Ahad, 3 Disember 2017 | 6:58am

Suara akar umbi

GENDANG perang PRU-14 UMNO sebenarnya sudah dipalu ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun lalu.

Tak timbul lagi nak palu gendang atau tiup trompet untuk memulakan perang. Gerakan untuk berperang sepatutnya telah pun bermula. Tambahan pula tempoh pertempuran sebenar boleh diramal, cuma menunggu tarikhnya sahaja. Bukan sahaja UMNO, parti lain sama ada komponen Barisan Nasional (BN), mahupun gabungan pembangkang juga sepatutnya dalam persiapan terakhir turun ke medan perang.

Strategi sudah disusun, panglima perang di semua 222 kawasan Parlimen sudah ditetapkan dan siapa yang akan menjadi calon membawa panji parti juga sudah tersenarai. Bagi UMNO, panglima besarnya, yakni presiden parti, Datuk Seri Najib Razak dikatakan sudah diberikan senarai pembawa panji parti.

Hanya menunggu keputusan akhir anggota angkatan besar beliau. Jadi, apa agaknya yang perlu diberikan tumpuan pada PAU bermula Selasa ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bukan rahsia lagi bagi UMNO dan parti lain sama ada komponen BN mahupun gabungan pembangkang, perebutan menjadi calon adalah kelaziman. Bagi UMNO, isu ini antara yangperlu diberi perhatian dalam PAU kali ini, iaitu kesatuan sebenar atau akujanji mematuhi siapa sahaja yang dicalonkan.

Antara punca kemelut atau kekalahan UMNO dalam pilihan raya ialah isu calon. Jarang bagi parti pembangkang, jentera UMNO akan terjejas jika calon tidak dipersetujui. Sabotaj akan berlaku. Dalam pada itu jangan pula pemimpin parti menghalang perwakilan untuk bersuara memberikan pandangan. Ada kewajaran mendengar suara akar umbi. Jangan ditolak terus pandangan mereka, terutama mengenai calon dan persiapan menghadapi perang kali ini.

Ahli akar umbi, terutama AJK bahagian dan cawangan juga perlu diberi peluang untuk nyatakan pandangan. Mereka juga tahu siapa yang layak jadi calon, siapa yang perlu digugurkan dan dikekalkan. Yang perlu diambil kira ialah walaupun tidak dapat memenuhi hasrat setiap ahli, sekurang-kurangnya dengarlah sedikit pandangan

mereka.

243 dibaca
Berita Harian X