Khamis, 9 November 2017 | 6:39am

Ekspo Negaraku papar jiwa merdeka rakyat

EMOSI, walaupun abstrak lumrahnya, boleh ditimbulkan dengan pelbagai cara. Kalau kita menonton filem atau berada dalam keadaan getir, emosi jadi murah bila dihidangkan perkara sensitif seperti hubungan ibu bapa dan anak, cinta atau apabila derita kemanusiaan diketengahkan.

Namun, ia berbeza bagi saya. Emosi jadi mudah bila sentimen patriotisme dijadikan pencetus rasa. Kibaran Jalur Gemilang di bawah angin, kejayaan atlet di arena sukan antarabangsa atau alunan mendatar Negaraku - yang itu boleh meremangkan bulu roma dan menakung air mata untuk saya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, diamanahkan untuk menzahirkan Ekspo Negaraku dari 15 November hingga 15 Disember tahun ini di Dataran Merdeka. Ia boleh dikunjungi secara percuma antara jam 10 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh berkenaan.

Tugasan ini memberi makna besar untuk generasi baharu yang dilahirkan dan membesar dalam era Dasar Ekonomi Baru (Rancangan Malaysia Ketiga) dan seterusnya berkhidmat ketika Malaysia sedang menghampiri titik negara maju berpendapatan tinggi, ekspo ini bakal menjadi titik tolak bukti pembangunan ekonomi, sosial dan sahsiah negara.

Benar, negara kerap menempa nama dalam ekspo antarabangsa seperti Ekspo Milano dua tahun lalu, namun Ekspo Negaraku tahun ini berbeza fitrahnya. Ekspo ini unik kerana ia merentas zaman: dahulu, kini dan masa depan.

Aspirasi negara

Dalam Kubah Pertama di sisi kanan pintu masuk, kita akan menemui adik Alia dalam lima skrin video besar. Cerita mengenai Alia berlatarbelakangkan visi dalam kesyukuran, visi tanpa negativiti. Bagaimana seorang anak yang mempunyai kekurangan masih mampu melukis aspirasi negara dalam kejujuran yang tiada tolok bandingnya. Selebihnya, saya letak di tangan anda rakyat Malaysia untuk menilai mesej di sebalik cerita Alia.

Kubah Kedua menghimpun perjalanan pembangunan infrastruktur negara. Kalau dulu orang Kuala Lumpur ke pejabat menaiki bas mini berwarna-warni sebelum diseragam menjadi merah jambu, kini Metropolis KL menyediakan kemudahan pengangkutan paling mutakhir untuk kita: Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

Rangkaian antara negeri dan bandar pula akan dibangunkan dengan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR). Di Johor, Sistem Transit Rapid (RTS) akan dibina untuk menangani membanteras kesesakan lalu lintas di Tambak Johor; di Sabah dan Sarawak Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 2,325 kilometer bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Sabah dan Sarawak.

Kubah Ketiga berkongsi cerita kejayaan kita, yang diharap menjadi inspirasi untuk kita terus mencorak negara pada masa akan datang. Jangan terkejut kalau ada seseorang menelefon anda ketika melewati bongkah telefon klasik dalam Kubah Ketiga ini. Mungkin ada pesanan atau permintaan untuk anda daripada seseorang yang istimewa.

Pengisian Kubah Keempat dan Kelima tidak akan dikongsi di sini. Jika anda ingin intai masa depan, saya tunggu anda di bawah kubah siar layar 360 darjah, yang akan dipancarkan melalui Projektor Kubah Super-HD.

Segala yang baik, yang menambah pengetahuan, yang menyalakan api patriotisme di hati, pasti sukar untuk dilepaskan. Pasca 15 Disember 2017 sebaik tirai Ekspo Negaraku dilabuhkan, fitrah kehidupan akan berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, dalam minda saya - dan mungkin juga anda - akan berputar pelbagai persoalan dan harapan dalam setiap hari bakal dilalui.

Setiap bilah sejarah, zarah pembangunan dan takuk ekonomi yang tercapai seakan hambar tiada makna tanpa pengisian jiwa dan kenegaraan. Pengisian jiwa itu terpulang kepada kita - semua rakyat Malaysia - untuk mendidik hati supaya benar-benar merdeka.

Penulis ialah Pengamal Media Bebas

296 dibaca
Berita Harian X