Selasa, 31 Oktober 2017 | 7:38am
BAYARAN BR1M yang memanfaatkan tujuh juta penerima dikekalkan.- Foto NSTP

Jaga kebajikan demi sejahtera

PERKARA terpenting mengenai Bajet 2018, seperti disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ialah ia untuk seluruh rakyat Malaysia, tidak kira kaum dan keturunan yang dianggap 'Ibu Segala Bajet' dengan peruntukan perbelanjaan RM280.25 bilion berbanding RM260.8 bilion bagi Bajet 2017.

Ia menyasarkan segenap kumpulan termasuk bayi yang belum dilahirkan, warga emas sehingga yang meninggal dunia. Sebagai contoh, bayi yang bakal dilahirkan bermula 1 Januari 2018 sehingga 2022 diberi dana tabungan permulaan dinamakan Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM 2050) sebanyak RM200 melalui unit Amanah Saham di PNB.

Bayaran BR1M yang memanfaatkan tujuh juta penerima dikekalkan dan pengurangan kadar cukai pendapatan kepada golongan pendapatan pertengahan yakni M40 dikurangkan dua mata peratusan.

Jadi, seramai 261,000 orang tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan. Seterusnya, kepada warga emas, elaun semasa dinaikkan RM50 menjadikan keseluruhannya kepada RM350 sebulan. Yang turut dapat perhatian bagi mereka yang meninggal dunia, apabila waris, terutama pesara dinaikkan pencen minimum kepada RM1,000.

Antara intipati menarik adalah empat tol dimansuhkan di Selangor, Kedah dan Johor, termasuk Lebuh Raya Persekutuan yang akan bebas tol mulai 1 Januari 2018.

RM6.6 bilion peruntukan untuk petani, nelayan

Selain itu, pelajar B40 diberi lebih fleksibiliti dalam pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mengurangkan beban tanggungan hutang, perkhidmatan kerajaan tempatan dikecualikan daripada Cukai, Barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus, potongan cukai sehingga 50 peratus ke atas pendapatan sewaan, peruntukan berjumlah RM6.6 bilion diperuntukkan bagi petani dan nelayan, serta infrastruktur pertanian, perkongsian untung lebih tinggi dan manfaat yang lebih fleksibel bagi penjawat syarikat berkaitan kerajaan (GLC), peruntukan bagi memerangi extremism serta membantu keluarga anggota keselamatan serta bayaran khas bagi penjawat awam sebanyak RM1,500 serta pesara sebanyak RM750 yang akan dibayar dua kali setahun.

Teruskan pembangunan kampung Orang Asli

Bajet 2018 ini turut ambilkira keperluan pelbagai kaum baik dari golongan Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak, Orang Asli, kaum Cina dan India. Masyarakat Bumiputera yang hampir 70 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia akan dapat faedah melalui Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputra atau TKB yang memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera kekal.

Seterusnya, kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk meningkatkan taraf hidup dan pembangunan masyarakat Orang Asli serta meneruskan program pembangunan bersepadu perkampungan Orang Asli dengan peruntukan sebanyak RM60 juta. Bagi menjaga kesejahteraan masyarakat Cina, RM155 juta diperuntukkan untuk komuniti Cina melalui pinjaman PKS, yayasan peniaga dan penjaja kecil 1Malaysia serta pembangunan kampung baharu Cina.

Bagi masyarakat India, kerajaan baru-baru ini melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia atau MIB dan meneruskan agenda pelan itu melalui peruntukan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India sebanyak RM50 juta, pengagihan khas sejumlah RM1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia, serta meningkatkan sasaran pengambilan kaum India ke universiti awam dan perkhidmatan awam kepada tujuh peratus.

Berikutan itu, kita seharusnya percaya kepada kesungguhan kepemimpinan negara dalam memberi kesejahteraan terbaik untuk rakyat. Tanyalah penjawat awam, pekerja swasta, pelajar, petani, usahawan, warga emas dan lain-lain lapisan yang mendapat manfaatnya. Kita seharusnya tidak terpedaya dengan kata-kata hasutan pembangkang dan tidak melihat bajet ini sekadar agenda untuk memenangi hati rakyat, tetapi perlu percaya kepada kesungguhan kepemimpinan negara dalam memberi kesejahteraan yang terbaik untuk rakyat.

Penulis ialah Pengerusi Biro Politik, Majlis Perundingan Melayu Malaysia

Berita Harian X