Rabu, 13 September 2017 | 2:37pm
NAJIB Razak beramah mesra bersama Donald Trump selepas membincangkan hubungan strategik antara kedua-dua negara di Rumah Putih - Foto BERNAMA

Lawatan Najib ke AS, 'check mate' buat pembangkang

SEHARI dua ini media Singapura (orang Johor boleh dapat saluran Media Singapura) menyiarkan, laporan yang amat positif terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tanpa berselindung, media Singapura juga menyatakan bahawa Najib telah mendahului Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump!

Media Singapura juga menyajikan betapa Najib telah diberikan layanan kelas pertama oleh Presiden Trump sewaktu ketibaan beliau di bumi AS.

Kawalan khas pengawal peribadi Presiden Trump yang diberikan kepada Najib jelas menunjukkan betapa melesetnya tanggapan Tun Dr Mahathir Mohamad serta kepimpinan Pakatan Harapan bahawa imej Najib begitu buruk di mata dunia!

Kepada mereka yang memahami ilmu bahasa gerak badan (body language), ternyata sambutan dan layanan Presiden Trump terhadap Najib menunjukkan betapa mesra dan yakinnya seorang pemimpin dunia terhadap Najib.

Perlakuan Trump amat jelas menunjukkan kemesraan di antara mereka berdua bukan dibuat-buat, malah ikhlas, penuh keyakinan dan mengharap.

Laporan media Singapura juga menyiarkan ucapan Trump tentang peranan besar Najib dan kerajaan Malaysia dalam mengekang dan melawan keganasan di Asia Tenggara.

Di samping itu, media AS juga memainkan peranan dalam menyiarkan dengan profesional betapa Malaysia adalah sebuah negara yang boleh diyakini untuk pelaburan di masa hadapan dan yang paling jelas, Malaysia bukanlah sebuah negara yang gagal mahupun bangkrap seperti yang dicanangkan oleh Mahathir, Lim Kit Siang serta pemimpin pakatan pembangkang!

Sayugia diingatkan bahawa kejayaan kepemimpinan Najib membawa pelaburan secara besar-besaran dari Saudi Arab, China, India dan Perancis menunjukkan betapa kemahiran politik diplomasi Najib adalah sesuatu yang negara dan rakyat patut berbangga.

Sejak merdeka hanya di zaman Najib, Presiden AS telah datang ke Malaysia sebanyak dua kali dan inilah kali pertama di dalam sejarah tanah air kita, seorang PM dari sebuah negara yang kerdil telah dijemput secara peribadi oleh Presiden AS.

Kepada mereka yang memahami ilmu sains politik, ini jelas menunjukkan 'stail' dan gaya kepemimpinan Najib dihormati dan diperakui oleh negara besar dunia.

Media Singapura juga melaporkan akan kemapanan ekonomi Malaysia, maka Malaysia berminat dalam tempoh masa lima tahun dari sekarang, membeli beberapa pesawat dari Boeing! Persoalan saya apakah ini tanda-tanda bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang gagal dan hendak bankrap? Hanya mereka yang sakit otak, bersifat dengki, irihati dan buta hati yang tidak mahu dan menerima hakikat bahawa kepemimpinan Najib adalah terbilang dan terbaik.

Jika di zaman Dr Mahathir, sewaktu dunia mengalami krisis dan kelembapan ekonomi, penguncupan ekonomi Malaysia amat jelas dengan bilangan pelaburan menurun dan pasaran saham merudum ke paras di bawah 500 mata, tetapi ia amat berbeza di zaman Najib.

Ekonomi Malaysia semakin berkembang dan pelaburan semakin mencurah. Perdagangan Malaysia sehingga bulan Julai tahun ini sahaja mencecah RM1 trilion.

Apa yang jelas sekarang isu DOJ dan 1MDB sebenarnya adalah cerita reka ciptaan jahat oleh Dr Mahathir dan puak pembangkang terhadap Najib dan kerajaan Malaysia.

Kepada Kit Siang yang menggelarkan Trump sebagai seorang yang dungu (idiot), apakah jika Lee Hsien Loong (Perdana Menteri) dari Singapura yang juga menjadi tetamu Presiden Trump pada bulan depan seorang yang dungu?

Hanya orang dungu seperti Kit Siang yang akan bersama dan berjumpa dengan orang yang dungu.

Umumnya, akan mengetahui bahawa bukan semudah itu seseorang pemimpin dunia dapat bertemu dengan Presiden AS. Kejayaan Najib dijemput oleh Presiden Trump sebagai Presiden AS adalah suatu kebanggaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia sebenarnya.

Dalam hal ini, teringat akan saya sewaktu membaca buku Bukan Kerana Pangkat: Memior Tun Dr Ismail, akan betapa susahnya kerajaan Malaysia suatu ketika dahulu hendak menemui dan meyakini pemerintah AS, memohon bantuan serta mencari pelaburan untuk Malaysia dari AS! Apa yang saya faham adalah, jika sesebuah kerajaan Malaysia berjaya mendapat sokongan dan bertemu dengan kepimpinan AS, maka dunia, khasnya negara kuasa besar akan mengiktiraf Malaysia.

Pelabur akan yakin untuk melabur di Malaysia.

Buat Najib, kami amat berbangga dengan kejayaan Datuk Seri. Tahniah Datuk Seri Najib. "You made us very proud". Untuk Dr Mahathir, Kit Siang dan pemimpin parti pembangkang, "eat your heart out!". Malaysia negara yang amat selamat dan tak perlu diselamatkan.

* Penulis adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Johor

2813 dibaca
Berita Harian X