Khamis, 2 November 2017 | 10:48am
ANGGOTA forensik menyiasat lokasi kejadian sebuah trak merempuh pejalan kaki di Lower Manhattan, New York. - Foto Reuters

Serangan trak Daesh ancam Barat

TIDAK sampai sebulan bumi Amerika Syarikat (AS) menjadi saksi serangan berdarah yang menyasarkan orang awam, sekali lagi kuasa dunia itu dikejutkan dengan serangan yang kali ini dilakukan dengan rempuhan trak.

Jika serangan di Las Vegas bulan lalu meragut 59 nyawa, serangan kali ini pula mengakibatkan kematian lapan individu, lima adalah warga Argentina. Ini adalah kematian terbesar sejak peristiwa 11 September 2001 di New York. Laporan CNN menyatakan suspek penyerang berusia 29 tahun dikenali sebagai Sayfullo Habibullaevic Saipov berasal dari Uzbekistan menetap di AS sejak 2010. Dalam serangan itu, dia melanggar orang awam di laluan berbasikal secara rambang dan kemudian menembak pula senjata penabur sambil menjerit bertakbir berapa kali.

Dari segi modus operandi, serangan ini menandakan ketibaan kaedah serangan menggunakan kenderaan - khususnya trak - melanggar orang awam buat kali pertama di AS. Sebelum ini kaedah rempuhan sebegini terjadi di Nice (Perancis); London (UK); Barcelona (Sepanyol); Berlin (Jerman) dan Stockholm (Sweden). Malah, serangan terbaru di AS kurang 1.6 kilometer dari Pusat Dagangan Dunia (WTC) ini hampir menyamai tragedi serangan di Stockholm April lalu apabila penyerang bukan sahaja turut guna kaedah rempuhan trak, tetapi suspek juga berasal dari Uzbekistan.

Datuk Bandar New York, Bill de Blasio dengan segera mengecam serangan ini sebagai tindakan pengecut. Kecaman ini susulan penemuan nota bertulis dalam bahasa Inggeris yang suspek menyatakan dia lancar serangan ini bagi pihak Daesh. Serangan di New York dan Stockholm yang dilakukan individu berasal dari Uzbekistan dan menggunakan modus operandi rempuhan trak ini berkemungkinan bakal beri implikasi buruk buat warga imigran Uzbekistan di AS dan Eropah.

Selama ini, pihak berkuasa lebih menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan kepulangan pengganas Daesh dari Iraq dan Syria selepas kekalahan mereka di Asia Barat. Laporan kematian pemimpin mereka Abu Bakr Al-Baghdadi Julai lalu nampaknya tidak pudarkan ancaman mereka di seluruh dunia. Pada satu sisi, hal itu ada kebenarannya seperti disaksikan melalui kemasukan besar-besaran pengganas di Marawi, Filipina, sebelum ditewaskan tentera dengan bantuan asing, termasuk Russia.

Pada sisi lain, ternyata ancaman suspek pengganas Daesh dari Asia Tengah seperti Uzbekistan kini tidak boleh dipandang remeh. Tidak menghairankan Presiden AS, Donald Trump dengan serta-merta mengambil langkah mengarahkan pihak Keselamatan AS untuk meningkatkan pemeriksaan Extreme Vetting yang beri impak khusus ke atas imigran dari Uzbekistan.

Sebelum ini, senarai sekatan kemasukan ke AS hanya babitkan Iran, Somalia, Sudan, Yaman, Syria, Libya, Chad, serta Korea Utara dengan Iraq digugurkan atas dasar Baghdad dianggap sekutu AS memerangi Daesh.

Langkah pengharaman kemasukan ke AS serta pemeriksaan ketat semata-mata kurang efektif kerana secara realitinya, rangkaian dan modus operandi terkini rempuhan trak Daesh ini menuntut strategi lebih kompleks. Kemungkinan langkah berkenaan akan meningkatkan perasaan benci sesetengah Muslim di AS sendiri kerana melihat saudara seagama didiskriminasi, di samping potensi mengeruhkan hubungan antara penganut agama di AS. Sebaliknya, strategi lebih berdaya maju seperti pembangunan dan pengaplikasian teknologi atas kecenderungan Daesh guna kenderaan merempuh orang awam ini boleh dicegah.

Teknologi pengecaman suara sudah wujud sejak beberapa tahun lalu dan dijangka menjelang 2019, lebih separuh daripada kereta akan dipasang teknologi ini. Pihak berkuasa AS dan Barat boleh mempertimbang pemasangan teknologi ini ke atas kenderaan berat seperti trak dan lori bagi mengelak Daesh meneruskan modus operandi mencuri trak dan kenderaan berat.

Apa yang kurang disenangi, langkah pengawasan dan pengintipan oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA), FBI, dan CIA sama ada di dalam mahupun di luar AS berkemungkinan akan mulai mendapat sokongan warga AS sendiri tanpa mempedulikan sensitiviti dan kedaulatan negara lain atas alasan mencegah serangan Daesh.

Berita Harian X