Sabtu, 24 Februari 2018 | 6:24am
Sebahagian hotel yang dibina di atas tanah wakaf. - Foto Harian Metro
Sebahagian hotel yang dibina di atas tanah wakaf. - Foto Harian Metro

Gubal akta tadbir urus tanah wakaf

Kerangka tadbir urus dan undang-undang ialah teras yang menunjangi sesebuah masyarakat. Tanpa peraturan bertulis, masyarakat mudah keliru dan boleh berpecah-belah. Namun, peraturan juga boleh menjadi halangan terutama apabila sesuatu peraturan tidak jelas atau disalah tafsir.

Peraturan bertulis perlu dinamik. Sewajarnya, ia berubah ikut peredaran masa. Apabila kehidupan masyarakat berubah, bermakna peraturan juga perlu berubah. Peraturan tidak bertulis yang sering berubah termasuklah cara hidup, cara berinteraksi sesama anggota masyarakat, tingkah laku atau sikap dan sebagainya.

Apabila keadaan masyarakat berubah kepada yang lebih baik, peraturan bertulis juga perlu dipinda sewajarnya supaya kehidupan menjadi lebih baik bagi mendepani masa depan yang lebih cerah.

Ahli sosiologi terkenal, Prof Emeritus Scott W Richard dari Universiti Salford dalam bukunya Ensiklopedia Teori Sosial, menyatakan struktur sesebuah masyarakat ialah undang-undang yang menjadi kerangka setiap keputusan dan aktiviti kehidupan yang mesti dipatuhi serta didukungi bersama.

Kebersamaan ialah sinergi yang memberi kekuatan kepada masyarakat. Sekiranya ada anggota masyarakat yang tidak mematuhi undang-undang yang dibuat, bermakna mereka merosakkan masyarakat.

Pembinaan Masjid Nabawi

Menyingkap sejarah, wakaf dikatakan bermula dengan pembinaan Masjid Nabawi di Madinah. Sejarah membuktikan pada abad ke-10 dan ke-11, kerajaan Abbasiyah mempelopori wakaf kesihatan melalui penubuhan hospital di merata jajahan takluknya. Dikatakan Sallahuddin al-Ayubi memulakan wakaf pendidikan pada abad ke-12 dan ke-13 Masihi.

Seterusnya, pada abad ke-14 dan ke-15, kerajaan Uthmaniah mula mempelopori penubuhan banyak wakaf universiti di Turki. Kerajaan Fatimiyyah di Mesir terkenal dengan tali air yang membekalkan sumber air kepada rakyat pada abad ke-13 dan ke-14.

Sejarah membuktikan kerajaan Uthmaniah di Turki menggubal akta wakaf yang mengandungi sistem pendaftaran, pentadbiran dan pengurusan harta wakaf yang boleh dikatakan memuaskan ketika itu. Penggubalan Akta Wakaf India pada 1408 pula menimbulkan banyak kesedaran berwakaf dalam kalangan masyarakat Islam di India sejak itu.

Di Indonesia, Undang-Undang No 41 berkaitan wakaf diperkenal pada 2004 dan dikuatkuasakan pada 2006. Namun, penguatkuasaan dan amalannya agak perlahan dan boleh dikatakan baharu sahaja bermula. Undang-Undang No 41 berkaitan wakaf memperkenalkan Badan Wakaf Indonesia sebagai nazir wakaf nasional.

Dalam kata lain, perkembangan pesat institusi wakaf ditunjangi sepenuhnya dengan peraturan bertulis berkaitan wakaf. Sudah tentu peraturan atau perundangan wakaf memandu, memacu dan menyatu fikrah umat mengenai wakaf dahulu, sekarang dan selama-lamanya.

Merujuk perundangan wakaf di negara kita, hanya beberapa negeri sahaja yang mempunyai Enakmen Pentadbiran Tanah Wakaf, manakala selebihnya dimasukkan sebagai sebahagian daripada Enakmen Pentadbiran Agama Islam secara umum.

Bermakna, peraturan mantap bagi mentadbir dan mengurus wakaf, khususnya hartanah masih belum lengkap sepenuhnya. Justeru, timbul ketidakseragaman dalam urusan pentadbiran dan pengurusan hartanah wakaf di antara satu negeri dengan yang lain.

Keadaan ini boleh menimbulkan keraguan dan ketidaktentuan apabila hartanah wakaf di sesebuah negeri ditadbir Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di negeri lain. Apabila ketidaktentuan timbul bermakna pulangan atau manfaat wakaf hartanah tidak dapat dioptimumkan sepenuhnya.

Pentadbiran tanah sebagai kayu ukur

Ketidakseragaman undang-undang pentadbiran tanah wakaf perlu dilihat dengan mendalam dan usaha menyelesaikannya perlu dilakukan dengan segera. Satu pendekatan yang boleh dicontohi ialah dengan merujuk sistem pentadbiran tanah sebagai kayu ukur. Pentadbiran tanah juga seperti wakaf, juga satu jadual negeri yang tertakluk di bawah Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

Pada peringkat kebangsaan, ada Kanun Tanah Negara yang digubal dan dilaksanakan mulai 1965 untuk maksud keseragaman. Kemudian ada Majlis Tanah Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.

Semua ahlinya ialah Menteri Besar atau Ketua Menteri di setiap negeri. Amalan ini sudah dilakukan dengan jayanya sejak negara mencapai kemerdekaan. Sudah tentu ia boleh dicontohi.

Wakaf bernilai tinggi

Di negara kita, didapati kebanyakan hartanah wakaf bernilai tinggi diperoleh daripada pewakaf yang diwakafkan sejak sekian lama. Menara Imarah di Kuala Lumpur yang dibina dengan kos RM140 juta pada 2012, sekarang bernilai hampir RM200 juta.

Hartanah ini dibina daripada tapak yang diwakafkan oleh Ahmad Dawjee Dadaboy, seorang pekerja Syarikat Hindia Timur kira-kira 100 tahun dahulu.

Wakaf perumahan Seetee Aishah di Pulau Pinang yang diwakafkan pada 1902 dimajukan secara usaha sama antara Bank Islam Berhad, Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Uda Holdings pada 1988.

Sudah tentu pembangunan hartanah wakaf membabitkan banyak aspek perundangan termasuklah perjanjian kewangan, kontrak pekerjaan, pendanaan dan pembiayaan. Sudah sampai masanya Akta Wakaf Negara digubal dan dikuatkuasakan di negara kita.

Sesungguhnya, penggubalan Akta Wakaf Negara memandu, memacu dan menyatukan daya usaha untuk membangunkan mauquf wakaf dengan lebih terpimpin dan tersusun di negara kita demi kesejahteraan ummah.

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan pensyarah kanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Berita Harian X