Selasa, 12 September 2017 | 7:09am
KERAJAAN berpegang teguh kepada demokrasi. Kita mengangkat hak kebebasan bersuara dan keluhuran undang-undang. - Foto Danial Saad

Malaysia amal demokrasi tulen

PADA 31 Ogos, Malaysia melakar sejarah meraikan sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan dan disusuli dengan rekod pungutan pingat temasya Sukan SEA.

Kita juga meraikan enam dekad demokrasi Malaysia yang stabil dan wujudnya sebuah masyarakat yang bebas.

Malah, bila menyentuh mengenai persaingan sengit dalam pilihan raya dan kebebasan menyuarakan pandangan, Malaysia mempunyai rekod demokrasi yang terkuat dan paling lama di seluruh rantau Asia Tenggara.

Beberapa pilihan raya lalu membuktikannya apabila kemenangan memihak kepada parti berbeza dan di negeri berlainan, manakala tokoh politik turut hilang kerusinya; justeru tiada istilah wujud satu jaminan keputusan untuk undian yang dilaksana secara demokrasi dan bebas. Ia tertakluk kepada pilihan rakyat dan itulah rekod yang semua rakyat Malaysia perlu banggakan.

Bagaimanapun, mutakhir ini, pihak pembangkang nampaknya tidak berkongsi pandangan sama dalam menghormati tradisi demokrasi kita. Mereka memilih untuk memburukkan nama negara kita di media Amerika Syarikat, dengan melontarkan pelbagai tuduhan liar, selain menyajikan dakwaan palsu bahawa Malaysia semakin cenderung ke arah kepemimpinan diktator.

Ada ironinya di sini, kerana seorang tonggak pemimpin pembangkang ketika ini walaupun masih kabur siapa teraju sebenar membuat pengakuan bahawa beliau adalah 'diktator' sepanjang 22 tahun memegang tampuk kuasa. Ia benar sekali kerana ketika beliau menyandang jawatan Perdana Menteri, ratusan rakyat disumbat ke dalam penjara menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Surat khabar, termasuk satu akhbar arus perdana, ditutup. Badan kehakiman dihujani serangan. Kroni kapitalisme berleluasa, dengan janji niaga yang dilaksanakan menjadi beban kepada rakyat hingga kini.

Orang ramai tidak mempunyai hak untuk berdemonstrasi, manakala pelajar pula ditegah daripada terbabit dengan politik.

Namun, demokrasi Malaysia masih 'bernafas', dan di bawah pentadbiran saya, ia diperkukuhkan menerusi pelbagai perubahan jangka panjang sejak merdeka. Kita mansuhkan ISA dan tamatkan darurat yang wujud lebih daripada 60 tahun. Ini adalah antara langkah utama yang memerlukan keberanian politik namun kita teruskan kerana langkah memansuhkan perundangan yang bersifat menindas dan lapuk ini adalah keputusan terbaik yang perlu dilaksana.

Kita tingkatkan kebebasan media dengan menyisihkan sekatan lesen penyiaran surat khabar. Kita mengubah Akta Universiti dan Kolej Universiti bagi memberi laluan kepada mahasiswa untuk menyertai aktiviti politik.

Umum mengetahui bahawa demonstrasi yang tidak mungkin 'dihalalkan' ketika pemerintahan pemimpin terdahulu itu berlangsung di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Mengapa? Kerana kita luluskan Akta Perhimpunan Aman, untuk kali pertamanya apabila perundangan membenarkan hak bagi membuat protes secara aman yang mana kita akui ia adalah sebahagian daripada masyarakat demokratik.

Kita percaya kepada demokrasi di Malaysia dan pada individu tertentu bagi menyuarakan pandangan mereka. Pembangkang, bagaimanapun, cuba menjaja momokan menerusi media Amerika bahawa pihak yang mengkritik kerajaan akan 'dihumban ke dalam lokap'.

Jika begitulah keadaannya, mengapa anda boleh baca pujian kepada ahli politik pembangkang di akhbar arus perdana, dan pelbagai penganjuran debat sensasi termasuk banyak kritikan terhadap kerajaan di laman portal di Malaysia?

Ada seorang tokoh akademik terkemuka, yang sejak kepulangannya ke Malaysia untuk menyandang jawatan dalam badan pemikir ditaja kerajaan dan satu jawatan lagi yang menerima dana daripada Yayasan Noah, hasil cetusan nenda saya telah mengambil segenap peluang untuk menyerang saya dan dasar yang saya gagaskan, daripada penyertaan kita dalam rundingan perdagangan antarabangsa, sehingga cara pengurusan BR1M dan pelaburan asing di Malaysia.

Beliau bebas untuk berbuat demikian, seperti juga 'kepala' sebenar pembangkang, Lim Kit Siang, yang bebas mengemukakan pelbagai tuduhan mengenai saya walaupun pada dasarnya saya dan rakan berpendapat tindakan sedemikian adalah salah. Mengapa? Kerana kita menaruh kepercayaan dan mengamalkan kebebasan bersuara di negara ini.

Penting berpegang kepada undang-undang

Apa sekali pun, berbeza dengan tuduhan dilontarkan pembangkang menerusi proksi media mereka, kita percaya dengan kepentingan berpegang kepada undang-undang.

Ia adalah jaminan keselamatan, ketenteraman dan kebajikan mana-mana masyarakat dan pelbagai pelaksanaan terbaik, contohnya dalam perundangan pasaran kewangan yang ketika ini menerima perakuan siri penarafan dunia.

Namun, ia juga bermakna sesiapa yang melanggar undang-undang perlu berdepan dengan akibatnya. Justeru, sebagai contoh, apabila seorang Ahli Parlimen melanggar Akta Rahsia Rasmi, beliau akan dipenjarakan seperti juga tatacara perundangan di negara lain bukannya kerana menjadi pengkritik kerajaan, tetapi melanggar undang-undang. Rekod kita di Malaysia konsisten.

Malah bekas menteri Kabinet dan Ketua Menteri daripada kedua-dua belah pihak sudah dihadapkan ke mahkamah; dan pada peringkat berkenaan, ia tertakluk sepenuhnya kepada hakim tanpa mengira darjat dan kedudukan mereka, justeru kerajaan tidak mempunyai kata putus terhadap siapa yang bakal dipenjarakan.

Kebenarannya adalah kerajaan ini berpegang teguh kepada demokrasi. Kita mengangkat hak kebebasan bersuara dan keluhuran undang-undang.

Rekod kita kekal bersih, seiring kebebasan yang diberikan kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka di bawah pentadbiran kerajaan semasa. Ruang untuk pembangkang menyanggah kerajaan secara terbuka dan bertali arus adalah bukti peningkatan hak kebebasan di Malaysia.

Pembangkang sangat dialu-alukan untuk berbuat demikian, kerana itu tujuan mereka, seperti diketahui rakyat Malaysia menerusi pelbagai laporan yang disiarkan menerusi media baharu dan tradisional.

Namun tindakan memberi gambaran serong mengenai demokrasi di Malaysia dengan menyebarkan fitnah dan memburuk-burukkan kerajaan di akhbar asing demi agenda politik adalah perkara berbeza.

Ia tidak melambangkan kebanggaan terhadap apa yang sudah kita kecapi selama ini, malah tidak juga menzahirkan rasa cinta kepada negara.

Itulah yang sewajarnya menyatupadukan kita tatkala meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-60 dan menyelami jajaran pencapaian yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian, keharmonian dan berkeyakinan pada hari ini.

348 dibaca
Berita Harian X