Ahad, 18 Februari 2018 | 6:54am

Akta berita palsu perlu perbincangan lanjut

ADAKAH dunia hari ini menjurus ke arah kemusnahan akibat siber?

Jawapannya, diharap bukan begitu tetapi realitinya, kita perlu memahami ancaman dan memberi tumpuan kepada tindakan yang perlu dilakukan mengenainya. Satu demi satu negara mula meneroka pilihan bagi memperkuatkan keupayaan serangan di ruang siber dan banyak negara sudah melakukannya. Ini adalah peningkatan berbahaya.

Hampir semua lapisan masyarakat kini bergantung kepada internet, infrastruktur yang paling penting di dunia dan juga infrastruktur di mana semua infrastruktur lain bergantung.

Apa yang disebut Internet of Things adalah salah faham; tidak lama lagi, ia akan menjadi Internet of Everything. Namun, ketika dunia digital semakin berkembang maju, maka penyebaran maklumat palsu turut mengiringi sepantas zaman digital - tiada kawalan, tiada tapisan dan semua boleh 'turut serta'.

Hakikatnya, berita palsu adalah masalah global dan ia memerlukan penyelesaian global. Namun, beberapa negara sudah memulakan langkah untuk membendung fenomena itu termasuk Malaysia.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron misalnya, mengemukakan cadangan undang-undang baharu bagi mencegah maklumat palsu dipaparkan secara dalam talian. Ini janji beliau dan menjelang akhir tahun ini, Macron akan memperkenalkan undang-undang untuk bertindak terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu sewaktu mana-mana tempoh pilihan raya.

Perancis bukan negara pertama memperkenalkan undang-undang bagi mengekang berita palsu. Pada kemuncak pilihan raya Jerman September lalu, parlimen negara itu meluluskan undang-undang dikenali sebagai NetzDG iaitu undang-undang penguatkuasaan rangkaian yang akan memaksa media sosial membuang kandungan jelek, yang mula dikuatkuasa 1 Januari lalu.

Ini merangkumi kandungan Facebook, Twitter, Google, YouTube, Snapchat dan Instagram, walaupun rangkaian profesional seperti Linkedin and Xing dikecuali atau tidak dimasukkan dalam undang-undang baru itu, seperti juga aplikasi WhatsApp. Ada pihak yang menyokong dan ada pula membantah undang-undang bagi menyekat penyebaran berita palsu.

Yang membantah bukan kerana suka penyebaran berita palsu tetapi lebih kepada definisi digunakan serta kuasa tertentu. Misalnya, organisasi seperti Reporters Without Borders dan aktivis internet menyuarakan bantahan, kerana kerajaan Jerman meletakkan tanggungjawab membuang kandungan atau menghalang pengguna (blocking) kepada platform internet sendiri, bukan mahkamah untuk membuat keputusan.

Mereka kata, ia bermakna sukar untuk memberitahu sebab mengapa pos individu dibuang. Memandang ke hadapan, kerajaan kita juga mahu memperkenalkan undang-undang bagi menyekat penyebaran berita palsu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, draf mengenai perincian berkaitan dengan undang-undang berita palsu itu dijangka dibentang ke Kabinet selepas Tahun Baharu Cina.

Ini termasuk memperhalusi mengenai definisi berita palsu dan hukuman yang sesuai kepada penyebar berita palsu. Mungkin elok juga Malaysia belajar daripada pengalaman Perancis dan Jerman - ambil yang baik dan tolak mana yang tidak sesuai untuk Malaysia.

Misalnya, undang-undang Jerman tidak memasukkan bab penggunaan WhatsApp dalam undang-undang baharu mereka, tetapi hakikatnya penyebaran berita palsu termasuk perkongsian penyebarannya, begitu meluas sekali digunakan melalui WhatsApp di negara kita, berbanding Facebook, Twitter, Snapchat dan Instagram.

Malah definisi 'berita palsu' masih perlu perbincangan lanjut. Di Perancis, berita palsu disifatkan sebagai berita yang boleh mengancam keamanan awam. Tetapi Perancis juga lebih menekankan undang-undang baharunya untuk pilihan raya, misalnya penyebaran berita palsu dengan niat untuk 'mencuri undi'.

Salah satu yang nyata perlu untuk kita pula ialah penyebaran berita palsu yang boleh menggugat perpaduan kaum iaitu penyebaran berita palsu berbau perkauman dan fitnah. Kita ada banyak kaum berbanding negara lain, hatta Jerman atau Perancis sekalipun.

Penulis adalah Pengarang Integrasi (Berita) The New Straits Times Press (NSTP)

Berita Harian X