 'misteri' itu ialah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), seperti disarankan PAS meskipun kerajaan sudah membentangkan kertas putih mengenainya di Parlimen pada 1986. Semua sedia untuk beri kerjasama jika RCI ditubuh termasuk Hadi, Dr Mahathir dan Musa.

Berita Harian X