Khamis, 14 September 2017 | 10:16pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak disambut Presiden Donald Trump ketika tiba bagi membincangkan hubungan strategik antara kedua-dua negara di Rumah Putih pada Selasa. - Foto BERNAMA

Keakraban demi kemakmuran bersama

TANGGAL 12 September 2017 menyaksikan pertemuan bersejarah antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan pemimpin utama Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. Pertemuan pertama selepas Trump menjadi Presiden AS sangat dialu-alukan dalam usaha untuk memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara.

Sebelum ini ketika AS di bawah Presiden Barack Obama, hubungan Malaysia dengan AS berada pada tahap terbaik. Namun, selepas Trump menjadi Presiden, ramai pihak berasa sangsi retorik politik yang dimainkan oleh Trump ketika pemilihan Presiden AS pada tahun lalu. Tindakan Trump membatalkan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) menambahkan lagi kesangsian khususnya golongan peniaga terhadap hala tuju AS kini. Namun, Trump dilihat semakin terbuka dalam menjalinkan hubungan dengan semua negara yang boleh menjadi rakan kerjasama untuk kebaikan bersama.

Hubungan Malaysia-AS sentiasa harmonis sejak Malaysia merdeka pada 1957. Hubungan harmonis ini ingin diteruskan oleh kepemimpinan Malaysia kerana manfaat kemakmuran ekonomi dan kestabilan keselamatan serantau banyak bergantung kepada pembabitan dan sokongan AS khususnya di rantau Asia Tenggara.

Ramai bertanyakan berkenaan hasil yang boleh diperoleh melalui pertemuan Najib dan Trump. Faktor penarik utama kepada hubungan kedua-dua negara ini ialah sudah tentu ekonomi dan perdagangan. AS sebenarnya menyedari bahawa mereka harus lebih terbabit di rantau Asia Tenggara ketika negara China semakin menunjukkan dominasi mereka di rantau Asia Timur dan Asia Tenggara khususnya yang membabitkan isu perebutan wilayah perairan di Kepulauan Spratly.

Rakan dagangan ketiga terbesar

Melihat daripada konteks Malaysia, AS juga menyedari bahawa mereka adalah rakan dagangan ketiga terbesar di Malaysia selepas China dan Singapura. Pada 2016, Malaysia adalah rakan dagangan ke-18 terbesar bagi AS. Mengikut data United States Census Bureau pada 2016, jumlah dagangan barangan AS ke Malaysia adalah AS$11,831.9 juta berbanding eksport Malaysia ke AS AS$36,630 juta yakni lebihan dagangan berpihak kepada Malaysia AS$24,798.1 juta.

Washington pada era Trump membawa pendekatan keseimbangan ekonomi dan dagangan antara negara. Bagi mengimbangi dagangan dengan AS, semalam Najib yang juga Menteri Kewangan mencadangkan tiga komitmen Malaysia bagi mengukuhkan ekonomi AS iaitu membeli pesawat Boeing dan enjin pesawat General Electric bernilai AS$10 bilion dalam masa lima tahun, melakukan pelaburan ekuiti dan prasarana bernilai hampir AS$11 bilion serta pelaburan berteknologi tinggi sebanyak AS$400 juta. Pelaburan Malaysia disambut baik oleh Washington. Sebagai hab ekonomi di Asia Tenggara, Malaysia juga mengalu-alukan kemasukan pelaburan daripada pelabur AS ke Malaysia.

Selain faktor ekonomi, faktor geopolitik dan keselamatan sering menjadi perbualan hangat antara kedua-dua negara, Trump memuji langkah Malaysia menangani ancaman pengganas Daesh khususnya dari segi kerjasama dan perkongsian maklumat perisikan. Namun, Trump juga menarik perhatian Malaysia berkenaan penamatan hubungan diplomatik Malaysia dengan Korea Utara.

Isnin lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan baru ke atas Korea Utara. AS dilihat bersatu hati dengan Malaysia dalam usaha menangani ancaman Korea Utara di rantau Asia Timur.

AS juga menyedari bahawa China kini semakin melebarkan pengaruhnya di Asia khususnya di Asia Tenggara. Sebagai pelabur terbesar di Malaysia, China juga dilihat melabur di sektor strategik seperti tenaga, pengangkutan, pendidikan dan pelabuhan.

Malaysia sememangnya mengambil pendekatan untuk berbaik-baik dengan semua pihak termasuk AS dan China, walaupun menyedari persaingan kuat antara kedua-dua kuasa besar dunia itu.

Mantapkan hubungan dengan negara Islam

Menyedari akan kepentingan China untuk melabur dan berhubungan baik dengan Malaysia, AS berusaha untuk bekerjasama bagi memantapkan hubungan dengan negara Islam seperti Malaysia dan Indonesia. Trump pada November nanti dikatakan akan melawat Vietnam yang menjadi seteru China di Asia Tenggara dan Filipina yang sebelum ini adalah sekutu kuat AS, namun kini mempunyai hubungan baik dengan China.

Satu lagi perkara yang amat diperlukan oleh AS daripada Malaysia ialah dari segi memulihkan imej AS khasnya pada era Trump. Penduduk majoriti Muslim di Malaysia dan Indonesia dilihat amat tidak menyukai Trump melalui retorik Islamophobia beliau sebelum ini. Malah, perbalahan Trump dengan media utama AS seperti CNN tidak dapat memulihkan imejnya yang dituduh sebagai gagal mentadbir AS dengan baik. Bagi memulihkan imej beliau dan memenangi hati serta minda masyarakat dunia, Trump berusaha meyakinkan rakyat Malaysia yang AS akan terus bersahabat dengan Malaysia bagi memastikan pembangunan dan kemakmuran bersama akan tercapai.

Penulis ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

245 dibaca
Berita Harian X