Selasa, 29 Ogos 2017 | 6:40am
PEMAIN Malaysia, N Thanabalan diasak pemain Indonesia, Ricky Fajrin Saputra pada perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan SEA KL2017 di Stadium Selayang. - Foto Hairul Anuar Rahim
PEMAIN Malaysia meraikan jaringan N Thanabalan ketika bertemu Indonesia dalam perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan SEA KL2017 di Stadium Selayang. - Foto Hairul Anuar Rahim
SUASANA di pekarangan Stadium Shah Alam semalam ketika orang ramai beratur untuk membeli tiket final bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 antara Malaysia dengan Thailand. - Foto Osman Adnan

Contohi perpaduan rakyat dalam sukan

JARINGAN N Thanabalan pada perlawanan separuh akhir menentang Indonesia dalam Sukan SEA 2017 (KL2017), meletakkan negara ke pertandingan akhir menentang Thailand, malam ini. Apa yang lebih menarik ialah sokongan tidak berbelah-bahagi daripada seluruh rakyat Malaysia kepada pasukan bola sepak dan juga kepada semua atlet dan pasukan negara yang bertanding dalam KL2017. Dalam hal ini, sokongan adalah kepada semua atlet Malaysia tanpa mengira kaum. Ini membuktikan yang sukan sememangnya boleh menyatupadukan rakyat Malaysia.

Sebenarnya sudah lama kita dapat saksikan bagaimana sukan boleh memainkan peranan penting dalam hal ini. Pada suatu ketika dahulu Malaysia begitu terkenal dengan kejohanan bola sepak Piala Merdeka yang biasanya diadakan ketika negara kita hendak menyambut Hari Kebangsaan. Pertandingan yang diadakan setiap tahun ini adalah antara kejohanan bola sepak paling berprestij di Asia. Stadium Merdeka akan sentiasa dibanjiri penyokong bola sepak dari pelbagai kaum.

Mereka akan menyorak dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan Malaysia. Menang atau kalah bukan isunya. Yang penting ialah semangat menyokong pasukan negara hingga ke wisel penamat. Kemenangan dan kekalahan dirasai bersama. Penulis ingin berkongsi pengalaman Sukan SEA 1997 dan 1989 yang juga diadakan di Kuala Lumpur.

Sokongan rakyat

Penulis masih ingat lagi bagaimana Stadium Merdeka begitu meriah dengan sorakan gempita penyokong tempatan apabila Malaysia memungut pingat emas dalam acara terakhir Sukan SEA 1977 iaitu bola sepak dengan menewaskan Thailand 2-0 dalam perlawanan akhir. Ketika itu wira Malaysia terdiri daripada ketua pasukan Datuk Soh Chin Aun, Santokh Singh, Shukur Salleh, Bakri Ibni, Datuk Mokhtar Dahari, Isa Bakar dan juga James Wong.

Pastinya ada di antara kita yang masih ingat perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 1989 apabila Malaysia bertemu musuh tradisi, Singapura di Stadium Merdeka juga. Malaysia memenangi perlawanan itu dengan jaringan 3-1 dan sekali lagi dapat disaksikan sokongan tidak berbelah-bahagi diberikan kepada pasukan bola sepak negara daripada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum serta fahaman politik.

Bagaimana pula dengan pasukan badminton yang menjuarai Piala Thomas 1992 dahulu? Apabila Rashid Sidek masuk ke gelanggang, seluruh rakyat Malaysia mahukan beliau mengutip mata pertama untuk negara. Begitu juga ketika Foo Kok Keong melayangkan badannya menyelamatkan mata, satu Malaysia menjerit kegembiraan mahukan Kok Keong mencapai kemenangan.

Penyokong tidak melihat Rashid Sidek sebagai pemain badminton Melayu dan Foo Kok Keong sebagai pemain badminton bangsa Cina.

Sukan SEA, Hari Kebangsaan

Saya gembira apabila melihat pada hari ini, kita dapat saksikan di Sukan SEA yang sedang berlangsung, bagaimana rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, masih memberi sokongan sepenuhnya kepada atlet negara. Mungkin dalam hal ini, kita sebagai rakyat Malaysia boleh mencontohi dan mengambil iktibar bagaimana elemen sukan boleh menyatupadukan kita semua.

Tarikh 30 Ogos iaitu Rabu ini ialah hari akhir Sukan SEA dan keesokannya Malaysia menyambut Hari Kebangsaan. Ada kemungkinan besar kita akan menjadi juara keseluruhan dan pastinya sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini akan lebih meriah. Namun apa yang lebih penting, menang atau kalah, rakyat Malaysia akan menyambut 31 Ogos nanti dengan semangat perpaduan yang tinggi, selaras dengan tema tahun ini iaitu Sehati Sejiwa.

Penulis ialah Pengerusi Biro Politik, Majlis Perundangan Malaysia

Berita Harian X